CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1730|Reply: 0

Usah ambil kesempatan

[Copy link]
Post time 16-8-2021 08:24 PM | Show all posts |Read mode

MARILAH kita mengambil peluang membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.


Usah ambil kesempatan

SETIAP orang mempunyai situasi kehidupan yang berbeza antara satu sama lain. Ada orang pada masa ini menikmati kesenangan. Ada pula orang yang berdepan kesusahan hidup sekarang ini. Dengan situasi kes Covid-19 yang belum menunjukkan angka penurunan, ramai orang menghadapi kesukaran dalam mengurus kehidupan seharian.

Ada orang yang kehilangan pekerjaan lalu mereka perlu berikhtiar untuk memastikan diri dan keluarga dapat meneruskan kehidupan. Tidak kurang pula yang dilanda kesedihan kerana ada dalam kalangan ahli keluarga, rakan atau orang sekeliling yang meninggal dunia disebabkan Covid-19. Ada juga rumah tangga yang bergolak kerana desakan hidup yang tidak dapat diurus dengan baik sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sememangnya fitrah kehidupan di dunia ini diwarnai dengan kesenangan dan kesukaran. Tidak ada orang yang hidupnya senang sepanjang masa begitu juga sebaliknya. Sebagai orang Islam, meskipun menghadapi kesukaran hidup, tiada istilah putus asa untuk mencari jalan keluar daripada kesusahan hidup.

Sesungguhnya setiap kesusahan pasti disertai dengan kemudahan atas izin daripada Allah SWT. Hal ini dinyatakan menerusi firman-Nya bermaksud: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah asy-Syarh, ayat 5-6)

Tatkala ada dalam kalangan orang Islam yang sedang berdepan dengan kesusahan hidup, ada pula jenis manusia yang akan mengambil kesempatan. Golongan seperti ini mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Mereka ingin mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda atas kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.

Sebagai contoh, ada pihak tertentu yang apabila mengetahui bahawa ramai orang yang susah mendapat bantuan kewangan atau memperoleh sejumlah wang daripada akaun simpanan tertentu untuk digunakan sepanjang musim Covid-19, maka mereka berusaha memperdayakan orang yang susah terbabit. Maka wujud scammer (penipu) yang berusaha menipu orang lain dengan menawarkan kononnya ada keuntungan berlipat kali ganda apabila menyerahkan duit kepada mereka. Ada juga yang menggunakan pendekatan menakutkan orang supaya menyerahkan wang simpanan dengan alasan yang tidak masuk akal.

Ada pula orang yang menggunakan situasi sedih orang tertentu untuk melariskan jualan perniagaan mereka. Maka peluang dimanfaatkan supaya perhatian orang ramai yang terfokus terhadap isu yang membabitkan perasaan dihalakan kepada penjualan produk tertentu. Keadaan ini berlaku sehingga ia dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati perasaan orang lain.

Kesedihan adalah perkara yang tidak boleh dibuat main. Tatkala ada saudara seagama yang berdepan dengan situasi sedih khususnya membabitkan kematian, kita dianjurkan untuk menghulurkan bantuan. Kita tidak boleh mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan di sebalik kesusahan yang dihadapi orang lain. Apatah lagi sekiranya ada pihak yang sengaja menjadikan berita kesedihan sebagai bahan content (kandungan) untuk dimuatkan dalam media sosial masing-masing semata-mata untuk mendapat perhatian netizen.

Sebab itu tatkala ada dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ditimpa kesedihan atas pemergian ahli keluarga, baginda menyeru orang lain menghulurkan bantuan. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Masakkanlah makanan untuk keluarga Ja'far kerana telah datang kepada mereka kesedihan yang menyibukkan mereka (daripada menyiapkan makanan)." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Begitu juga perbuatan sesetengah peniaga yang sengaja menaikkan harga barang jualan tertentu pada saat orang lain amat memerlukannya. Ini juga satu perbuatan yang tidak mencerminkan keprihatinan sesama insan lebih-lebih lagi tatkala semua orang sedang berada dalam kesusahan di musim Covid-19 sekarang. Sepatutnya peniaga mengambil kesempatan untuk turut bersedekah kepada pembeli barangan mereka.

Sesungguhnya amalan bersedekah tidak akan sama sekali mengurangkan harta sebaliknya akan menambahkan keberkatan bagi mereka yang melakukannya dengan ikhlas kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Pada hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai para peniaga, sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Selain itu, ada juga jenis orang yang mempunyai kedudukan dan kuasa yang mengambil kesempatan untuk kepentingan dirinya sendiri tatkala rakyat di bawah tanggungjawabnya dilanda kesusahan. Setiap pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun perlu memastikan diri mereka kekal melaksanakan tanggungjawab membantu orang di bawah kepimpinannya supaya keluar daripada kemelut kesusahan.

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan sama sekali mendahulukan kepentingan dirinya sedangkan rakyat terus menderita sehingga ada yang mengambil jalan membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesusahan hidup. Ingatlah bahawa setiap apa yang berlaku kepada rakyat akan dipertanggungjawabkan di atas bahu setiap pemimpin yang sepatutnya menghulurkan bantuan.

Usah jadikan kesempitan hidup yang dialami rakyat sebagai kesempatan untuk berlumba-lumba meraih jawatan. Golongan pemimpin yang sengaja mencari jawatan sedangkan dirinya tidak berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang di bawah kepimpinannya, maka mereka akan termasuk dalam kalangan orang yang menyesal di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya kalian akan berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan (kedudukan), padahal kelak di akhirat (perbuatan tersebut) akan menjadi satu penyesalan." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Insafilah diri kita semua mengenai apa yang sedang berlaku sekarang. Ketika ramai orang dalam kalangan kita ditimpa kesusahan, sepatutnya tangan dihulurkan untuk mengambil peluang melakukan kebaikan. Orang yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain untuk mengaut keuntungan peribadi merupakan golongan yang tidak menyahut seruan Islam untuk membantu orang yang dalam kesusahan.

Orang Islam yang berusaha membantu saudaranya dalam kesusahan akan diberi balasan istimewa oleh Allah SWT. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda baginda bermaksud: "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan orang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain menjadi mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

Mari kita mengambil peluang membantu orang lain yang berada dalam kesusahan. Jauhkan diri daripada menjadi orang yang mengambil kesempatan atas kesusahan dan penderitaan orang lain hanya semata-mata untuk memuaskan tuntutan nafsu sendiri yang buruk.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 11:00 PM GMT+8 , Processed in 1.089999 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list