View: 1973|Reply: 0
|
Cabaran umat hadapi teori konspirasi
[Copy link]
|
|
Cabaran umat hadapi teori konspirasi
BERWASPADA menghadapi situasi akhir zaman adalah tindakan yang tepat.
SEKIRANYA kita meneliti hadis akhir zaman seperti yang dapat dirujuk, misalnya dalam ensiklopedia Mausu'ah Ahadith al-Fitan wa Asyrat al-Sa'ah susunan Dr Hammam 'Abd al-Rahim Sa'id bersama anak beliau, Dr Muhammad Hammam yang menghimpunkan 2,060 hadis, kita dapati antara punca kelemahan umat Islam bukan sahaja datang daripada pihak yang memusuhi Islam, tetapi juga banyak datangnya daripada diri umat Islam sendiri.
Rancangan pihak musuh hanya menjadi lebih mudah dengan kelemahan yang timbul pada umat Islam, bukan kerana kemantapan dan kehebatan konspirasi mereka.
Kita mengetahui Yahudi dan Nasrani tidak pernah berhenti memusuhi umat Islam, sebagaimana amaran Allah SWT: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)." (al-Baqarah: 120)
Rasulullah SAW juga bersabda: "Kalian pasti akan mengikut sunnah (kebiasaan) orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang dhab sekalipun, nescaya kalian akan mengikuti mereka". Lalu kami bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah mereka Yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Maka, siapa lagi?" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini jelas memberi amaran supaya umat Islam tidak mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani. Ia juga bermakna kelemahan akan berlaku sekiranya umat Islam mengambil keputusan untuk mengikuti jejak langkah mereka.
Justeru, mereka berjaya bukan kerana kehebatan konspirasi mereka, tetapi kerana kelemahan diri umat Islam.
Nabi SAW mengkhabarkan bahawa di akhir zaman kelak akan muncul pelbagai fitnah, termasuk konspirasi daripada musuh Islam. Namun, selain mereka fitnah juga banyak datang daripada umat Islam sendiri. Seperti fitnah yang berlaku disebabkan pertelingkahan, huru-hara dan peperangan sesama sendiri.
Huzaifah bin al-Yaman RA berkata: "Pernah disebutkan Dajjal di sisi Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: "Sungguh fitnah sebahagian daripada kalian lebih aku takuti daripada fitnah Dajjal dan tidaklah seseorang selamat daripada fitnah sebelumnya melainkan pasti ia akan selamat daripada fitnah Dajjal. Dan tidaklah fitnah dibuat semenjak wujudnya dunia, sama ada kecil atau pun besar melainkan untuk fitnah Dajjal." (Riwayat Ahmad)
Juga fitnah yang menyebabkan keruntuhan akidah, maksiat berleluasa dan orang mudah menggadaikan agama demi sedikit habuan dunia. Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah kalian beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di petang harinya atau di petang hari seorang lelaki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia." (Riwayat Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)
Berwaspada dalam menghadapi situasi akhir zaman adalah tindakan yang tepat. Kita juga tidak menafikan sama sekali kewujudan konspirasi musuh untuk merosakkan dan menghancurkan Islam. Namun, terlalu taasub kepada sesuatu teori sehingga terbawa dalam mimpi dan mengaitkan apa sahaja yang berlaku dengan Yahudi atau Barat seperti penjarakan saf solat dan pemberian vaksin Covid-19, bukan satu tindakan yang bijak.
Dikhuatiri ketaasuban atau paranoid kepada teori konspirasi boleh menggoyahkan asas akidah dan menghilangkan keyakinan terhadap ketentuan Allah SWT, membelakangi dalil al-Quran dan hadis sahih, menyampaikan maklumat palsu serta menanamkan rasa terlalu curiga dan tidak percaya terhadap kelompok Islam tertentu tanpa sebarang bukti yang kukuh.
Sejauh mana hebatnya konspirasi Yahudi sekalipun, Nabi SAW sudah mengkhabarkan bahawa mereka kelak akan menjadi lemah dan tidak berdaya. 'Abdullah bin 'Umar RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Yahudi akan memerangi kalian, namun kalian akan dapat menguasai mereka sehingga batu dan pokok akan berkata: "Wahai Muslim, ini ada orang Yahudi di belakangku, maka bunuhlah dia" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Muslim: "...kecuali pokok gharqad (sejenis pokok renek), kerana ia adalah pokok Yahudi."
Justeru, jangan terlalu terpesona dengan teori konspirasi sehingga mengangkat dan 'mengagungkan' bangsa Yahudi tanpa kita sedari. Seolah-olah mereka perancang segalanya dan berjaya menguasai dunia. Jangan kita melupakan Allah SWT, Tuhan semesta alam yang lebih berkuasa dan mengatur segalanya. Sebagai umat Islam, kita wajib berpegang teguh dengan ajaran Nabi SAW yang diperjuangkan oleh ulama, pewaris Nabi AS. Menguar-uarkan teori konspirasi tanpa usaha memuhasabah diri, mengukuhkan iman dan takwa dalam diri umat Islam serta meyakini pertolongan daripada Allah SWT, hanya akan menyebabkan ketakutan dan kegelisahan awam yang tidak perlu.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|