CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2571|Reply: 3

'Dedah keaiban dibenarkan bagi yang dizalimi'

[Copy link]
Post time 3-10-2021 05:26 PM | Show all posts |Read mode
'Dedah keaiban dibenarkan bagi yang dizalimi'


GAMBAR HIASAN

Pendakwah dedah aib atau dedah kemungkaran? Itu yang berlegar dalam fikiran ramai apabila tular baru-baru ini 'isu negatif' berkaitan pendakwah tertentu yang dikenali ramai.

Masyarakat pula melihat perkara ini sama ada sebagai usaha menjatuhkan individu tertentu atau cuba menegakkan kebenaran serta keadilan.

Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan masyarakat yang kurang jelas berhubung frasa 'aib seseorang itu hendaklah ditutup'.

Bagi mengupas isu ini, ikuti wawancara Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) PROF MADYA DR AHMAD SANUSI AZMI bersama bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.


Bagaimana kita digalakkan untuk menyimpan aib seseorang dan bagaimana kaedah betul untuk mencegah kemungkaran?

Secara asasnya, seorang Muslim diperintahkan agar memelihara aib dirinya sendiri.

Perkara ini dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang mencela golongan Mujahirin.

Siapakah dia golongan Mujahirin ini? Golongan Mujahirin adalah kumpulan manusia yang mendedahkan kelakuan dosa dan maksiat mereka sedangkan Allah SWT sudahpun menutup keaiban tersebut.

Melalui hadis ini, dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW membenci manusia yang sewenang-wenangnya mendedahkan keaiban mereka sendiri, apatah lagi mendedahkan keaiban
orang lain.

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW menggalakkan Muslim agar menutup aib saudaranya.

Perkara ini sudahpun dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: "Barang siapa yang menutup aib saudara muslimnya, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat kelak, dan barang siapa yang membuka aib saudara muslimnya, maka Allah SWT akan mendedahkan keaibannya sehingga dia merasa malu dengan keaiban tersebut (sekalipun) dia berada di dalam rumahnya" (HR Ibn Majah - dinilai Sahih oleh al-Albani).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa baginda mendidik sahabat agar tidak sesuka hati mendedahkan aib saudaranya.

Namun timbul pula persoalan, bagaimana sekiranya seorang wanita dirogol atau diganggu secara seksual?

Apakah kita tidak dibenarkan mendedahkan kelakuan dosa atas nama menjaga keaiban seseorang itu?

Dalam perkara ini Islam membenarkan kita mendedahkan keaiban tersebut.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi yang memberikan perincian bahawa terdapat enam situasi yang membenarkan seseorang itu mendedahkan keaiban seseorang.

Antaranya, sekiranya seseorang itu diganggu secara seksual, maka mangsa boleh mendedahkan keaiban tersebut kepada pihak berkuasa.

Ini bagi memastikan kezaliman dan jenayah tersebut berjaya ditegah dan mereka yang dianiaya perlu diberikan keadilan.

Mendedahkan keaiban dibenarkan bagi seseorang yang dizalimi.

Ini difahami daripada firman Allah SWT yang menyebutkan: "Allah SWT tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiaya (iaitu yang dizalimi)," (Surah al-Nisa: 148)

Firman Allah SWT ini menunjukkan bahawa mereka yang dizalimi, boleh mendedahkan jenayah atau keaiban yang berlaku bagi membela hak mereka.

Bagaimanapun, bukti dan pendedahan itu hendaklah diserahkan kepada pihak berautoriti dan bukannya dicanang di media sosial.

Pendedahan bukti kepada tatapan umum bukan sahaja mengganggu siasatan pihak pendakwa malah boleh menyebabkan sebaran keaiban tersebut menjadi tidak terkawal sehingga setiap individu akan menjadi hakim tanpa elaun di mahkamah Facebook.


Sesama ilmuan agama bertelingkah. Cegah kemungkaran atau dedah aib?

Saya melihat setiap ilmuan mempunyai asas tersendiri dalam pendirian mereka.

Di satu pihak, terdapat ilmuan dan pendakwah yang bertegas memperjuangkan hak mangsa yang dizalimi.

Perjuangan dan laungan mereka ini bagi menarik lebih ramai mangsa untuk tampil memberikan keterangan.

Usaha ini mempunyai asas yang kukuh selari dengan konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, seperti yang saya sebutkan tadi, penyerahan bukti yang terbaik adalah diserahkan terus kepada pihak berkuasa atau wakil peguam dan bukan dilonggokkan di dalam media sosial atau diserahkan melalui aplikasi WhatsApp.

Lambakan bukti yang diserahkan kepada pihak ketiga ini dibimbangi berlaku ketirisan dan akhirnya tersebar menjadi tatapan umum.

Benar, serahan kepada pihak berkuasa atau pihak peguam mangsa juga boleh berlaku kebocoran maklumat.

Tetapi sekurang-kurangnya, bukti tersebut itu sudah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa dan bukan di atas bebanan bahu masyarakat.

Ingatkah kita saranan pihak pendakwah dahulu yang menyeru agar tidak dilibatkan orang yang tidak berkaitan dalam serbuan jabatan agama ke hotel-hotel dalam usaha mencegah aktiviti maksiat.

Ini bagi memastikan rakaman yang tidak sewajarnya tersebar kepada pihak yang tidak berkaitan.

Ini kerana pernah terjadi suatu ketika dahulu, sebuah rakaman yang mengaibkan dalam serbuan di hotel dirakam dan disebarkan ke media sosial sedangkan objektif asal pihak berkuasa adalah bagi mencegah jenayah.

Namun disebabkan kelonggaran polisi dan ketidakpatuhan kepada prosedur menyebabkan keaiban seseorang didedahkan dengan jalan yang tidak wajar.



Ada ilmuan agama jadikan masyarakat sebagai 'perisainya' daripada diserang, ada ilmuan agama pula jadikan masyarakat untuk 'menyerang' pesaingnya?

Ini adalah perkara yang tidak wajar. Mereka seakan-akan menggunakan pengaruh follower mereka untuk menegakkan perjuangan atau mempertahankan diri mereka.

Tindakan ini dilihat seakan memanipulasi sentimen dan perasaan follower yang mungkin tidak mempunyai gambaran yang jelas dalam isu ini.

Jalan yang terbaik adalah sekiranya dialog sesama ilmuan itu dapat diadakan dan setiap mereka boleh mempersembahkan hujah dan pendirian mereka berteraskan dalil-dalil yang kukuh.

Jalan ini lebih mendamaikan yang mana setiap ilmuan cuba memahami pendirian sahabatnya yang lain dan memikirkan jalan yang terbaik dalam menangani kemelut yang meruncing ini.



Cegah kemungkaran dan dedah aib kini jadi polemik masyarakat. Ilmuan agama dijadikan contoh baik namun perkembangan terkini menjadikan masyarakat tidak tahu mana yang betul dan mana yang salah?

Ya, inilah yang saya katakan tadi.

Apabila setiap ilmuan berselisih pendapat dan menyatakan pendirian masing-masing melalui pengumuman di media sosial sahaja, ia dilihat bukan sahaja tidak menyelesaikan isu bahkan dibimbangi menjadi contoh yang tidak baik buat masyarakat.

Saya lebih suka andai sekiranya masing-masing menghentikan dahulu perselisihan dan mengadakan pertemuan dalam memahami isu ini.

Bukankah kesatuan hati dalam mencegah kemungkaran itu akan memberikan ketumbukan yang lebih kuat.

Dalam mencegah kemungkaran, kita juga seharusnya mendidik masyarakat agar tidak semudahnya mendedahkan keaiban dan bersikap adil andai sekiranya sesuatu kesalahan itu dilakukan oleh tokoh yang kita sayangi.

Andai benar seseorang itu melakukan kesalahan, seorang Muslim hendaklah berlaku adil dengan membenci kesalahan yang dilakukan tersebut sekalipun yang melakukannya adalah orang yang baik-baik.

Kita semua maklum bahawa kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-10-2021 06:45 PM | Show all posts
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Reply

Use magic Report

Post time 3-10-2021 07:23 PM | Show all posts
bro firdahus wong terbaik
Reply

Use magic Report

Post time 4-10-2021 05:33 PM From the mobile phone | Show all posts
Aib dan jenayah ialah DUA PERKARA BERBEZA yachhh!
Hadamkannnn helok2
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-12-2024 05:18 AM GMT+8 , Processed in 0.530288 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list