ALLAHYARHAM Tan Sri Mohamed Rahmat memotong rambut Amy Search (tengah) sambil diperhatikan Awie (kiri) serta ahli kumpulan Search dan Wings
KU SYAFIQ KU FOZI
02 April 2019 3:00 AM
RAMBUT panjang memang sinonim dengan penyanyi rock pada 1980-an hingga 1990-an. Itulah penampilan awal kugiran tempatan seperti Search, Wings, Lefthanded dan Bumiputra Rockers. Bagi rockers-rockers ini, imej rock mereka tidak sempurna tanpa rambut panjang. Ia adalah identiti maka memotong rambut pendek bermakna mengorbankan identiti mereka.
Isu rambut panjang sangat hangat diperkatakan ketika muzik rock berada di kemuncaknya. Search dengan lagu ‘berhantunya’, Isabella mencatat kejayaan besar setelah meraih Anugerah Juara Lagu pada 1989 dan menembusi pasaran Indonesia. Lagu itu turut diangkat menjadi filem pada 1990 dengan menampilkan Amy Search dan aktres Indonesia, Nia Zulkharnain sebagai pelakon utama.
Agak malang, rambut panjang artis rock ini dikaitkan sebagai `imej negatif’. Sebelum itu, mereka telah terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk gaya hidup yang bebas dan ganas. Insiden ‘rusuhan’ semasa konsert Battle Of The Band di Pulau Pinang pada 1986 juga menconteng arang ke muka artis rock.
Rock selepas itu mula disinonimkan dengan hedonisme dan budaya kuning. Semua yang berkaitan dengan rock dilihat negatif baik dari segi muzik mahupun penampilan. Kemuncaknya, penampilan artis rock yang berambut panjang diharamkan oleh kerajaan pada 1990.
Utusan Malaysia pada 16 November 2013 pernah melaporkan isu ini secara eksklusif. Dalam laporan khas itu, legenda rock seperti kumpulan Wings dan Amy Search tampil mengimbau memori dan memberi penjelasan.
Penyanyi Wings, Awie atau Datuk Ahmad Azhar Othman tidak pernah melupakan detik bersejarah pada 1 November 1992 apabila rambutnya dan Amy Search dipotong oleh Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat. Upacara potong rambut itu disiarkan secara langsung di RTM.
Kata Awie, walaupun tidak bersetuju pada awalnya, namun Wings dan Search relak memendekkan rambut sebagai bukti bahawa mereka dan artis rock lain tidaklah sejahat seperti yang disangka.
Walaupun sepanjang dua tahun ‘berdegil’ tidak mahu memendekkan rambut dan penampilan mereka diharamkan oleh kerajaan, Awie berkata, perkara itu tidak memutuskan rezeki mereka. Katanya, mereka masih mampu menjana pendapatan melalui undangan persembahan di fun fair dan pesta-pesta yang rata-ratanya dihadiri ribuan peminat.
Namun mengorbankan identiti bukan sesuatu yang mudah. Sisipan Mingguan Malaysia, Panca pada 8 November 1992 melaporkan, Amy dan Awie menangis selepas dipotong rambut pada upacara itu. Gambar mereka berpelukan sambil menangis yang dibidik jurugambar, Jefri Iran juga dipaparkan.
Wartawan terkenal, Juwie melaporkan, Amy berasa sedih kerana dia sudah 10 tahun membela rambut tersebut dan menganggap imej tersebut sebagai satu da­ripada perjuangan mereka selama terlibat dalam bidang seni.
Penampilan kedua-dua kumpulan itu selepas memotong rambut masih ada imej rock kerana syarat kerajaan ketika itu, rambut lelaki tidak boleh panjang melepasi paras bahu. Rambut mereka masih panjang dan muzik mereka masih pekat irama rock.
Cuma selepas peristiwa itu, populariti mereka tidak lagi sehebat dulu. Genre lain seperti balada juga sudah mula mendapat tempat di hati peminat. Di Barat pula, muzik hip hop perlahan-lahan mengumpul pengaruh.
Search dan Wings turut merasai kesuraman muzik rock sehingga Amy dan Awie masing-masing mula mengatur langkah membina kerjaya secara solo. Amy tampil dengan album solo pertamanya, Magic pada 1994 dengan imej botak manakala Awie juga menghasilkan album solo berjudul Awie pada tahun yang sama.
Generasi remaja pada 1980-an dan 1990-an boleh ketawa sesama sendiri sekarang mengenang era mereka berambut panjang. Apatah lagi kini setelah usia melangkaui 40-50 tahun, berambut panjang adalah amat merimaskan dan ada juga yang sudah botak.
Vokalis Blackfire, bekas Editor Fantasi meninggal dunia
Zulhisham Isahak
13 April 2019 7:03 PM
AZMI BAHARI (dua dari kiri) merupakan tonggak utama kumpulan Blackfire yang ditubuhkan pada 1982 di Kangar, Perlis sebelum merakamkan album pertama pada 2006 di bawah Nebiula Productions. - UTUSAN ONLINE
JOHOR BAHRU 13 April - Vokalis kumpulan Blackfire dan bekas Editor Majalah Fantasi, Azmi Bahari, 58, meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Bandar Bahru Selayang, Selangor kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Beliau yang terlantar selepas diserang penyakit tersebut sejak lima tahun lalu meninggalkan isteri, Sabariah Jais, 55, dan tiga anak, Asraf Alif, 27, Afiq, 24, dan Adila, 23.
Azmi sebelum ini juga pernah menjadi wartawan, penulis dan tulang belakang antaranya untuk Majalah Anak-anak Sidek, Majalah Cabai dan Berita Publishing sejak awal 90-an hingga sebelum beliau jatuh sakit selain merupakan aktivis politik.
Menurut isterinya yang lebih dikenali sebagai kartunis Cabai di Majalah Gila-Gila, keluarganya reda dengan ketentuanNya dan berharap suaminya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Arwah Azmi sudah lama sakit. Beliau merupakan seorang yang ceria dan mudah berdamping dengan sesiapa sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.
Jenazah Azmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Bahru kira-kira pukul 11.30 pagi tadi dengan dihadiri ahli keluarga, kenalan dan saudara-mara.
AZMI BAHARI
Anak kelahiran Kangar, Perlis itu bersama-sama Blackfire yang ditubuhkan pada 1982, aktif melakukan konsert dan gigs termasuk pernah menyertai pertandingan juara-juara rock 80-an antaranya sekitar Perlis, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Blackfire yang pernah berkongsi pentas antaranya dengan kumpulan M.A.Y, D’Febians dan S.Y.J, merupakan kumpulan ekstrem metal pertama Malaysia selain pencetus kepada permulaan muzik berat dan pergerakan underground di Malaysia.
Blackfire mengeluarkan album pertama pada Jun 2006 di bawah Nebiula Productions yang menggabungkan lagu Melayu dan Inggeris sebelum melakukan konsert reunion pertama kira-kira 10 tahun lalu dan tidak lama selepas itu berpecah.