|
Suami Isteri Dua-dua Jenis Penakut, Siapa Yang Patut Lindungi Siapa?
Suami isteri masing-masing perlulah saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain sepanjang melayari bahtera keluarga. Sebenarnya, banyak perkara yang perlu diambil berat, terutamanya ialah komunikasi.
Dalam berumah tangga, komunikasi adalah penting kerana mana-mana pasangan pasti tidak mahu sebarang salah faham dan sebagainya tercetus yang akhirnya boleh mengundang pergaduhan.
Selain komunikasi, sifat berani dan dominan juga merupakan ‘kekuatan’ dalam hubungan. Pendek kata, salah seorangnya haruslah memiliki ciri-ciri pemberani dan dominan supaya boleh menjadi pelindung keluarga.
Namun, bagaimana pula jika suami dan isteri kedua-duanya bersifat penakut atau pengecut? Jika masing-masing jenis langsung tidak berani untuk buat apa-apa, siapakah yang patut lebih dominan atau kata lainnya, ‘siapa yang lindungi siapa?’
Persoalan ini telah pun dijawab oleh seorang agamawan profesional yang juga ahli akademik terkenal, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff menerusi satu temubual bersama Siakap Keli (SK) hari ini.
Suami isteri saling melengkapi
Menurut Dr. Izhar, kehidupan berumah tangga adalah satu fasa untuk saling lengkap-melengkapi dan masing-masing mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.
“Dalam isu rumah tangga, kita tidak boleh nak tetapkan bahawa yang dominan itu adalah lelaki, ada kalanya yang dominan itu (juga) perempuan.
“Setiap daripada suami dan isteri itu ada kekuatan dan kekurangan mereka masing-masing,” katanya ketika dihubungi SK menerusi panggilan telefon hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Izhar menambah, ada sesuatu keadaan di mana sang suami itu perlu lebih kuat serta dominan berbanding isteri.
Katanya, hal itu adalah lebih baik kerana sifat ‘fitrah’ seseorang suami mahupun lelaki itu adalah menjadi seorang pemimpin dan pelindung.
Adakalanya isteri lebih dominan
Namun, tidak dinafikan ada juga situasi yang memerlukan si isteri menjadi dominan dan lebih ke hadapan berbanding suaminya sendiri.
“Dan ada juga sesetengah keadaan, suami tidak boleh nak buat apa. Yang mampu dan dominan adalah isteri, khususnya dalam bab-bab yang melibatkan pentadbiran anak-anak.
“Pentadbiran maksudnya yang melibatkan perhiasan rumah, makan minum..itu mereka yang lebih dominan dalam bab ini,” katanya.
Ada situasi perlu mengikut naluri
Bagaimanapun jelas Dr. Izhar, ada juga sesetengah keadaan yang memerlukan kecenderungan sifat naluri seseorang itu dan ia bergantung pada situasi.
“Tapi kalau dalam bab perompak, pecah rumah, (dikejar) anjing dan sebagainya yang melibatkan sifat naluri seseorang itu, kalau katakan dua-dua jadi penakut, dua-dua takut anjing, dua-dua takut perompak..semua benda.
“Jadi kalau keadaan macam ini, dia tengok pada situasi.
“Katakan perempuan itu lebih dominan dalam bab ini, dia boleh halau anjing, dia boleh halau hantu, boleh bertumbuk dengan perompak (dan sebagainya), adakah suami perlu rasa malu? Tidak perlu.
“Kerana suami isteri ini tugasnya saling lengkap-melengkapi. Ada keadaan yang suami kuat, ada keadaan isteri yang kuat, ada keadaan dua-dua tidak kuat.
“Bila keadaan dua-dua tidak kuat, maka dua-dua itu saling bantu-membantu antara satu sama lain bagi memastikan keluarga mereka selamat dan bahagia,” katanya lagi.
Walaupun masing-masing memiliki keperibadian tersendiri yang boleh mendominasi mengikut keadaan, namun isteri tetap perlu taat kepada suami selagi mana ‘heronya’ itu tidak menyuruh untuk berbuat kemungkaran.
Malahan, Allah juga telah menjanjikan syurga buat mana-mana isteri yang mentaati suaminya selaras dengan apa yang telah digariskan dalam syariat Islam dan fiqh munakahat (perkahwinan).
Merujuk petikan hadis berkaitan ketaatan isteri kepada suami seperti yang ditulis dalam artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahada Nabi Muhammad SAW bersabda;
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
Hadis ini bermakna: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki,” (Hadis riwayat Ibn Hibban: 4,163).
Sumber: temubual bersama Dr. Izhar Ariff
|
|