CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 827|Reply: 0

Karya saham akhirat

[Copy link]
Post time 31-3-2022 04:37 PM | Show all posts |Read mode
Karya saham akhirat


KEBIJAKSANAAN menggarap idea dalam menyampaikan mesej dakwah diperlukan agar masyarakat tidak hanyut dan tergelincir dari landasan Islam. FOTO Arkib NSTP


Seni dalam pelbagai bentuk seperti lakonan, nyayian, tarian dan lukisan adalah saluran dakwah bagi menyampaikan mesej kebaikan dalam masyarakat. Sebahagian golongan menjadikan seni sebagai punca rezeki dan meraih pendapatan. Justeru ramai juga penggiat seni khususnya dalam industri filem dan drama yang terkesan ketika negara berhadapan wabak pandemik Covid-19 kerana tidak dapat menjalankan sebarang penggambaran dan produksi. Namun kelonggaran yang ditetapkan susulan situasi negara yang semakin pulih memberikan ruang kepada golongan seni untuk kembali beraksi.

Sebelum kewujudan pelbagai teknologi media dalam pembikinan filem dan drama, al-Quran menjadi sumber utama yang merakamkan dan menggambarkan pelbagai kisah pengajaran bagi menyampaikan mesej peringatan kepada umat manusia agar menjalani kehidupan berlandaskan syariat. Kini seni lakonan sering digunakan sebagai medium mempromosi, mempengaruhi dan meraih populariti. Maka tercetuslah pelbagai idea kreatif yang kemudian menghasilkan jalan cerita menarik dan mengujakan untuk tontonan ramai. Lakonan yang dipersembahkan dalam drama dan filem sering dilihat mampu membentuk persepsi dan budaya masyarakat sehingga menjadi bahan yang diperdebatkan.

Hakikatnya ajaran Islam sudah memberikan panduan tentang kandungan penyampaian melalui filem dan drama agar selaras dengan matlamat dakwah iaitu menjauhi elemen kemungkaran, mematuhi adab dan akhlak Islamiyah, membudayakan tanggungjawab sosial dan prinsip bekerjasama dalam melakukan kebajikan dan menentang keburukan serta mempromosikan keadilan sejagat. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Namun malang sekali apabila umat Islam disajikan dengan kandungan hiburan yang yang menyalahi norma dan moral sehingga mempengaruhi gaya hidup serta akhirnya menjadikan jiwa masyarakat tidak sensitif dan peka terhadap ajaran agama. Filem dan drama menyumbang kepada pembentukan akhlak kerana masyarakat dari pelbagai peringkat usia sama ada kanak-kanak sehinggalah orang tua mudah tertarik dan terpengaruh dengan apa yang ditonton dan disajikan di media. Justeru bantahan pelbagai pihak terhadap klip video sebuah drama tempatan yang tular baru-baru ini adalah tindakan yang wajar sebagai tanda kegusaran dan keprihatinan masyarakat untuk turut sama mengekang amalan yang bercanggah dengan panduan agama.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: "Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini". Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya" - (Riwayat Al-Bukhari). Berbangga dengan perlakuan maksiat dan menganggap perkara biasa dalam masyarakat disifatkan sebagai petanda akhir zaman. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nur ayat 19 bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)". Ayat tersebut menjelaskan golongan yang suka menghebahkan perbuatan keji dan memalukan seperti zina akan dikenakan azab oleh Allah SWT.

Di dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikemaskini pada 2015, hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107 sebagai rujukan kepada pelbagai pihak yang terlibat di dalam industri hiburan. Ia dapat dijadikan panduan di dalam usaha mewujudkan masyarakat yang dapat mengamalkan, menghayati dan menikmati hiburan berteraskan nilai akhlak dan syariat Islam. Di dalam garis panduan tersebut ditegaskan bahawa hiburan sepatutnya mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia.

Selain bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan, sesuatu program hiburan yang dianjurkan harus mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam. Hiburan juga tidak harus melalaikan dan jauh dari sebarang unsur syubhah atau situasi yang boleh mengundang kepada fitnah selaras dengan kaedah yang bermaksud 'berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan'. Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA yang maksudnya: "Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah."

Oleh itu, sebarang perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Tanggungjawab penggiat seni adalah menghasilkan kandungan yang baik manakala peranan masyarakat adalah memilih bahan tontonan yang bermanfaat. Kebijaksanaan menggarap idea dalam menyampaikan mesej dakwah diperlukan agar masyarakat tidak hanyut dengan pengisian yang tergelincir daripada landasan Islam. Berhadapan dengan pelbagai medium dan saluran hiburan masa kini, masyarakat harus bijak memilih dan meletakkan syarat kepada diri sendiri dan ahli keluarga agar tidak tersasar dalam membuat pilihan.

Tanggungjawab berkenaan juga berlandaskan prinsip untuk bersama-sama menyumbang dalam membina tamadun umat yang berkualiti dan berakhlak tinggi. Perkara tersebut bukanlah mustahil kerana sudah terbukti banyak drama dan filem yang dihasilkan dapat meninggalkan kesan yang baik kepada masyarakat. Karya seni dan hiburan yang mendorong kepada perubahan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang menjelang tiba, memberikan makna yang besar kepada penonton dan memberikan saham akhirat yang besar buat pembikin drama dan filem. Ia adalah sebuah perhitungan dosa dan pahala yang berpanjangan sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apapun dari pahala mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka." (Riwayat Muslim)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... karya-saham-akhirat

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 08:25 PM GMT+8 , Processed in 0.342888 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list