View: 962|Reply: 0
|
Bermazhab bererti mengikut sunah
[Copy link]
|
|
Bermazhab bererti mengikut sunah
HUKUM yang jelas dalilnya tidak termasuk dalam maksud bermazhab dan kewajipan berwuduk sebelum solat adalah satu daripadanya.
Memahami al-Quran dan hadis memerlukan kepada disiplin ilmu yang jelas, kaedah ilmiah muktabar serta guru bersambung sanad keilmuannya. Justeru, tidak harus seseorang itu cuba memahami kedua-duanya tanpa sebarang disiplin dan kaedah yang jelas serta guru yang mursyid.
Pada awal perkembangan ilmu Islam, terdapat ramai imam mujtahid dalam kalangan ulama Salaf yang mampu berijtihad serta menetapkan disiplin dan kaedah muktabar bagi memahami al-Quran serta hadis. Antara mereka ialah Imam Said bin al-Musayyib (wafat 94H) dan Imam Malik bin Anas (wafat 179H) di Madinah, Imam al-Hasan al-Basri (wafat 110H) di Basrah, Imam Ibn Abi Laila (wafat 148H), Imam Abu Hanifah (wafat 150H) dan Imam Sufyan at-Thauri (wafat 161H) di Kufah, Imam al-Auza'i (wafat 157H) di Syam, Imam al-Laith bin Saad (wafat 175H) dan Imam as-Syafii (wafat 204H) di Mesir, Imam Ibn al-Mubarak (wafat 181H) di Khurasan, Imam Sufyan bin Uyainah (wafat 198H) di Makkah, Imam Ishaq bin Rahawaih (wafat 238H) di Naisabur, Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H), Imam Dawud az-Zahiri (wafat 270H) dan Imam Ibnu Jarir at-Tabari (wafat 310H) di Baghdad.
Namun, kebanyakan mazhab imam ini telah pun pupus kerana tidak dipelihara, ditahkik, direkod dan diwarisi oleh pengikut mereka kecuali empat mazhab sahaja iaitu mazhab Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi), mazhab Imam Malik bin Anas (mazhab Maliki), mazhab Imam as-Syafii (mazhab Syafii) dan mazhab Imam Ahmad (mazhab Hanbali). Hanya empat mazhab ini yang mempunyai usul dan kaedah mazhab yang jelas, diwarisi secara bersanad, dikemas kini, diperinci, ditahkik dan diberi khidmat oleh tokoh alim ulama masing-masing.
Ciri-ciri yang ada pada keempat-empat mazhab ini cukup autentik serta metodologinya dilengkapi dengan usul, kaedah istinbat dan himpunan hukum yang sistematik berdasarkan inti pati al-Quran dan sunah. Hal ini menjadikan hukum syarak daripada keempat-empat mazhab ini dapat diyakini dan dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Justeru, ia berjaya kekal, bersambung turun temurun dan berkembang sehingga kini.
Perlu diketahui, bermazhab adalah bermaksud mencari kefahaman terbaik terhadap hukum syarak berasaskan dalil yang berbentuk zanni (berat sangka) serta kaedah pendalilan yang tepat menurut ijtihad ulama mazhab. Jika bukan sebab ini, tidak ada maknanya bermazhab. Hukum-hakam yang jelas dalilnya dan berbentuk qat'i (diyakini) pula tidak termasuk dalam maksud bermazhab seperti fardu wuduk, bilangan waktu solat, bilangan rakaat solat, wukuf di Arafah, wajib bertaubat, haram mencuri dan seumpamanya.
Mazhab pada hakikatnya adalah hasil penelitian secara mendalam dilakukan oleh imam mujtahid untuk mengetahui kehendak sebenar dan batasan syarak yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Dengan bermazhab, bererti memilih pandangan terbaik menurut ijtihad masing-masing, ia selari dengan tuntutan al-Quran dan hadis. Selain bertujuan menjaga umat Islam agar tidak terkeluar daripada batasan syarak dalam rangka menghayati cara hidup bersyariat yang diredai oleh Allah SWT.
Oleh itu, perselisihan pendapat antara mazhab memang tidak dapat dielakkan. Namun, secara umum ia berjalan dengan penuh adab dan toleransi atas dasar: "Pandangan kami benar, namun boleh jadi salah. Pandangan yang lain salah, namun boleh jadi benar." Juga berdasarkan konsep: "Jika benar, mendapat dua pahala dan jika salah, tetap mendapat satu pahala."
Adapun golongan antimazhab yang tidak mahu bermazhab dengan dakwaan ingin langsung merujuk kepada al-Quran dan hadis sebenarnya tanpa sedar turut 'bermazhab' juga. Ini kerana semua pandangan yang didakwa sebagai kuat oleh mereka hakikatnya adalah kefahaman yang juga datang daripada hasil ijtihad. Jelasnya, mereka juga bermazhab dengan ijtihad ulama yang menjadi ikutan mereka. Cuma disebabkan tidak mempunyai usul dan kaedah mazhab yang konsisten maka turut berlaku banyak perselisihan pendapat antara sesama mereka.
Justeru, bermazhab ertinya berusaha menurut tuntutan al-Quran dan sunah secara berdisiplin dan sistematik. Jika tidak, bererti ia cuba mengikut al-Quran dan sunah tanpa sebarang disiplin serta sistem yang jelas. Namun, golongan antimazhab mendakwa merekalah yang paling mengikut sunah Nabi SAW, walhal pandangan mereka masih dalam skop ijtihad belaka. Memadai dikatakan bahawa semua yang bermazhab adalah mengikut sunah Nabi SAW berdasarkan hasil ijtihad masing-masing.
Sangkaan segelintir pihak yang menggelar ustaz yang tidak bermazhab sebagai 'ustaz sunah', manakala ustaz yang bermazhab tidak layak dipanggil demikian, hakikatnya hanyalah sangkaan yang amat keliru serta boleh mengelirukan masyarakat.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... erti-mengikut-sunah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|