View: 946|Reply: 0
|
Aifa dijangka ganti Sivasangari acara beregu
[Copy link]
|
|
PEMAIN skuasy negara, Aifa Azman. FOTO ARKIB NSTP
Kuala Lumpur: Menjelang Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan, juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman dijangka digandingkan bersama Rachel Arnold dalam acara beregu wanita bagi menggantikan S Sivasangari yang terbabit kemalangan jalan raya, Ahad lalu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam tidak menolak kemungkinan menggandingkan kedua-dua pemain itu dalam usaha Malaysia meraih emas acara berkenaan.
"Kita sedang cuba banyak kombinasi sebab sepatutnya Sivasangari-Rachel…mungkin (akan ada) gandingan Aifa dan Rachel," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, senarai baharu atlet ke Birmingham 2022 dijangka diumumkan petang ini.
Sivasangari yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Birmingham 2022 bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilapor mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan antara lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada 3.46 pagi, Ahad lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu dipercayai penumpang kereta Proton Saga BLM yang terbakar 90 peratus selepas melanggar sebuah lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.
Sementara itu, Maniam berkata, sewaktu kejadian Sivasangari mendapat kebenaran SRAM untuk berada di rumahnya kerana tiada latihan diadakan pada Sabtu dan Ahad.
"SRAM memberi kebenaran kepadanya sama ada untuk tinggal di rumah atau Casa Majlis Sukan Negara (MSN) kerana beliau sudah lama berada di Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Sivasangari yang juga juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-37, sedang bercuti semester dari Universiti Cornell di AS dan menjadi sandaran emas negara dalam acara beregu, selain harapan dalam perseorangan wanita di Birmingham 2022, bermula 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... angari-acara-beregu |
|
|
|
|
|
|
| |
|