View: 852|Reply: 0
|
Peluang Izzuddin-Sze Fei balas dendam
[Copy link]
|
|
Beregu lelaki Malaysia Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin beraksi ketika menentang pasangan Jepun Keiichiro Matsui dan Yoshinori Takeuchi pada perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil semalam. - NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei enggan 'luka lama kembali berdarah' apabila membuat perhitungan dengan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi kedua Terbuka Malaysia, esok.
Izzuddin-Sze Fei menerima tamparan apabila tunduk di tangan lawan itu ketika aksi suku akhir Piala Thomas, bulan lalu yang menyaksikan Malaysia terlepas satu mata berharga apabila tewas 2-3 di tangan India sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.
Justeru, aksi di laman sendiri kali ini menjadi pentas terbaik buat pasangan ranking ke-12 dunia itu untuk melunaskan dendam mereka sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.
Bagi Izzuddin, 25, biarpun rekod pertemuan tidak memihak kepada mereka apabila tewas enam daripada tujuh perlawanan sebelum ini di tangan Rankireddy-Shetty namun ia bukan masalah besar apatah lagi percaya mereka akan dibantu dengan sokongan padu peminat tempatan.
"Bagi saya rekod pertemuan tidak penting kerana dalam perlawanan apa-apa pun boleh berlaku. Apa yang paling penting adalah kami buat yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Sze Fei, 25, berkata mereka akan tampil dengan ramuan baharu bagi 'menjinakkan' Rankireddy-Shetty yang berada di kedudukan ranking nombor lapan dunia.
"Sudah pasti kami mahu menang tetapi dalam masa yang sama kami tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Kami akan buat persiapan dan bincang dengan jurulatih mengenai strategi terbaik untuk kami melakar kemenangan," katanya.
Terdahulu, juara Terbuka Jerman 2022 itu tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-12, 21-12 dalam aksi pusingan pertama, semalam.
Jika berjaya menumbangkan Rankireddy-Shetty, Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan profesional negara, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng dengan beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi bagi merebut tiket ke separuh akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ze-fei-balas-dendam |
|
|
|
|
|
|
| |
|