View: 978|Reply: 0
|
'Patatimo Boys' harap pengorbanan terbalas
[Copy link]
|
|
Aksi Arif-Haikal ketika menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada suku akhir Masters Malaysia semalam. - NSTP/Fathil Asri
KUALA LUMPUR: Tewas di suku akhir badminton Masters Malaysia 2022 semalam, tidak mematahkan semangat gandingan beregu muda lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri.
Sebaliknya, gandingan yang digelar 'Patatimo Boys' itu bertekad bangkit di Terbuka Singapura yang bermula Selasa ini dengan berharap pengorbanan mereka berjauhan dengan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha esok terbalas.
Menurut Arif, dia dan Haikal sekali lagi terpaksa berkorban demi negara dan kerjaya selepas turut terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri Mei lalu kerana terbabit dalam kem persiapan ke Sukan SEA Vietnam 2022.
"Insya-Allah, kami akan bertolak ke Singapura esok. Di sini (Masters Malaysia) kami mara ke suku akhir dan di Singapura nanti kami ingin memasuki separuh akhir pula.
"Saya harap ada rezeki sempena Raya Haji ini. Mungkin boleh pergi lebih jauh di Singapura atau selepas itu di Terbuka Taiwan," kata Arif.
Gandingan yang berada di ranking ke-80 dunia itu terkandas di suku akhir Masters Malaysia selepas tewas di tangan pilihan keenam dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 10-16, 16-21 dalam tempoh 30 minit.
Mengulas mengenai pertemuan sulung dengan gandingan Indonesia yang berada di ranking kelima dunia itu, Haikal berkata, ia memberikan satu pengalaman berharga selain dapat mengetahui kekurangan yang dimiliki mereka.
"Alhamdulillah kami sampai ke suku akhir. Bagi saya lawan dengan gandingan ternama ini adalah satu pengalaman yang baik untuk saya dan Arif mengetahui apakah yang kami masih belum cukup.
"Saya nampak kekuatan antara kami dan mereka sangat berbeza. Paling tidak kami tahu apa yang perlu diperbaiki. Insya-Allah pada kejohanan seterusnya, kami ingin pergi lebih jauh lagi," kata Haikal.
https://www.bharian.com.my/sukan ... engorbanan-terbalas |
|
|
|
|
|
|
| |
|