Port Dickson: Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) akan menganjurkan program larian sejauh 10 kilometer (km), Fun Run IJED 202 sempena Hari Malaysia pada 16 September depan.
Pelepasan larian akan dilakukan di pintu gerbang Bandar Tentera Darat, Padang Ragbi Kem Sirusa, di sini.
Komandan Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Leftenan Kolonel Ts. Satian Rong berkata, program itu dikelola sepenuhnya oleh penuntut kursus Penyelia Juruteknik Kejuruteraan Siri 11/2022 yang mana terdapat silibus menyelia majlis di dalam kursus berkenaan.
Katanya, IJED bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) bagi mempamerkan usahasama pelbagai agensi dalam mempromosikan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat selain mewujudkan hubungan baik tentera bersama masyarakat setempat.
"Program larian itu bukan hanya dianjurkan bersempena Hari Malaysia tetapi bagi memupuk budaya sihat dalam kalangan anggota.
"Matlamat lainnya adalah mengekalkan tahap kecergasan dan kardiovaskular selari kehendak pimpinan tertinggi Tentera Darat yang mahukan tahap kesiapsiagaan anggota berada di tanda aras paling tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara Ahli Jawatankuasa Promosi program itu, Staf Sarjan Tc. Norjihan Salamoon mensasarkan seramai mungkin penyertaan dalam kalangan anggota.
"Diharap ramai anggota yang turut serta memandangkan program seperti ini adalah julung kali diadakan di sekitar Port Dickson tahun ini," katanya.
Pegawai Waran Cawangan, Cawangan Pengurusan Kejuruteraan dan Ketenteraan (CPKK), Pegawai Waran Dua Mohd Dzul Khairi Zainol berkata, pelaksanaan program itu bakal menguji setiap urus tadbir penuntutnya bagi menjayakan program larian.
Anggota tentera yang berminat untuk menyertai larian ini boleh mendaftar di laman web
https://cps4.me/ijed22 atau menghubungi AJK Promosi program di talian 019-6568713.
Tarikh akhir penyertaan adalah sehingga 10 Ogos depan.
Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang ringgit dan barangan elektrik, basikal serta hamper.
Peserta yang mendaftar juga akan diberi kit larian seperti baju T, pingat, 'hand band', waist bag (beg pinggang) serta e-sijil.