CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1282|Reply: 1

[SEJARAH] Panglima Saleh

[Copy link]
Post time 13-9-2022 02:44 PM | Show all posts |Read mode
HAJI SALEH BIN ABDUL KARIM


Ketokohan dan kepahlawanan Haji Saleh bin Abdul Karim atau Panglima Saleh mulai terserlah apabila beliau berpindah ke Batu Pahat untuk mengubah nasib diri dan keluarga selepas melarikan diri dari Singapura.

Perubahan sikap itu bermula apabila isterinya iaitu Basariah binti Abdul Rashid menuntut cerai dari Haji Saleh.
Pada mulanya Haji Saleh bersetuju bercerai tetapi membatalkan hasrat itu serta memujuk kembali isterinya selepas bertemu dengan gurunya di Singapura iaitu Habib Muhammad bin Salim Al-Attas (pewakaf Masjid Ba'Alwie) dan sahabatnya, Habib Haroon bin Ali Alhabshi (Imam Masjid Kampong Marican; Opal Crescent) yang menasihatkannya supaya tidak meneruskan langkah itu.

Ketika memulakan kehidupan di Batu Pahat, Haji Saleh menetap di Parit Gantung, sambil menjalankan perniagaan tukar barang. Namun, selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, keadaan Batu Pahat menjadi kucar-kacir kerana komunis dari Malayan Communist Party (MCP) bermaharajalela terutama di sekitar kawasan Seri Medan, menyebabkan situasi ketika itu tegang.

Pada Ogos dan September 1945, kekejaman komunis memuncak apabila mereka membunuh dan membakar rumah penduduk sekitar Batu Pahat sehingga menyebabkan ketakutan dan suasana kacau-bilau.

Penduduk kampung sering hilang tanpa kesan akibat ditangkap dan diseksa komunis sehingga mati; menyebabkan penduduk Melayu khususnya, hidup ketakutan.
Ekoran kekejaman itu, penduduk Melayu akhirnya bangkit mempertahankan hak serta nyawa mereka tetapi usaha Penghulu Mukim Empat iaitu Kari bin Muhammad Saad mengumpulkan penduduk menyerang balas komunis gagal.

Berikutan itu, Haji Saleh dicadangkan penduduk yang mengetahui ketinggian ilmunya. Langkah pertama Haji Saleh sejurus menerima tanggung-jawab itu ialah mengumpulkan sukarelawan, tetapi hanya 38 orang tampil kerana ramai sangsi kepimpinannya.

Haji Saleh mengumpulkan semua pejuang itu di kediamannya sebelum melakukan persiapan lengkap aspek keruhanian dengan amalan Ratib Al-Attas dan Ayat 4 sebelum memakaikan setiap pengikutnya dengan selempang merah sebelum melancarkan serangan pertama di Kangkar Senangar (Parit Sulong).

Dalam pertempuran itu, kejadian aneh berlaku apabila komunis yang bersenjata api hanya menembak ke arah atas kerana pada pandangan mereka, Haji Saleh dan pengikutnya seperti gergasi setinggi pohon kelapa.

Situasi itu dimanfaatkan Haji Saleh bersama pengikutnya untuk melibas parang dan pedang bagaikan sedang terbang hingga komunis tumbang satu persatu. Kejadian sama berulang dalam serangan kedua yang disertai 100 pejuang terhadap komunis di kawasan Bukit Alam (Tongkang Pechah).

Kejayaan mereka tersebar ke seluruh Batu Pahat dan Muar, sekaligus menguatkan keyakinan penduduk Melayu terhadap kepemimpinan beliau menentang komunis ketika serangan diteruskan di Bukit Naning dan Ayer Hitam, Muar serta Semerah dan Parit Ju.

Sepanjang usaha para pengikut Haji Saleh itu memerangi komunis di Batu Pahat dan Muar, ada juga usaha perdamaian cuba digerakkan ketika Haji Saleh sendiri mengharapkan keamanan dinikmati.

Namun, ketika Haji Saleh bersetuju untuk perdamaian, komunis membalas dendam dengan menyerang perkampungan Melayu serta membunuh beberapa orang penghulu.
Berang tindakan itu, Haji Saleh kembali menyusun rancangan menyerang kubu serta lubuk komunis di pusat bandar Batu Pahat iaitu Bandar Penggaram hingga menarik penduduk Melayu di Batu Pahat dan Muar turun berkumpul di Bagan.

Ketika Haji Saleh mengetuai mereka dengan berjalan kaki dari Bagan ke arah pusat bandar Batu Pahat, Datuk Onn bin Ja'far yang merupakan Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu datang memujuk agar mereka membatalkan serangan tersebut.

Rupanya sebelum itu, penduduk Cina bergegas menemui Datuk Onn dan merayu supaya menyelamatkan Bandar Penggaram daripada menjadi padang jarak kerana takut amukan Haji Saleh dan para pengikutnya.

Datuk Onn berbuat demikian berikutan komunis mengancam membakar keluarganya bersama kediaman mereka jika gagal memujuk Haji Saleh membatalkan rancangan serangan itu.

Selepas rancangan menyerang Bandar Penggaram dibatalkan, Datuk Onn memanggil penghulu setiap mukim di Batu Pahat, ketua komunis dan penduduk Cina dari Bandar Penggaram berunding di Dewan Perniagaan Cina di Jalan Rahmat.

Pertemuan itu berjaya apabila semua pihak bersetuju menghentikan serangan dan pergaduhan. Batu Pahat dan Muar akhirnya aman dan tenteram daripada ancaman komunis.
Jasa Haji Saleh yang besar dalam menghapuskan kekejaman komunis di Batu Pahat diiktiraf apabila Datuk Onn membawanya menghadap Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah di Istana Besar.

Sultan Ibrahim berkenan memberi gelaran Panglima kepada Haji Saleh pada 26 Disember 1945 serta menitahkan beliau dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat di Batu Pahat bagi menggantikan Penghulu Kari yang meninggal dunia pada Julai tahun yang sama.

Jasa Haji Saleh tidak terhenti di situ sahaja, apabila beliau menjadi ikon pemimpin disanjungi masyarakat sebelum bekerjasama dengan Datuk Onn ketika memimpin masyarakat Melayu menentang gagasan Malayan Union.

Haji Saleh juga menitik-beratkan pelajaran; dengan hasil usahanya bersama penduduk terdirilah beberapa buah sekolah iaitu Sekolah Seri Laksana, Sekolah Seri Chomel dan Sekolah Seri Cantik yang masih wujud hingga kini.
Haji Saleh yang lahir pada tahun 1916 di Kampong Tanjong Olak Batu (Bukit Pasir, Muar) merupakan dari suku Banjar. Beliau berguru dengan beberapa tokoh ugamawan di Johor. Salah seorang darinya ialah Kiyai Fadhil bin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Kiyai Abu Bakar Banten yang mengamalkan Wirid Khaujakan.



Beliau juga sempat mendapat bimbingan dari Habib Muhammad bin Salim Al-Attas sewaktu Habib Muhammad menetap di Ayer Hitam dari tahun 1936 hingga 1939 sebelum berpindah ke Singapura.

Pada tahun 1939, Haji Saleh berhijrah ke Singapura untuk bekerja di St Andrew's School selama 3 tahun dan menetap di Kampong Marican (Moonstone Lane).
Semasa keberadaannya di Kampong Marican, beliau bersahabat rapat dengan Habib Haroon bin Ali Alhabshi.

Persahabatan mereka sebenarnya telahpun terjalin sejak tahun 1936 apabila Habib Haroon sering ulang-alik ke Ayer Hitam kerana sama-sama berguru dengan Habib Muhammad bin Salim Al-Attas. Malah mereka adalah segelintir murid yang telah diberikan ijazah Ratib Al-Attas dan amalan khas Ayat 4 oleh Habib Muhammad.

Haji Saleh meninggal dunia di Hospital Besar Johor (kini Hospital Sultanah Aminah) pada 21 April 1959 akibat penyakit bengkak paru-paru dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai (Batu Pahat).

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir selang beberapa bulan setelah meninggalnya sahabat setianya, Habib Haroon di Singapura.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-9-2022 02:44 PM | Show all posts
Parang terbang?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 08:31 PM GMT+8 , Processed in 0.058681 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list