Pagi tadi (13 Februari 2023) Maksim sempat mengadakan sidang media di Grand Hyatt Kuala Lumpur sempena konsertnya berjudul MAKSIM The COLLECTION. Pemain piano luar biasa yang pernah merangkul anugerah di Anugerah Muzik MTV sempat berkongsi pengalamannya di Malaysia dan mengakui negara ini sangat indah dengan warna-warni budaya yang menarik.
Maksim juga berkongsi persediaan dan rutin penjagaan diri yang diamalkan bagi memastikan jari-jemarinya dalam keadaan baik sebelum membuat persembahan bermain piano esok. Katanya, dia sentiasa menggunakan krim tangan beberapa kali sehari untuk merawatnya. Malah dia sering ke pusat kecergasan dan lebih gemar berenang.
” Ya, saya akan sentiasa menggunakan krim tangan untuk merawat kulit. Selain itu saya gemar ke gym dan berenang merupakan salah satu aktiviti yang saya suka kerana ia boleh buatkan otot-otot saya lebih relaks”- kataya kepada media.
Dilahirkan di Croatia, Maksim merupakan antara pemain piano ‘classical crossover’ terkenal di dunia. Selepas memperoleh tempat pertama di Pertandingan Piano Rubinstein di Perancis, beliau berpendidikan di The Franz Liszt Academy of Music, Budapest dan Alexander Scriabin Conservatoire, Paris. Kontrak pertama beliau bersama label rakaman EMI menyaksikan rilisan album ‘Piano Player’ yang mencatat jualan lebih 4 juta keping. Beliau turut menerima Platinum Ganda di Hong Kong serta status emas di Singapura dan negara-negara lain.
Dapatkan tiket anda sekarang di tsasia.sales.ticketsearch.com atau hubungi +60175320128 melalui WhatsApp. Untuk maklumat lanjut, ikuti @HarmonieInternational di Facebook.