|
Sering kecundang dalam percintaan dan berganti pasangan, hubungan cinta terbaru Taylor Swift bagaimanapun dikhabarkan tidak direstui peminat.
Pun begitu, penyanyi berkenaan hingga kini masih mengunci mulut berhubung khabar angin dia kini sedang bahagia menjalinkan hubungan cinta dengan vokalis kumpulan The 1975 iaitu Matty Healy.
Lebih menguatkan spekulasi apabila mereka dikatakan keluar makan malam bersama di sebuah restoran di Casa Cipriani, New York City, baru-baru ini.
Menerusi foto yang tersebar di Twitter, pasangan itu dilihat berpegangan tangan semasa berada di restoran berkenaan.
Malah, mereka juga dilihat bahagia melalui hubungan itu meskipun peminat seakan-akan tidak merestui mereka bersama.
"Mereka dah sah bercinta walaupun peminat tak setuju.
"Dia boleh cari yang lebih baik, tapi kalau dia dah suka sangat tak boleh nak buat apa," antara komen netizen.
Sebelum ini, media melaporkan penyanyi Love Story itu sudah bertemu pengganti selepas sebulan berpisah dengan Joe Alwyn.
Malah, menurut sumber terdekat Taylor, penyanyi berkenaan dan Matty pernah bersama sekitar 10 tahun lalu, namun percintaan mereka ketika itu hanya berlangsung dalam tempoh singkat.
Walau bagaimanapun, pasangan berkenaan masih lagi belum mengesahkan hubungan mereka kepada umum.
Untuk rekod, Taylor dan Joe menjalinkan hubungan cinta sejak 2018 namun mereka berpisah pada April lalu.
Sumber: mStar |
|