|
Tidak pernah terfikir bergelar pempengaruh media sosial atau TikTokers, Muhamad Ilyas Asyraf Mat Ali atau dikenali sebagai Aaabias, 28, mendedahkan gelaran itu hadir bersama tanggungjawab besar.
TikTokers kelahiran Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam itu berkata, awalnya dia hanya leka menghasilkan video tarian ketika mula-mula berjinak dalam dunia TikTok, dua tahun lalu.
Namun, katanya, pertemuan secara tidak sengaja di sebuah masjid dengan seorang kanak-kanak yang boleh meniru tariannya membuka mata Aaabias bahawa setiap tindak-tanduknya dalam platform media sosial itu memberi impak kepada kanak-kanak.
"Timbul rasa bersalah kerana kanak-kanak mengikut perlakuan tidak baik, apatah lagi ia dilakukan dalam masjid. Saya diterpa rasa malu apabila jemaah lebih berusia memerhatikan sahaja aksi kanak-kanak berkenaan.
"Sejak itu, sebelum memuat naik kandungan, saya fikirkan kesan kepada pengikut, khususnya kanak-kanak. Jika kita lihat sekarang, kebanyakan kanak-kanak memiliki telefon bimbit dan suka menonton TikTok.
"Jadi, saya tidak mahu mempengaruhi pengikut dengan perkara tidak elok," kata Aaabias yang finalis kategori TikTokers Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Bekas siak masjid dan pengawal keselamatan di sebuah masjid di Seksyen 28, Shah Alam itu berentap dengan TikTokers lain seperti Aleya Zailan, Hafiz Mahamad, Sally Who dan Ustaz Ahmad Yusof.
Aaabias berkata, kandungan dihasilkan kini lebih menjurus kepada masakan dan makan angin, tetapi sesekali tetap memuat naik isi kandung 'mengarut' untuk menarik pengikut.
Bagaimanapun, katanya, setiap kandungan perlu diselang-seli bagi memastikan pengikut tidak bosan.
Selain itu, Aaabias berkata, sebagai pempengaruh, dia tidak mengejar populariti, sebaliknya setiap kandungan dihasilkan lahir daripada hati yang ikhlas.
"Keikhlasan penting, jika sibuk mengejar populariti saya rasa tidak seronok kerana kandungan tidak dihasilkan dengan sepenuh jiwa, sebaliknya terpaksa.
"Saya tidak pernah menyangka boleh sampai ke tahap kerana tujuan menyertai TikTok hanya untuk berniaga suatu ketika dahulu.
"Namun, daripada mengambil alih akaun orang dan menjual pakaian 'bundle', saya kini sudah memiliki jenama sendiri dengan menjual jersi, kurta, pakaian kasual dan banyak lagi," katanya.
Sebelum ini, kata Aaabias, dia menggunakan dialek biasa, tetapi sejak menggunakan bahasa utara, jumlah pengikutnya bertambah kerana pengguna TikTok sukakan kelainan.
Sejak itu, katanya, bahasa utara terus melekat digunakan sehingga hari ini.
"Saya memang tidak kekok menggunakan bahasa utara memandangkan ibu berasal dari Perlis," katanya.
Mengulas peluang menggenggam trofi TikTokers Popular, Aaabias juga anak sulung daripada lima beradik menyerahkannya ke tangan rezeki.
Aaabias melihat Sally Who sebagai pencabar terdekat juga tidak pernah menyangka namanya berjaya mara ke kelompok Top 5.
"Jujurnya, saya memang tidak ambil tahu langsung mengenai pencalonan ketika disenaraikan dalam Top 20. Saya terkejut dan rasa tidak percaya apabila ada rakan memaklumkan nama saya membolosi senarai Top 5.
"Kalah atau menang, saya serahkan kepada rezeki. Jika menang, Alhamdulillah. Namun, seandainya tewas, tidak mengapa kerana tiada rezeki saya," katanya.
Sumber: BH Online |
|