|
Kesihatan Celine Dion merosot, selalu kejang otot
CELINE DION
MENDERITA selepas didiagnosis sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS) sejak Disember tahun lalu, keluarga penyanyi pop dunia, Celine Dion bagaimanapun kekal tabah dan tidak langsung berputus asa.
Bahkan, mereka sentiasa berharap idola pujaan ramai itu sembuh seperti sedia kala.
Tampil menerusi temubual bersama majalah terkemuka Hello!, kakak kepada pelantun lagu hits My Heart Will Go On, Claudette berkongsi tentang ketabahan adik kesayangannya dalam melawan penyakit dihidapi.
“Celine seorang wanita yang sangat kuat dan akan melakukan apa sahaja untuk pulih. Meskipun tidak banyak yang kami tahu mengenai penyakitnya, tetapi kami yakin pasti akan menemui penawarnya.
“Tidak banyak dapat kami lakukan untuk meringankan penderitaannya, namun kami sekeluarga tetap bersamanya dalam mengharungi detik sukar ini,” ujar Claudette.
Dalam pada itu, Claudette juga sempat memaklumkan perkembangan kesihatan adiknya yang makin merosok lantaran berterusan mengalami kekejangan otot yang sukar untuk dikawal.
“Mungkin kita semua pernah melihat seseorang yang sering terjaga ketika sedang tidur akibat mengalami kekejangan otot di bahagian kaki atau betis.
“Begitulah juga keadaan dialami Dion, tetapi perkara ini berlaku pada semua bahagian anggota berotot di badannya,” jelasnya sayu.
Terdahulu, pada Disember tahun lalu, penyanyi berusia 56 tahun itu memuat naik sebuah video menerusi laman Instagramnya untuk memberitahu semua bahawa dirinya baru sahaja didiagnosis dengan sindrom SPS dan tidak dapat meneruskan konsert siri jelajah Eropah.
Selain itu, penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan mengalami masalah berjalan. – KOSMO! ONLINE.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... selalu-kejang-otot/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|