|
DI persada Hollywood, ada teori mendakwa, kalau ingin kerjaya sebagai bintang popular terus menjalar, jangan sesekali menyokong Palestin atau mempersoalkan kewajaran tindakan Israel membedil negara tersebut.
Nampaknya, disebabkan Israel mengambil pendekatan membutakan mata dan memekakkan telinga, kian ramai selebriti yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) tampil menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bersandiwara di belakang Benjamin Netanyahu.
Setakat artikel ini ditulis, lebih hampir 9,000 nyawa rakyat Palestin telah dibunuh kejam rejim Zionis yang melakukan serangan bertubi-tubi di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
KANYE WEST
Penyanyi rap terkemuka AS, Kanye West terkenal dengan kelantangan dirinya dalam meluahkan pendapat. Dalam satu temu bual secara langsung sebuah agensi berita di AS, Kanye mendedahkan mengapa selebriti tidak boleh menyokong Palestin. Katanya, kebanyakan kontrak selebriti dikawal selia orang Yahudi. “Kalau mereka cakap sesuatu yang berbalah dengan idealogi orang Yahudi, karier mereka akan tamat,” katanya.
BELLA HADID
Berketurunan Palestin dan mempunyai pengaruh kuat sebagai seorang selebriti, pendirian Bella Hadid memperjuangkan nasib Palestin tetap teguh meskipun berdepan ugutan dan ancaman daripada beberapa pihak pro-Israel. “Saya tidak takut kehilangan kerja sebagai model dan saya akan terus bersuara tentang isu Palestin,” ujarnya. Bukan itu sahaja disebabkan kelantangan seluruh keluarga Hadid memberi sokongan terhadap Palestin, keluarga mereka terpaksa membuat laporan polis apabila menerima ugutan bunuh.
MARK RUFFALO
Bukan sahaja seorang pelakon berwibawa, Mark Ruffalo tidak pernah takut bersuara tentang situasi yang berlaku di Palestin. Kalau dilihat muat naik dalam aplikasi X, Mark tidak pernah mengalah untuk melihat Palestin merdeka suatu hari nanti dan segala kezaliman yang berlaku di sana menemui titik noktah. “Saya gesa genjatan senjata dilakukan segera. Apa yang berlaku sangat menyedihkan,” kata Mark dalam aplikasi X.
KEHLANI
Kehlani merupakan antara selebriti Hollywood terawal yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Kalau dilihat dalam hantaran status media sosial, Kehlani yang cukup dikenali menerusi lagu Nights Like This itu tidak henti-henti memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebobrokan yang dilakukan Israel terhadap Palestin. Biarpun pun bukan seorang Muslim ataupun berdarah Palestin, Kehlani yakin dia berada pihak yang benar. “Tiada internet, tiada servis telefon dan pembunuhan beramai-ramai. Memang tiada perikemanusiaan,” kata Kehlani dalam satu hantarannya.
ANGELINA JOLIE
Selepas mendapat kecaman ramai kerana tidak bercakap perkara yang benar tentang konflik Israel-Palestin, Angelina Jolie ‘menggoncang’ dunia dengan status terbaharu yang dimuat naik dalam Instagram. Dalam hantaran status terkini, Angelina atau nama sebenarnya, Angelina Jolie Voight mengutuk serangan tidak berperikemanusian yang dilakukan tentera Israel. “40 peratus yang terbunuh adalah kanak-kanak,” demikian antara potongan kenyataan yang dikongsikan aktres itu.
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... persetankan-zionis/ |
|