|
Entri terbaharu dimuat naik Sarah di Instagram (IG) yang mendakwa mendapat perintah mahkamah melarang dirinya mengulas atau memuat naik kandungan menyentuh Aliff. Foto IG Sarah Yasmine
KUALA LUMPUR: Wanita yang mengaku kekasih Aliff Aziz, iaitu Sarah Yasmine mendakwa mendapat perintah mahkamah melarang dirinya mengulas atau memuat naik kandungan menyentuh pelakon dan penyanyi berasal dari Singapura itu.
Sarah mendakwa untuk sementara waktu sehingga kes selesai, mulutnya 'dikunci' sebab diberi perintah mahkamah. Bagaimanapun, Sarah tidak menyatakan dengan terperinci perintah mahkamah yang didakwa diterimanya itu.
"Untuk sementara ini, hingga kes selesai, mulut Sarah dikunci sebab diberi 'court order'. Sarah tidak boleh kata apa-apa atau muat naik apa-apa mengenai dia (Aliff) beberapa hari sebelum podcast (rakaman podcast diterbit The Common Folks) dimuat naik.
"Jadi, Sarah tidak boleh beri apa-apa kenyataan. Jadi, Sarah harap anda semua boleh berdoa untuk semuanya lancar dengan tindakan yang Sarah hendak buat terhadap semua individu yang Sarah mahu ambil tindakan," katanya melalui hantaran Instagram (IG), hari ini.
Dalam hantaran sama, Sarah meminta maaf kepada individu yang melayangkan mesej langsung kepadanya.
"Sesiapa yang hantar Direct Message (DM) saya mengenai kerja, Sarah minta maaf sangat. Sarah tak balas sebab fokus sepenuhnya dengan apa yang Sarah patut buat. Tetapi, Insya-Allah, Sarah boleh balas semua hari ini sebab inilah masanya," katanya.
Kisah Aliff makin panas selepas Sarah mendakwa dirinya kekasih Aliff, lantas membuka episod baharu kecurangan pelakon kelahiran Singapura itu.
Melalu pendedahan dimuat naik di IG, Sarah yang dipercayai kelahiran Singapura, turut mendakwa Aliff dipergunakan Ruhainies.
Rentetan itu, pelbagai pendedahan lain dilapor dibuat Sarah di IG Story yang turut mengaitkan beberapa selebriti lain seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Caprice, Emma Maembong dan Chacha Maembong.
Kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella Astillah tercetus lagi selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah di sini, Mac lalu.
Tidak tahan terlalu kerap dicurangi, Bella dilapor memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, pada 11 Mac lalu.
|
|