|
Ahmad Idham (kanan) bersama Exco Penempatan Dan Pekerjaan, Yayasan Koreksional Malaysia, Wan Ramzan Wan Ahmad pada majlis Aidilfitri Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Lebih lima tahun tidak menghasilkan drama televisyen (TV), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri teruja mendapat kepercayaan Metro Productions mengarahkan naskhah berkisar banduan yang menjalani hukuman di penjara berjudul Gari Jadi Saksi.
Bakal menjalani penggambaran bulan ini, telefilem yang akan ditayangkan di RTM mengetengahkan kisah banduan wanita melahirkan anak dalam penjara, namun terpaksa melepaskan bayi kepada orang lain untuk dijaga.
Ahmad Idham berkata, idea telefilem itu diajukan syarikat penerbitan, namun selaku pengarah, beliau membuat penambahbaikan bagi memperindahkan jalan cerita.
Bagaimanapun, beliau perlu bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan ketepatan fakta dalam paparan cerita.
"Gari Jadi Saksi diilhamkan daripada kisah benar. Bagi memastikan fakta betul, saya dapatkan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.
"Secara kebetulan, saya memang rapat dengan jabatan itu. Jadi, lebih mudah dapatkan maklumat tepat mengenai pengurusan banduan dan sebagainya," katanya ditemui BH Online pada majlis sambutan Aidilfitri Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang, baru-baru ini.
Masih menantikan kelulusan RTM bagi pemilihan pelakon, Ahmad Idham berterima kasih kepada stesen penyiaran kerajaan itu kerana meluluskan kisah dalam penjara untuk dipaparkan.
Beliau bersyukur RTM mengambil inisiatif mengetengahkan kisah banduan di penjara yang boleh dijadikan pengajaran kepada penonton.
"Sudah lama saya tak buat kisah mengenai penjara, kali terakhir filem 8 Jam lakonan Shaheizy Sam.
"Ramai tanya kenapa tak buat drama mengenai penjara, macam mana hendak buat kalau tiada permintaan.
"Apabila RTM sudah luluskan, ia memberi ruang kepada saya untuk menghasilkan karya mengenai penjara. Sebenarnya, banyak kisah menarik dan telefilem Gari Jadi Saksi salah satu daripadanya.
"Saya akan berjumpa pegawai penjara untuk jalankan kajian. Saya faham penjara ada misi untuk 'merakyatkan' penjara yang mana ia bukan macam dahulu iaitu sebagai tempat jalani hukuman.
"Sekarang penjara jadi tempat pemulihan, malah sudah ramai banduan memiliki ijazah," katanya.
Ahmad Idham teruja mengarahkan telefilem Gari Jadi Saksi dan akan cuba memberi sentuhan terbaik bagi membina rangkaian peminat baharu.
"Untuk kekal relevan dalam industri kreatif, saya kena buat naskhah bagus" katanya.
|
|