View: 7253|Reply: 1
|
Malaysia ada peluang cerah edisi 2026
[Copy link]
|
|
HASRAT Malaysia untuk melangkah ke final Piala Thomas tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada China di separuh akhir kelmarin. - AFP
CABARAN skuad badminton negara pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China menemui titik noktah apabila tersingkir di separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah kelmarin.
Meskipun tewas, namun ada beberapa perkara positif boleh diambil memandangkan rata-rata pemain Malaysia berusia lingkungan 21 hingga 26 tahun, sekali gus masih memiliki masa untuk berkembang menjelang edisi 2026 di Horsens, Denmark.
Ia dapat dibuktikan menerusi aksi ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi pemain-pemain beregu yang sentiasa konsisten setiap kali masuk ke dalam gelanggang.
Bagaimanapun, masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi kepercayaan diri serta keyakinan ketika berdepan situasi genting seperti disuarakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
“Berdasarkan apa yang dipamerkan oleh pemain-pemain di sini, saya fikir mereka perlu memiliki hati lebih kuat ketika berdepan mata penting seperti kita ketinggalan 1-2 kepada China hari ini (kelmarin).
“Bagi saya, apa yang paling penting adalah kita perlu dapatkan lebih keyakinan diri jika mahu menghasilkan sebuah pasukan terbaik selepas ini (edisi 2026),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, pasukan negara terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir selepas disingkirkan China meskipun sudah berjuang habis-habisan, terutamanya dalam dua aksi beregu menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Namun, Rexy tetap berpuas hati dengan semangat berpasukan ditampilkan pemain-pemain negara selain mengakui, Malaysia hanya tewas kerana kurang fokus ketika berada dalam situasi mata penting.
Legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek melaungkan keyakinan sekiranya pasukan sama dikekalkan untuk edisi seterusnya, Malaysia mampu memiliki sebuah pasukan mantap.
“Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain Malaysia kerana sudah berhempas-pulas cuba memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan, namun kita terpaksa akur dengan kehebatan China.
“Kemungkinan itu ada kerana rata-rata pemain masih muda, jadi mereka boleh bermain dua tahun lagi. Dalam tempoh itu, saya percaya Malaysia akan lebih mantap dan kuat,” ujarnya.
Penantian Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas selama 32 tahun berterusan selepas kali terakhir merangkul trofi teragung itu pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... g-cerah-edisi-2026/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|