View: 7324|Reply: 0
|
Kecederaan hantui Shah Firdaus
[Copy link]
|
|
Pelumba Johor, Shah Firdaus Sahrom (kiri) menjulang Datuk Azizulhasni Awang dari Terengganu yang menjuarai acara keirin lelaki elit pada Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan di Velodrom Nasional, Nilai semalam manakala adik Shah, Ridwan Sahrom meraih gangsa. – Foto NSTP/Azrul Edham
NILAI: Berbaki kira-kira dua bulan sebelum Sukan Olimpik 2024, pelumba berbasikal trek negara Shah Firdaus Sahrom sedang bergelut dengan kecederaan serta jangkitan bakteria dialaminya ketika ini.
Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu persiapannya untuk membuat penampilan kali kedua di Olimpik Paris pada Julai ini.
Shah Firdaus berkata, dia baru saja dimaklumkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) mengenai tendon di sebelah bahu kirinya koyak kesan daripada kemalangan dialaminya ketika tayar basikal meletup sewaktu mengejar motosikal di hadapannya pada sesi latihan di Velodrom Nasional, Januari lalu.
"ISN ada buat MRI (pengimejan resonans magnetik) dan mereka menunjukkan gambar tendon bahu saya koyak jadi disebabkan itu pergerakan saya terganggu.
"Doktor juga cadangkan untuk lakukan suntikan bagi membantu bahu saya pulih dengan cepat sebelum menjalani latihan di Eropah," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 semalam.
Shah Firdaus yang mewakili Johor, menyumbang pingat perak dalam acara keirin lelaki elit di belakang jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang yang mewakili Terengganu manakala adiknya Muhammad Ridwan pula gangsa.
Mengenai jangkitan bakteria, atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia mula mengalami perubahan dalam badannya termasuk kerap menggigil selain kesakitan otot sewaktu beraksi pada Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, Shizuoka baru-baru ini.
"Kadang-kadang latihan, okey namun esok pula rasa tak larat, macam ada yang tak kena. Lepas perlumbaan tadi badan menggigil, saya tidak pernah rasa sebegitu namun nasib baik berjaya habiskan perlumbaan dan syukur tidak pengsan atau kemalangan," katanya.
Shah Firdaus berkata, dia ketika ini bergantung kepada ubat antibiotik yang dibekalkan doktor bagi membunuh kuman dalam badannya susulan jangkitan itu.
Sementara itu, dia yang akan menjalani fasa latihan akhir di Eropah bulan depan, akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini termasuk kemalangan.
"Saya hanya mahu pastikan tidak boleh jatuh lagi kerana apabila terjadi, ia memang akan ganggu latihan seminggu hingga dua minggu disebabkan perlu jalani tempoh pemulihan.
"Saya akui memang bergelut sejak kebelakangan ini namun hanya perlu bersabar dan percaya Allah SWT akan beri ganjaran nanti," katanya. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... hantui-shah-firdaus |
|
|
|
|
|
|
| |
|