View: 6343|Reply: 0
|
Malaysia-Indonesia berentap di separuh akhir malam ini
[Copy link]
|
|
Aksi Regu B Malaysia Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi ketika menentang pasukan India dalam perlawanan suku akhir berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seperti diduga, Malaysia kini hanya selangkah untuk ke pentas final acara regu berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila menewaskan India 2-0 di suku akhir, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium 'Keramat' Titiwangsa, Malaysia kini harus menewaskan Indonesia di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung pada malam ini, selepas lawan itu turut mara ke peringkat empat terbaik itu apabila menewaskan Myanmar 2-0.
Satu lagi perlawanan separuh akhir malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan antara juara bertahan, Thailand dengan Korea Selatan.
Pada aksi menentang India sebentar tadi, jurulatih skuad takraw negara, Ahmad Jais Baharun mempertaruhkan regu juara dunia, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias sebagai regu pertama dan mereka membalas kepercayaan apabila berjaya menewaskan lawan 15-3, 15-11.
Aksi regu A Malaysia Muhammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias ketika menentang pasukan India dalam perlawanan suku akhir berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini. - Foto Bernama
Mata kemenangan Malaysia dimuktamadkan trio diketuai Aidil Aiman Azwawi, Zarif Marican dan Shahalril Aiman Halim yang menumpaskan regu kedua India 15-5, 15-12.
Syahir ketika ditemui berkata, rakan sepasukannya sudah mempamerkan aksi terbaik dan sudah bersedia berdepan Indonesia di separuh akhir walaupun menjangkakan saingan sudah tentunya bakal berlangsung sengit.
"Indonesia juga pasti ingin ke final dan ingin menebus kembali kekecewaan mereka yang tewas di tangan Malaysia ketika perlawanan final regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sebelum ini.
"Indonesia satu pasukan yang kuat selain mempunyai pemain berkualiti serta semangat juang tinggi... jadi kita kena berjaga-jaga dan tidak terlalu yakin. Mereka pasti akan berjuang sebaik mungkin," kata Syahir.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ruh-akhir-malam-ini |
|
|
|
|
|
|
| |
|