ALBUM: Annuar merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pemimpin adat yang hadir pada majlis penyerahan watikah pelantikan yang diadakan.
KENINGAU: Pelantikan sebagai ketua adat dalam kalangan penduduk bukan sahaja merupakan suatu penghormatan tetapi juga merupakan satu tanggungjawab yang besar dalam menjaga serta memelihara adat dan budaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman berkata beliau yakin mereka yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana mereka memiliki pengalaman yang luas bagi memelihara adat dan budaya.
"Kepada ketua -ketua adat yang dilantik, saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
"Tanggungjawab yang akan dipikul adalah berat tetapi saya yakin dengan pengalaman dan komitmen anda semua, adat dan budaya kita akan terus terpelihara dan di hormati," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan di Bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau, baru-baru ini.
Antara yang menerima watikah ialah Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Masyarakat Cina (KMC) dan Ketua Kampung (KK) serta Mahkamah Anak Negeri (MAN).
Annuar yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Berhad (SEC) berharap menerusi pelantikan itu, ia dapat memperkukuhkan lagi institusi adat dan memajukan kawasan dengan penuh dedikasi.
"Saya juga berharap kerjasama antara ketua-ketua adat dan pihak berkuasa tempatan akan terus berjalan baik demi kepentingan bersama," katanya.
|