JAWAI
BAU: Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang di kawasan Gunung Tabai, di sini sejak 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata pihaknya hanya mendapat maklumat kehilangan mangsa daripada pejabat Konsulat Republik Indonesia di Kuching pada 23 Ogos lalu.
Susulan itu, katanya satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan di kawasan gunung tersebut pada hari berikutnya dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti saksi-saksi yang boleh membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Colin Raape di talian 017-8171750 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kita juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam serta menganggu siasatan yang dijalankan. “Orang ramai juga disarahkan tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat di mana-mana media sosial,” tegas Jawai.
|