Mazli menyampaikan beg goodie kepada pengguna jalan raya sempena Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Jalan Lapangan Terbang hari ini.
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) terus komited untuk menyelesaikan atau menguruskan secepat mungkin segala aduan berkaitan dengan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) termasuk pembinaan laluan Transit Aliran Automasi (ART) yang giat dijalankan kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa berkata, tidak dinafikan untuk menjalankan projek mega seperti ART sememangnya tidak lari daripada aduan awam.
“Setakat ini memang ada aduan, terutama projek mega seperti ini. Tetapi aduan-aduan yang dibuat awam kami uruskan dengan secepat mungkin.
“Aduan-aduan yang diterima buat masa ini kebanyakannya adalah mengenai aliran trafik dan ia bukan isu besar,” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Kompleks Pengurusan Projek Bersepadu bagi Projek KUTS di Jalan Lapangan Terbang di sini, hari ini.
Mazli berkesempatan memakaikan vest keselamatan kepada penunggang motosikal pada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya.
Tambah Mazli, sehubungan itu kempen yang diadakan itu amat penting untuk memberi kesedaran kepada pengguna kenderaan persendirian mengenai aktiviti-aktiviti projek di bawah KUTS bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Katanya, salah satu tujuan kempen diadakan memberi pendidikan kepada awam kerana projek yang dijalankan itu amat berkaitan terus dengan pengguna jalan raya terutama projek berskala besar seperti KUTS.
“Projek mega seperti KUTS ini amat berkaitan dengan awam, maka itu amat penting untuk kami mengadakan kempen kesedaran awam seperti ini,” tegasnya.
Ditanya mengenai perkembangan projek ART yang dijalankan kini, Mazli berkata semua projek berada di landasan tepat dan berjalan lancar tanpa masalah.
Tetamu jemputan serta wakil agensi penguat kuasa lain turut merakam kenangan bersama wakil Sarawak Metro selepas Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya.
Beliau memaklumkan hanya berlaku beberapa masalah kecil sahaja terutama berkaitan faktor cuaca.
“Alhamdullilah, kita berada pada landasan tepat dan tiada masalah cuma masalah kecil memang ada terutama berkaitan cuaca.
“Disebabkan cuaca agak luar biasa sekarang tetapi apapun berlaku kami dapat menguruskannya dari segi perkembangan projek,” tegasnya.
Mazli berkata buat masa ini kekangan yang dihadapi adalah keadaan cuaca memandangkan projek yang dilaksanakan adalah melibatkan pembinaan seperti kerja-kerja berkaitan tanah.
Katanya apabila hujan berlaku atau musim tengkujuh tiba, ia pasti akan memberi sedikit kekangan untuk kerja-kerja dilakukan.
“Ini antara kekangan yang perlu kami hadapi dan uruskan,” ujar beliau.
|