Awang Tengah ketika mempengerusikan rundingan dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kibing Group, serta yang lain.
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan hasrat Kibing Group, sebuah syarikat berpangkalan di China memperluaskan pengeluaran kaca solarnya di negeri ini.
Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beliau mewakili kerajaan Sarawak mengalu-alukan cadangan tersebut dan kerajaan akan memudahkan syarikat berkenaan merealisasikan hasratnya itu.
"Kita mengalu-alukan cadangan ini kerana industri pengeluaran kaca solar mempunyai rantaian nilai yang panjang, bermula dari perlombongan dan pemprosesan bahan mentah sehinggalah kepada pembuatan kaca solar.
"Produk solar mendapat permintaan yang sangat tinggi kerana dunia sedang beralih kepada karbon rendah dan ekonomi hijau," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuannya dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kibing Group, Guan Ming di sini, hari ini.
Dalam rundingan itu mereka membincangkan cadangan projek pembuatan kaca solar di Sarawak.
Kibing Group ialah syarikat tersenarai di China yang mengeluarkan kaca dan penyedia penyelesaian kaca. Syarikat itu beroperasi di peringkat antarabangsa termasuk di Negeri Sembilan dan Sabah.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Dzulkornain Masron.
|