SAGAH
SIBU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan rancangan untuk memperluaskan pendidikan dengan penyediaan komputer Raspberry Pi kepada sekolah rendah menjelang 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada teknologi dan membolehkan pelajar memperoleh kemahiran digital penting dari usia muda.
Katanya, dengan adanya komputer Raspberry Pi di sekolah rendah, murid-murid akan dapat mengembangkan kemahiran dalam sains komputer dan pemprograman lebih awal serta bersedia untuk memasuki bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan lebih baik.
“Penyediaan komputer Raspberry Pi kepada sekolah rendah dan pendidikan percuma dalam bidang sains serta kejuruteraan menjelang 2026 adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 yang bertujuan memperkukuh literasi digital dalam kalangan pelajar muda,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Future Skills For All (FS4A) Central Zone 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang di sini, hari ini.
Sagah turut memuji kejayaan pelajar dan pendidik yang terlibat dalam program FS4A dan mencadangkan aktiviti seperti 'hackathon' serta penggunaan aplikasi angkasa NASA sebagai pendekatan pembelajaran praktikal.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini adalah langkah penting dalam usaha Sarawak untuk memupuk inovasi dan mempersiapkan pelajar untuk ekonomi global yang kompetitif.
“Dengan sokongan dan kerjasama yang berterusan, diharapkan FS4A akan mewujudkan asas kukuh bagi generasi akan datang yang akan memimpin dan mencipta inovasi,” tambahnya.
|