JIMBAU
SIBU: Sibu sebuah bandar yang penuh dengan nilai sejarah dan budaya, telah diumumkan sebagai tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak untuk tahun ini.
Pemilihan ini menjadi satu penghormatan besar bukan sahaja kepada bandar tersebut tetapi juga kepada seluruh komuniti yang telah memberikan sumbangan besar dalam membangunkan kawasan mereka.
Yang Dipertua Veteran Persatuan Veteran Angkatan Tentera (ATM) Sarawak Jimbau Galau yang merupakan warga Sibu, meluahkan rasa bangga dan terharu dengan pemilihan kampung halamannya sebagai pusat sambutan.
Jimbau, yang telah berkhidmat dalam ATM sejak 1981 dan bersara pada tahun 2003, menyifatkan penghargaan ini sebagai pengiktirafan kepada usaha keras masyarakat Sibu.
“Saya berasa sangat berbangga dan terharu melihat kampung halaman saya, dipilih untuk menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
“Ini bukan sahaja satu pengiktirafan kepada Sibu, tetapi juga kepada seluruh komuniti dan usaha keras rakyat di sini,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Sebagai seorang veteran, Jimbau juga menekankan betapa pentingnya peranan veteran dalam memupuk semangat patriotisme.
Beliau percaya bahawa sambutan Hari Kebangsaan adalah peluang yang baik untuk menguatkan semangat cinta negara dan menghargai pengorbanan mereka yang telah berjuang untuk tanah air. “Sambutan ini adalah platform yang baik untuk memperkuatkan semangat patriotisme dan menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat,” tambahnya.
Sibu kini berada di bawah tumpuan perhatian sebagai tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan dan Jimbau berharap bahawa acara ini akan memberikan kesan yang mendalam kepada semua rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
Dengan semangat dan rasa bangga yang mendalam, Jimbau berharap sambutan ini akan mempererat hubungan dalam komuniti dan memupuk kecintaan kepada tanah air di kalangan rakyat.
|