Gambar fail
KUCHING: Polis Sarawak telah mengenal pasti lokasi operasi rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) berkata siasatan dan risikan telah dibuat bagi mengenal pasti operasi-operasi yang dijalankan oleh GISBH.
Bagaimanapun katanya, tiada laporan salah laku diterima setakat hari ini.
“Siasatan dan risikan telah dibuat dan kita telah kenal pasti lokasi-lokasi di mana operasi-operasi GISBH dijalankan.
“Setakat hari ini, belum ada tangkapan dibuat dan kita juga tiada menerima laporan salah laku di Sarawak,” katanya semasa ditemui pemberita selepas sidang media pelupusan barang kes di IPK Sarawak, hari ini.
Tegas Mancha, pihaknya akan terus membuat pemantauan.
“Kita akan maklumkan segera sekiranya ada perkembangan terbaru mengenai GISBH,” katanya.
Difahamkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media baru-baru ini memaklumkan hasil ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan GISBH menerusi Ops Global mendapati terdapat unsur penderaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.
Selain itu, terdapat juga elemen buruh dan eksploitasi kanak-kanak dengan mereka yang berumur bawah 18 tahun dipaksa bekerja menjual barang.
|