Langkawi: Allahyarham Muhammad Khairul Hakim Hamidi disifatkan seorang Penolong Jurutera Kanan (PJK), Jabatan Kerja Raya (JKR) yang baik dan suka menolong orang.
Rakannya, Mohd Helmi Hamid, 41, berkata, arwah juga orang yang paling awal menghulurkan tangan apabila orang kampung datang mengadu mengenai keadaan jalan raya yang rosak dan daif.
Katanya, dia mengenali rapat Muhammad Khairul Hakim sejak arwah dinaikkan pangkat dan kembali bertugas di pulau ini, dua tahun lalu.
"Arwah pernah bekerja di sini sebagai Penolong Jurutera, sebelum memohon bertukar ke Jitra untuk menguruskan ibunya yang sakit dan kemudian ditukarkan semula ke sini selepas dinaikkan pangkat sebagai PJK (Jalan).
"Arwah dikenali ramai penduduk, khususnya kampung terpencil kerana dia suka turun padang untuk berjumpa dan bertanyakan perihal keadaan jalan," katanya ketika ditemui di Kuarters JKR, Jalan Ayer Hangat di sini, hari ini.
Mohd Helmi berkata, isteri arwah adalah pegawai kastam yang bertugas di Kompleks Kastam di Dermaga Tanjung Lembung di Bukit Malut.
"Kediaman mereka di sini kini kosong kerana isteri dan anak-anak arwah pulang ke kampung halaman di Kampung Bukit, Pokok Sena sejak 9 malam tadi," katanya yang juga jiran arwah di kuarters itu.
Muhammad Khairul Hakim adalah antara tiga kakitangan JKR yang meninggal dunia dalam
aktiviti berakit redah jeram di Sungai Jahang, Gopeng, Perak semalam.