CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 51318|Reply: 0

[Perlis] Islam tidak hapus adat diharamkan syarak, beri ruang penyesuaian tuntutan agama - Mohd Asri

[Copy link]
Post time 17-11-2024 10:53 AM | Show all posts |Read mode
Islam tidak hapus adat diharamkan syarak, beri ruang penyesuaian tuntutan agama - Mohd Asri

17 November 2024 07:47am




Mohd Asri




KANGAR - Islam tidak menghapuskan adat dan budaya semata-mata kerana terdapat elemen yang diharamkan syarak, sebaliknya memberikan ruang untuk pemurnian melalui penyesuaian dengan tuntutan agama.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adat dan budaya yang mengandungi perkara diharamkan syarak tidak semestinya dihapuskan, tetapi diperbaiki untuk memurnikan adat, budaya dan seni itu dengan cara membuang unsur haram berkenaan.

"Hal ini seperti tindakan Nabi Muhammad SAW yang membetulkan lirik nyanyian wanita Ansar dalam majlis perkahwinan. Dalam satu hadis, Baginda menyuruh mereka meninggalkan ungkapan yang tidak sesuai tetapi membenarkan nyanyian yang menyebut sifat-sifat mulia,” katanya kepada Bernama.

Mohd Asri berkata, perkara berkenaan antara 13 resolusi yang dihasilkan melalui perbincangan dalam Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali kedua tahun ini yang berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada 14 dan 15 November.

Persidangan bertemakan Imbangan Antara Agama dan Budaya berkenaan melibatkan penyertaan 30 ilmuwan dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja dan Vietnam.

Beliau berkata, antara resolusi lain persidangan berkenaan ialah adat, budaya dan seni yang tidak bertentangan dengan syarak boleh digunakan sebagai wasilah dakwah iaitu seperti memasukkan unsur yang baik dalam karya seni.

"Resolusi lain ialah adat, budaya dan seni yang membawa kepada maslahah dianjurkan oleh Islam meskipun bukan daripada masyarakat Islam,” katanya.

Mohd Asri berkata, resolusi lain seterusnya ialah adat, budaya dan seni sekalipun tidak mempunyai unsur keagamaan seperti dakwah atau ketuhanan tetap dibolehkan selagi tiada perkara yang bertentangan dengan syariat dengan adat, budaya dan seni berkenaan diizinkan serta tidak boleh diharamkan atas nama Islam.



"Selain itu, usaha Islamisasi sesuatu adat, budaya dan seni adalah sesuatu yang baik namun hendaklah berhati-hati agar ia tidak dianggap sebagai satu ibadah khusus dalam agama sehingga akhirnya menjadi bidaah.

"Resolusi lain pula ialah menghormati adat, budaya dan seni sesuatu kaum adalah ajaran Islam. Sikap keras menentang semua adat, budaya dan seni sesuatu kaum tanpa alasan syarak menyelisihi pendirian Nabi SAW,” katanya. - Bernama


https://www.sinarharian.com.my/article/697006/berita/nasional/islam-tidak-hapus-adat-diharamkan-syarak-beri-ruang-penyesuaian-tuntutan-agama---mohd-asri


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 05:28 PM GMT+8 , Processed in 0.041185 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list