Abdul Karim bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Belum ada laporan daripada Jabatan Muzium Sarawak mengenai dua pesawat pejuang lama zaman Perang Dunia Kedua yang ditemui berhampiran sempadan Sabah-Sarawak di Lawas, menurut Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, penemuan baharu itu memerlukan penyelidikan lanjut, antara lainnya ialah untuk mengetahui siapa yang mengendalikan pesawat itu, bagaimana ia jatuh, sama ada ia ditembak jatuh atau jatuh secara sendiri.
“Dari apa yang saya lihat, salah satu pesawat mungkin mendarat kerana ia masih berada dalam keadaan agak baik. Kalau pesawat itu ditembak dan jatuh, pastinya ia akan hancur,” jelasnya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya hari ini.
Abdul Karim berkata, kementeriannya enggan terburu-buru menyampaikan maklumat mengenai pesawat pejuang tersebut, yang terdiri daripada pesawat pejuang 'Zero' Jepun, sementara satu lagi berkemungkinan pesawat Amerika yang turut terhempas di sebuah kampung di Lawas.
Susulan itu kata beliau, pihaknya belum melakukan sebarang komunikasi atau kerjasama dengan sebarang kedutaan mahupun berhubung dengan negara terlibat.
“Kita akan menunggu sehingga penyelidikan selesai dilakukan oleh muzium untuk mendapatkan butiran terperinci.
“Hanya selepas itu, negara-negara berkenaan dihubungi kerana kita perlu berhati-hati bagi mengelakkan pemberian maklumat yang salah,” katanya.
Abdul Karim juga mendedahkan tiada tempoh masa yang khusus atau jangka masa bagi muzium menyiapkan penyelidikan tersebut.
Namun begitu, beliau berkata pihaknya berharap agar proses penyelidikan ini dapat dan jika boleh, dipercepatkan.
Baru-baru ini, tular berita perihal tinggalan dua pesawat pejuang lama zaman Perang Dunia Kedua yang ditemui di sempadan Sabah dan Sarawak di Lawas yang kini dalam keadaan usang atau reput.
Malah laporan terdahulu menyatakan kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikannya sebagai artifak sejarah.