View: 18759|Reply: 0
|
[Tempatan]
Bertindak dengan betul dalam isu Palestin, kata tokoh pemikir selepas tiga 'yes' Anwar Ibrahim cetus kemarahan
[Copy link]
|
|
Bertindak dengan betul dalam isu Palestin, kata tokoh pemikir selepas tiga 'yes' Anwar cetus kemarahan
https://www.malaysianow.com/my/n ... war-cetus-kemarahan
MalaysiaNow
November 16, 2024 2:58 tengahari
Dr Chandra Muzaffar.
Chandra Muzaffar menjelaskan sebab di sebalik ketaksuban Israel mengenai haknya untuk wujud dan mempertahankan diri.
Tokoh pemikir Chandra Muzaffar memberi amaran supaya tidak terperangkap dengan sebarang percubaan untuk menerima naratif Israel dalam mewajarkan genosid terhadap rakyat Palestin, di sebalik kritikan semakin meningkat terhadap pendirian Anwar Ibrahim dalam sebuah wawancara bersama CNN di mana beliau mengiyakan soalan sama ada negara Zionis itu berhak wujud dan mempertahankan diri.
Chandra berkata sebab utama Israel taksub dengan dua persoalan tersebut - hak kewujudannya dan hak mempertahankan diri - ialah kerana jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin untuk menubuhkan entiti itu.
"Israel mungkin satu-satunya negara di dunia yang secara berterusan menimbulkan isu hak untuk wujud. Mengapa? Adakah Angola atau Denmark atau Finland atau Thailand menimbulkan persoalan sedemikian?" soalnya dalam reaksinya kepada MalaysiaNow.
Beliau berkata hujah Israel mengenai "hak mempertahankan diri" dalam mewajarkan kempen ketenteraannya di Gaza tidak terpakai kepada sebuah negara yang menjajah tanah Palestin selama beberapa dekad.
"Yang sebenarnya mempunyai hak mempertahankan diri adalah mereka yang dijajah dan ditakluk. Penjajah tidak mempunyai hak sedemikian. Penjajah sepatutnya mesti menamatkan penjajahannya.
"Demi keadilan, kita perlu lakukan tindakan yang betul!" katanya.
Komen itu ketika pemimpin kerajaan dilihat cuba mempertahankan kenyataan kontroversi Anwar dalam wawancaranya bersama Richard Quest dari CNN baru-baru ini.
Anwar Ibrahim tampil bersama Richard Quest dalam wawancara dikendalikan CNN baru-baru ini.
Dalam sedutan wawancara selama lima minit yang dikongsi Quest di platform X, Anwar mengkritik media Barat kerana membawa naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan wilayah Palestin, tetapi dicelah oleh Quest dengan dua soalan.
Quest: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
Quest: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.
Jawapan itu bukan sahaja bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia untuk tidak mengiktiraf negara Zionis itu, tetapi juga mengingatkan kembali satu kenyataan kontroversi yang dikeluarkan Anwar lebih sedekad lalu untuk "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".
Jawapan Anwar itu turut mendapat reaksi seorang ahli akademik Palestin terkemuka yang berpangkalan di London, yang melahirkan rasa terkejut dengan pendirian itu.
"Jawapan betul untuk soalan pertama adalah seperti berikut: 'Apakah kamu meminta saya mengiktiraf kesahihan sebuah entiti penjajah yang dibina di atas tanah yang dicuri daripada rakyat Palestin? Apakah kamu meminta saya mengiktiraf sebuah negara yang lahir daripada pembunuhan beramai-ramai?'" Tamimi, yang pernah mengarang buku mengenai sejarah Hamas, memberitahu MalaysiaNow.
"Jawapan yang betul kepada soalan kedua ialah: 'Siapa yang berhak mempertahankan diri, penjajah atau mangsa penjajahan?'" tambahnya.
Klip TikTok MalaysiaNow ini didapati tidak boleh diakses oleh sebahagian besar pengguna internet Malaysia, beberapa jam selepas menteri komunikasi mengancam mengambil tindakan terhadap mereka yang dituduh memutarbelit kenyataan Anwar Ibrahim mengenai Israel dalam wawancara CNN.
Wawancara CNN itu mencetuskan ledakan komen marah di media sosial, disusuli amaran Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa kerajaan akan menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, badan kawal selia internet yang bertanggungjawab dalam siri sekatan laman web dan pemadaman kandungan yang mengkritik pentadbiran Anwar.
Beberapa jam selepas amaran itu, sebuah klip TikTok oleh MalaysiaNow yang memuatkan kompilasi ahli Parlimen pembangkang mengkritik Anwar - yang mendapat lebih 1.6 juta tontonan ketika laporan ini ditulis, tidak dapat diakses sebahagian besar pengguna internet tempatan, dalam apa yang dipercayai sebagai langkah penapisan terbaru oleh kerajaan.
Ketaksuban Israel tentang hak 'kewujudan' dan 'pertahankan diri'
Chandra, yang mengetuai International Movement for a Just World, adalah pertubuhan tempatan yang paling lantang mengutuk Israel dan penyokong Baratnya, menyenaraikan empat sebab mengapa negara Zionis taksub mengenai soal kewujudannya.
Beliau berkata punca utama ialah rampasan tanah yang asalnya milik penduduk Palestin asal dari kalangan Yahudi, Kristian dan Islam.
"Ia tidak pernah dianggap eksklusif kepada kaum atau agama tertentu," kata Chandra.
Penunjuk perasaan membawa bendera dan sepanduk mengutuk Israel dan AS sambil diperhatikan puluhan anggota polis, kira-kira 100 meter dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur, pada 11 Oktober, 2024.
Katanya, penubuhan Israel pada 1948 tanpa sebarang pungutan suara melanggari Piagam PBB, di samping perkongsian tanah yang berat sebelah yang memihak kepada pendatang Yahudi.
Chandra berkata peperangans selama berdekad, pembunuhan beramai-ramai dan rampasan wilayah telah memastikan sekumpulan kecil Yahudi Zionis mengekalkan cengkaman mereka ke atas Palestin melalui sistem apartheid.
"Israel terus dianggap sebagai kubu paling uatama kuasa imperialis Barat yang kepentingannya bertentangan dengan kepentingan penduduk Asia Barat dan Afrika Utara.
"Ringkasnya, ia kerana Israel tidak mempunyai apa-apa legitimasi, dan oleh itu rakyat tetap menentangnya sebagai sebuah entiti," tambah Chandra.
Beliau berkata Israel sebagai sebuah "kuasa penjajah tanpa sebarang legitimasi" tidak mempunyai hak untuk menggunakan alasan "pertahanan diri" dalam perangnya terhadap rakyat Palestin.
"Daripada siapakah Israel mempertahankan dirinya? Sepanjang 76 tahun, Israel telah memerangi rakyat Palestin, Lubnan, Syria, Iraq, Yaman, Iran dan pihak lain. Semua mereka ini dan penduduknya menentang pendudukan dan penjajahan Israel.
"Di bawah undang-undang antarabangsa, setiup orang mempunyai hak untuk melawan penjajah walaupun ia memerlukan mereka mengangkat senjata."
|
|
|
|
|
|
|
| |
|