Gambar fail
BINTULU: Seorang lelaki tempatan berumur 50-an yang juga penyelia kilang di Bintulu kerugian RM180,000 setelah terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang diiklankan dalam media sosial Facebook pada September lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa tentang kes penipuan tersebut.
Sebelum itu katanya, pada awal September lalu semasa berada di pejabat mangsa telah melihat satu iklan pelaburan di laman media sosial Facebooknya lalu bertindak menekan pautan WhatsApp pada iklan itu untuk berhubung dengan seorang individu yang tidak dikenali.
"Suspek yang berperanan sebagai pentadbir laman sosial itu menerangkan kepada mangsa berkaitan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi sehingga menyebabkan mangsa berminat dengan tawaran tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Justeru katanya, mangsa terus berurusan melalui aplikasi WhatsApp tersebut dengan suspek yang seterusnya mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi 'AE Online' untuk memulakan pelaburan.
Beliau berkata, untuk memulakan pelaburan itu mangsa didorong melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek sehingga mencecah nilai lebih kurang RM180,000.
Begitupun katanya, mangsa menyedari dirinya tertipu apabila masih diminta untuk membuat pembayaran lain namun tidak menerima pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut.
Berikutan itu katanya, orang ramai dinasihati agar tidak terlalu mudah percaya dengan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial dan melakukan penelitian terlebih dahulu.
Pada masa sama katanya, orang ramai disarankan agar menyemak senarai syarikat dan laman sesawang diberikan sama ada telah mendapat kelulusan daripada www.bnm.gov.my / BNM TELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my / (03-62048999) (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) atau sebaliknya.
Jelasnya, mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya), sekiranya baru melakukan transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau E-Wallet suspek, mereka dinasihati menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
Katanya, disarankan muat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya.
Kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pembangun aplikasi Whoscall akan membolehkan nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data sistem Semak Mule JSJK dapat ditandakan sebagai Scammer oleh Whoscall.
Selain itu katanya, boleh juga melakukan semakan individu atau syarikat pelabur melalui aplikasi Investment Checkers atau melalui laman sesawang https://www.sc.com.my/investment-checker.
Katanya, semakan nombor telefon dan akaun bank suspek juga boleh dibuat melalui aplikasi Check Scammers CCID atau melalui http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
Tambahnya, layari akaun rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial @ JSJKPDRM dan @CYBERCRIMEALERTRMP melalui Facebook, Instragram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat dan modus operandi terkini penipuan.
|