CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23701|Reply: 0

[Sarawak] Sampah sarap ditemui dalam perut paus: SFC

[Copy link]
Post time 28-11-2024 03:45 PM | Show all posts |Read mode


Kakitangan SFC bersama pelbagai agensi dan penduduk Kampung Triso membantu dalam proses pembersihan ikan paus itu. - Gambar Facebook Sarawak Forestry Corporation

KUCHING: Bedah siasat dijalankan ke atas bangkai paus dijumpai berhampiran Jambatan Triso di Sebuyau mendapati sampah sarap antara yang ditemui di dalam perut mamalia tersebut.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi catatan Facebook hari ini berkata, antara yang ditemui dalam perut mamalia itu adalah selipar, plastik dan penyedut minuman.

"Hasil bedah siasat menemui sampah sarap seperti selipar, plastik, straw plastik dan lain-lain di dalam perut paus tersebut," ujarnya.

Menurut SFC, pihaknya telah menjalankan siasatan yang amat teliti berhubung paus daripada spesies ‘Baleen’ dewasa itu.

“Kita (SFC) mendapati paus itu berkemungkinan besar telah dihanyutkan oleh arus deras disebabkan musim tengkujuh ketika ini.

“Setelah bedah siasat dijalankan, Kontroler Hidupan Liar bersetuju agar tulang paus berkenaan diserahkan oleh SFC kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan SFC mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Muzium Sarawak, Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso, pihak kontraktor pembinaan jambatan, operator feri Triso dan penduduk setempat atas bantuan mereka.

“Penduduk Kampung Triso dan agensi membantu dalam proses pembersihan kawasan berkenaan bagi mengelakkan bau yang kurang menyenangkan yang dikeluarkan oleh bangkai paus tersebut,” katanya.

Terdahulu, SFC mengesahkan penemuan bangkai ikan paus berhampiran Jambatan Triso awal pagi 22 November lalu susulan usaha pencarian dimulakan selepas video tular menarik perhatian umum.

“Penilaian awal mendedahkan bangkai itu berada dalam keadaan hampir hancur dan mereput.

"Pada masa ini, ia tersangkut pada bar dan hanya boleh diambil semasa air pasang,” kata SFC.

Menurutnya, ikan paus itu kemungkinan daripada spesies ‘Baleen’ dewasa yang berukuran kira-kira 10 meter panjang, dengan ekor sekitar 2.8 meter panjang.

“Pasukan Veterinar dan Forensik SFC dengan kerjasama Jabatan Muzium akan mengumpul tulang untuk analisis lanjut,” kata SFC.

Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan bangkai ikan paus berhampiran Pulau Seduku pada 19 November 2024.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-12-2024 03:57 AM GMT+8 , Processed in 0.192904 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list