CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 34122|Reply: 0

Jangan abaikan haiwan peliharaan

[Copy link]
Post time 1-12-2024 07:40 AM | Show all posts |Read mode


INDIVIDU yang mempunyai haiwan peliharaan perlu menjaganya dengan baik dan tidak hanya mementingkan nyawa sendiri ketika musim banjir. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Jangan ambil mudah kesan banjir terhadap haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing kerana haiwan juga perlu diselamatkan dan menjadi mangsa bencana alam.

Itu nasihat Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika kepada pemilik haiwan terutama di kawasan yang dilanda banjir di seluruh negara, selepas mendapati ada yang 'tertinggal' ketika musibah itu semakin membimbangkan.

Katanya, kesan banjir bukan hanya mengakibatkan kerosakan, kerugian serta kematian manusia, tetapi ia juga termasuk haiwan peliharaan.

Menurutnya, pemilik dan pusat jagaan haiwan perlu lebih bijak dalam memastikan haiwan terbabit selamat dan dijaga dengan sebaiknya.

"Pemilik haiwan peliharaan serta pusat jagaan haiwan perlu peka dengan keadaan cuaca dan jika kawasan terbabit berisiko dinaiki air, mereka perlu bijak dalam merancang keselamatan haiwan.

"Kandang atau sangkar haiwan tidak perlu dikunci untuk memastikan haiwan-haiwan terbabit dapat melepaskan diri semasa bencana alam," katanya.

Arie berkata, saban tahun kes kematian haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing pasti menjadi topik pengguna media sosial.

"Risiko yang dialami oleh haiwan adalah membimbangkan kerana nyawa mereka diancam dengan situasi bencana.

"Akan tetapi terdapat segelintir individu yang cuba memanipulasi dan menagih simpati terhadap kematian haiwan peliharaan mereka atas kecuaian sendiri," katanya.

Beliau juga menyeru supaya semua individu yang mempunyai haiwan peliharaan untuk menjaganya dengan baik dan tidak hanya mementingkan nyawa sendiri ketika musim banjir.

Perlu peka situasi semasa
Perlu langkah proaktif untuk melindungi haiwan peliharaan sepanjang musim banjir.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, terdapat beberapa panduan yang perlu dipraktikkan oleh pemilik haiwan terutama kucing.

"Pemilik kucing perlu peka dengan melepaskan kucing yang berada dalam sangkar supaya mereka dapat menyelamatkan diri dengan memanjat ke kawasan yang tinggi.

"Jika banjir dan hujan yang berlarutan, mereka boleh meletakkan sangkar kucing di tempat yang tinggi supaya haiwan kecil ini tidak ditenggelami air," katanya.

Menurut Khalid, persediaan awal sebelum berlakunya bencana banjir adalah penting untuk semua pemilik kucing yang menetap di kawasan hotspot banjir.

"Semua individu yang memiliki si comel, perlu peka terhadap setiap perubahan cuaca terutamanya pada musim tengkujuh.

"Pastikan si comel dijaga oleh pemilik dengan baik semasa perubahan cuaca yang ketara supaya jika rumah dinaiki air, pemilik dapat menyelamatkan kucing dengan efektif.

"Pemilik juga boleh memberi pesanan kepada jiran terdekat untuk membantu menyelamatkan kucing mereka sekiranya tiada di rumah," katanya.

Khalid berkata, persediaan seperti beg, bekas terpakai atau sangkar supaya memudahkan proses pemindahan dan menyelamatkan kucing apabila banjir.

"Kit perubatan, makanan dan kad vaksinasi si comel perlu diletakkan di tempat yang mudah dicapai dan di letakkan di dalam bekas kalis air supaya tidak rosak akibat banjir," katanya.

Khalid juga menasihati pencinta kucing untuk tidak membela haiwan berbulu itu dengan jumlah yang banyak untuk mengelakkan masalah yang bakal melanda jika terjadinya bencana alam.


Disiarkan pada: Disember 1, 2024



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-12-2024 03:59 AM GMT+8 , Processed in 0.040185 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list