SEGAMAT: Kecekalan seorang nenek menjaga cucunya yang lumpuh di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Balai Raya Batu Badak, di sini, menarik perhatian ramai.
Maheran Adon, 72, setia menjaga Mohd Shakir Abdullah, 14, yang terlantar selepas diserang demam panas mengakibatkan lumpuh sejak bayi.
Maheran berkata, menjadi tanggungjawab dia menjaga cucunya kerana ibu bapa cucunya terpaksa keluar bekerja menampung perbelanjaan keluarga.
"Sebelum ini, memang fokus pada jaga diri sendiri yang kadang-kadang tidak berapa sihat, sejak beberapa tahun lalu tetapi tanggungjawab lebih besar apabila cucu pula terlantar dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk menguruskan diri.
"Setiap kali hujan lebat, memang susah hati kerana tahap kesihatan cucu yang harus diberikan perhatian 24 jam," katanya ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Batu Badak di sini, hari ini.
Terdahulu, Maheran dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Datuk Zahari Sarip yang melawat PPS itu.
Beliau diiringi Penghulu Mukim Gemerih, Shahrizan Abd Aziz dan Ketua Kampung Batu Badak, Abd Manap Munaji.
Maheran berkata, dia harus membawa cucu 'istimewanya' ke PPS bersama ahli keluarga lainnya untuk mendapatkan perlindungan.
"Keadaan cucu yang terlantar menyebabkan saya mengambil keputusan membawa dia tinggal di PPS bersama kerana ayah dan ibunya, terpaksa keluar bekerja mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Kalau hantar ke rumah saudara mara, cucu perlu menempuh perjalanan yang jauh kerana ada laluan dinaiki air selain perlu menaiki kenderaan khas.
"Mujurlah di sini, cucu diberi ruangan khas dan diberikan layanan mesra oleh petugas dan mangsa bah lainnya serta tidak pernah menangis menyebabkan gangguan sedikit sebanyak ia membantu menguatkan semangat saya.
"Ini kali ketiga kami berpindah tahun ini dan sebenarnya kali ini air tidaklah naik tinggi berbanding banjir kali pertama dan kedua pada awal Januari dan Jun lalu.
"Namun ,kami berpindah awal kerana bimbang air Sungai Segamat naik semakin tinggi tidak mengira waktu terutamanya pada waktu malam memandangkan cucu tidak sihat selain mempunyai cucu lain yang masih kecil," katanya yang menetap di Kampung Seberang Batu Badak di sini.
|