Kredit Foto: MStar
Esok akan menjadi penentu kemenangan pemimpin yang akan dipilih untuk mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang telah ditinggalkan oleh peyandang terdahulu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang sudah kembali ke rahmatullah pada 11hb Januari lepas.
Sejak di hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih pada 16 hb Februari lalu, pelbagai insiden dan konfrontasi hebat telah berlaku melibatkan pergeseran dua gabungan parti terbesar di Malaysia iaitu Barisan Nasional ( BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Jika diikut sejarah PRK, parti pemerintah lebih berpeluang untuk memenangi pilihanraya kecil ini kerana sebagai kerajaan mereka mampu untuk menyediakan peruntukan tambahan sebagai modal kempen yang paling berkesan.
Namun kali ini mungkin berbeza kerana parti yang menjadi kerajaan hari ini telah dilihat gagal oleh sebahagian besar rakyat Malaysia dalam menunaikan janji manifesto pilihan rayanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Mungkin agak sukar untuk rakyat mempercayai janji manis mereka buat kali kedua kerana selepas hampir 10 bulan menjadi kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, tiada apa-apa perubahan yang mampu memuaskan hati rakyat terutamanya anak muda.
Kredit Foto : Sinar Harian
Gabungan kerjasama antara BN dan PAS pasti menambah kekuatan BN seperti mana yang berlaku di PRK Cameron Highlands baru-baru ini. Walaupun ada cubaan untuk melagakan dua parti tersebut namun kehadiran hebat penduduk di setiap kempen ceramah BN jelas menunjukkan sokongan kuat daripada kedua-dua penyokong parti terbesar orang melayu itu.
Menyedari kebangkitan blok parti pembangkang, Pakatan Harapan mula bertindak untuk memancing pengundi dengan menggunakan kuasa yang mereka ada sebagai kerajaan. Pelbagai janji manis di tabur. Tiba-tiba sahaja peruntukan baru diumumkan walaupun pada awalnya ia tiada dalam Bajet 2019 yang dibentangkan penghujung tahun lepas.
Meskipun janji-janji baharu ini kurang menarik berbanding janji manifesto PRU 14, namun ia dilihat lebih rasional dan praktikal dan persis bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan BN sebelum ini. Sebagai contoh Bantuan Sara Hidup RM100 untuk orang bujang dan Bantuan RM100 untuk pelajar IPT, bantuan ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak beberapa tahun dahulu namun dalam jumlah yang lebih tinggi.
Kredit Foto: Isu Viral
Sementara itu, calon Pakatan Harapan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhammad Aiman Zainali juga tidak kurang hebatnya menabur janji. Selain berjanji untuk berusaha membina hospital di Semenyih, beliau juga berjanji untuk menyelesaikan semua masalah penduduk hanya dalam masa sehari jika dipilih menjadi Ahli DUN Semenyih. Walaupun mendapat kritikan sinis netizen namun menurutnya, janji yang dilafazkan itu sebagai bukti komited untuk membantu rakyat.
Di atas kertas, Pakatan Harapan memang mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi PRK DUN Semenyih ini. Namun kuasa sebenar berada di tangan pengundi. Pengundi di Semenyih pasti bijak membuat pilihan demi kesejahteraan dan kebajikan mereka.
Namun andai kata Pakatan Harapan tewas, inilah masanya untuk pengundi di Semenyih menilai sejauh mana dasar keterbukaan dan keadilan pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan seperti mana yang dilaungkan mereka sebelum ini. Sebagai kerajaan, mereka tidak sepatutnya pilih bulu dalam soal pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat. - CARI |