Perancangan keluarga merupakan perkara yang sangat penting buat pasangan yang baharu berkahwin. Ini kerana mereka perlu bersedia terlebih dahulu dalam segenap aspek kehidupan berumahtangga seperti kewangan, kerjaya dan masa sebelum membuat keputusan untuk menimang cahaya mata. Terdapat banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk mencegah kehamilan berlaku contohnya penggunaan kondom dan pengambilan pil perancang kehamilan. Namun begitu, terdapat satu kaedah yang kononnya berkesan dalam mencegah kehamilan iaitu kaedah pancut luar. Ikuti artikel ini untuk mengetahui sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut. Apakah itu kaedah pancut luar?Kaedah ini merupakan suatu kaedah yang memerlukan lelaki menarik zakar keluar daripada faraj sebelum ejakulasi semasa melakukan hubungan seks demi memastikan air mani tidak terpancut di dalam faraj. Kaedah ini merupakan kaedah perancangan keluarga yang semulajadi tanpa memerlukan bantuan sebarang alat ataupun ubat. Adakah kaedah pancut luar ini berkesan mencegah kehamilan?Menurut kajian, kaedah ini mempunyai tahap keberkesanan sehingga 82% hingga 96% dan hanya 4 daripada 100 wanita yang menggunakan kaedah ini bersama pasangan mereka hamil. Namun begitu, kaedah ini hanya akan berjaya sekiranya dilakukan dengan betul. Kaedah ini akan gagal membuahkan hasil di atas beberapa faktor. Antara faktor berikut adalah: - Pasangan lelaki mempunyai kondisi ejakulasi pramatang
- Air mani terpancut pada vulva iaitu bahagian permukaan faraj
- Terdapat lelehan lebihan air mani yang terkeluar daripada zakar semasa orgasme
Pro dan kontra kaedah pancut luarDi sebalik tahap keberkesanannya yang tinggi, kaedah ini juga mempunyai kebaikan dan keburukannya. Berikut merupakan pro dan kontra kaedah pancut luar: Pro- Kaedah ini adalah selamat kerana tidak mempunyai sebarang kesan sampingan.
- Kaedah ini selamat dan boleh dipercayai kerana tidak memerlukan sebarang penggunaan alat atau ubat.
- Kaedah ini membenarkan hubungan seks berlaku dengan spontan dan tanpa persediaan yang rapi.
- Kaedah ini boleh digunakan sebagai pilihan terakhir sekiranya sudah tiada lagi metode perancangan keluarga yang lain boleh dilakukan.
- Kaedah ini tidak akan mendatangkan sebarang kos.
- Jika anda dan pasangan mempunyai pengalaman, kepercayaan dan boleh mengawal diri sendiri, kaedah ini merupakan kaedah yang paling sesuai buat anda.
Kontra- Kaedah ini tidak sesuai untuk pasangan lelaki yang mempunyai kondisi ejakulasi pramatang.
- Kaedah ini tidak sesuai digunakan oleh pasangan lelaki yang tidak mempunyai pengetahuan yang luas dalam melakukan hubungan seks.
- Kaedah ini tidak sesuai digunakan oleh lelaki yang tidak memahami gerakbalas seksual mereka.
- Kaedah ini memerlukan pengalaman, kepercayaan serta kebolehan mengawal diri yang tinggi.
Tuntasnya, kaedah pancut luar adalah kaedah mencegah kehamilan yang mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi. Namun begitu, kaedah ini hanya akan berjaya membuahkan hasil sekiranya digunakan oleh pasangan yang mempunyai pengalaman, kepercayaan dan kebolehan mengawal diri yang tinggi. Jika anda masih ragu-ragu untuk mencuba kaedah ini, teruskan menggunakan kaedah lain seperti penggunaan kondom atau pengambilan pil perancang kehamilan.
|