Mereka yang menjadi perhatian
HANYA tinggal empat hari sahaja lagi, malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24) akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pukul 9 malam.
Sudah pasti ramai yang mula membuat ramalan dan bermain dengan teka-teki siapakah yang bakal mencipta sejarah serta menjulang trofi pada festival kali ini.
Memang tidak dinafikan lagi, saban tahun dua kategori utama ini, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik antara yang menjadi perhatian peminat serta pemerhati dunia perfileman.
Rata-rata mahu melihat siapakah yang bakal meneruskan legasi penerima trofi dahulu sekali gus menempatkan diri mereka sebagai aktor dan aktres terbaik negara.
Untuk terus menghangatkan sambutan FFM 24, Hits akan membawa pembaca untuk melihat kategori Pelakon Wanita Terbaik yang memperlihatkan lima calon aktres yang tidak kurang hebatnya.
Mereka yang dicalonkan tahun ini ialah Lisa Surihani menerusi filem Sekali Lagi, Liyana Jasmay (Senjakala), Maya Karin (Cun!), Siti Shahrizah atau Eja (Janin) dan Tiz Zaqyah (Nur Kasih the Movie).
Daripada lima calon ini, hanya Lisa, Liyana dan Maya sahaja yang pernah memenangi kategori ini manakala Tiz merupakan kali pertama dicalonkan.
Sementara itu, Eja pula pernah menerima pencalonan sebelum ini pada FFM 19 (2006) bagi filem Bilut. Persoalannya kini, adakah filem Janin akan menebus kekecewaan Eja?
Eja sudah membuktikan lakonannya sebagai watak Sutera dalam filem Janin bahawa dia sememangnya seorang aktres yang versatil sekali gus meningkah dakwaan segelintir pihak selama ini yang barangkali kurang mempercayai kredibiliti lakonannya.
Dengan kemenangannya di Anugerah Skrin 2011 baru-baru ini menerusi kategori dan filem yang sama, tidak mustahil untuk Eja mencipta kemenangan berganda.
Saingan terdekat Eja datangnya daripada Tiz yang telah memberikan lakonan yang baik dalam filem Nur Kasih the Movie. Meskipun ada yang berpendapat watak Nur Amina yang dibawakan Tiz tidak banyak bezanya dalam drama bersiri, namun, harus diakui lakonannya dalam filem itu lebih mendalam dan penuh emosi.
Lisa dan Liyana bukanlah calon pilihan utama pada festival kali ini tetapi siapa tahu jika rezeki akan berpihak kepada mereka. Maklumlah, keputusan juri dalam FFM ada kalanya sukar untuk dijangka.
Bagaimana pula dengan Maya? Adakah dia mampu mencipta kemenangan untuk kali kedua? Rasanya watak Luna Latisha dalam filem Cun! tidak kuat jika hendak dibandingkan dengan Eja mahupun Tiz untuk dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
kredit: utusan online
|