TUMPAT – Semua aset untuk operasi menyelamat mangsa banjir termasuk dua helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersedia untuk menghadapi bah gelombang kedua.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua aset itu telah ditempatkan di Mes Batalion Kelapan Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Menurutnya, Pasukan Tindakan Bencana (DRT) sudah bersedia untuk operasi banjir gelombang kedua, namun segala pergerakan perlu merujuk kepada maklumat cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Keadaan banjir tahun ini berbeza berbanding 2014 lalu apabila bah buruk melanda di Sungai Golok dan bukan Sungai Kelantan dari arah Gua Musang.“MetMalaysia sudah menjangkakan akan ada banjir gelombang kedua yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementera (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, beliau menasihatkan agar semua penduduk di semua daerah supaya sentiasa bersedia untuk berdepan banjir gelombang kedua nanti. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/03/aset-polis-siap-sedia-hadapi-banjir-gelombang-kedua/