CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: muhamad_fairuz

Sabarlah Wahai Hati (Tamat~:)

[Copy link]
 Author| Post time 18-5-2013 07:39 AM | Show all posts
maaf tak berkesempatan. insyaAllah cuti ni akan dipanjangkan
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-5-2013 04:33 AM | Show all posts
Sambungan...

Mentari dhuha memancar indah. Nur Adawiyah melihat ibunya keluar daripada pintu depan untuk menyiram pokok bunga. Dia hanya tercegat dengan secawan air kosong di tangan. Cekodok pisang dan nasi lemak yang dimasaknya terhidang namun tidak pula dijamah. Gelagatnya bagaikan orang yang sedang sakit. tidak berselera makan. Sesekali ibunya menjeling. Dia hanya memegang tangkai cawan air kosong itu dan dibawa mendekati bibirnya.

Pandangan Nur Adawiyah beralih pula ke jendela tengah rumah terkuak luas. Alam di luar seperti melambai-lambai dirinya dari kejauhan. Tertarik dengan pesonanya, Nur Adawiyah bingkas ke jendela itu. Sudah agak lama dia tidak menikmati pemandangan halaman daripada muka jendela. Lebih-lebih lagi ketika pagi masih tersisa.

Sudah dua minggu dia berada di kampung. Segala hiruk-pikuk kebisingan kota terlepas dari pandangan dan pendengarannya. tidak ada lagi bunyi bising dari lori-lori yang melalui jalan Kuantan Gambang yang didengarinya. tidak ada lagi bunyi bas-bas yang berhenti mengambil penumpang serta deruan enjin kenderaan yang memecut laju berikutan kelewatan menuju destinasi atau pejabat.

Lama Nur Adawiyah meletakkan cawan ke dalam mulut. tidak setitis air pun yang diteguk. Pandangannya terbuang jauh ke luar tingkap. Tiba-tiba secara tidak sengaja cawan terlepas dari tangannya. Air putih membasahi meja. Nur Adawiyah bingkas mencari kain pengelap.

“Tumpah lagi. Jauh termenunglah tu.” Nur Adawiyah tersentak. Mendongak memandang ibunya yang tersenyum simpul di muka pintu.

“Eh, mak…”

“Nasib baik cawan plastik. Kalau cawan kaca sudah tentu akan berdarah.”

“Adawiyah tidak sengaja. Terleka pula.” Nur Adawiyah memberi alasan lantas dia bangun dan mengambil tuala kecil untuk mengelap air yang tumpah. Kelihatan jelas tindakannya itu dalam keadaan terpinga-pinga. Dia lambat bertindak.

“Sayu je mak tengok. Banyak masalah?”

“Tak adalah.

“Bagaimana hidup di sana? Dia jaga kau dengan baik ke?” ibunya kembali bertanya.

“Baik. ” Nur Adawiyah menjawab sambil mengangguk. Lantas dia menghela nafas lega.

“Baik saja?”

Nur Adawiyah keluar dari rumah untuk menyidai tuala yang kebasahan itu. Selepas menyidainya dia tercegat di pintu depan. Dia tidak lupa untuk memakai tudung menutupi rambutnya. Walaupun rumahnya berjauhan dengan jiran-jiran, kedatangan tetamu yang tidak diduga kadang-kala dari jiran yang bukan mahram menjadi ingatan buat Nur Adawiyah.

“Mak tahu tak, Abang Zul pernah kemalangan. Doktor suruh dia berehat sebulan tapi baru dua puluh hari dia sudah kembali bekerja. Mak tahu sajalah Abang Zul itu tidak boleh duduk diam selagi tidak tengok orang bancuh simen.” Kata Nur Adawiyah sambil menoleh ke arah ibunya. Kemudian, dia mengukirkan senyuman. Senyuman yang barangkali sukar untuk ditafsirkan.

“Jadi kenapa Adawiyah balik sini?” ibunya bertanya lagi. Kali ini lebih mencabar.

Tidak ada kata-kata yang keluar dari bibir Nur Adawiyah. Dia mengaku dia tidak mampu membohongi ibunya itu. Ibunya pasti dapat membaca apa yang telah berlaku walaupun dia tidak pernah menceritakan hal dia dan Zulkarnain kepada sesiapa.  

“Mak tidak mahu masuk campur urusan kamu berdua. Mak dah dapat agak dia tidak dapat menjaga kau dengan baik. Kau boleh tipu abang kau tapi kau tidak boleh tipu mak.” Sekali lagi Nur Adawiyah terdiam dengan kata-kata ibunya itu.

“Biasalah suami isteri selisih faham. Ada masa bergaduh dan tidak selalunya tenang.”

“Entahlah mak. Kami tidak bergaduh. Tapi tidak pula tenang.” Ujar Nur Adawiyah setelah mendiamkan diri untuk beberapa saat..

“Mak bukannya apa. Along dah bertanya mana adik ipar dia. Adik-adik kau yang lain juga dah mula pelik. Waktu bersalin dah dekat malah bila-bila masa kau perlu bersedia.”

“Entahlah mak. Adawiyah pun tidak boleh berjanji bila Abang Zul boleh datang. Apabila ditanya ada saja alasan.” Nur Adawiyah menbalas sambil mendekati ibunya. Kerusi ditarik dan kemudiannya dia melabuhkan punggung bersebelahan dengan ibunya itu.

“Jangan sampai tidak datang sudahlah. Kau bukan tidak tahu Along itu bagaimana. Jangan sampai dia naik darah sudahlah. Habis satu kampung akan huru-hara jawabnya.”

“Along masih seperti dahulu lagi?”

“Ya. tidak berubah-ubah. Makin tua makin menjadi. Mak pun sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Kahwin nanti barulah elok agaknya.” Ada sedikit tawa di hujung nada ibunya. Nur Adawiyah tersenyum. Senang hati apabila melihat ibunya kembali bercerita dengan ceria.

“Tak mengapa. Nanti Adawiyah tanya kepada Abang Zul sekali lagi.”

“Biasanya kalau suami isteri berjauhan, suami akan datang mencari isterinya. Sekiranya  tidak , maka Adawiyah faham-faham sajalah.” Ibunya memberi peringatan yang terhasil dari pengalamannya.

“Mak jangan risau. Adawiyah dan Abang Zul tidak ada apa-apa. Adawiyah juga bahagia seperti dulu.” Lambat-lambat Nur Adawiyah menjawab. Sepasang matanya redup membalas pandangan kasih ibunya.

“Tapi dulu Adawiyah tidak tumpahkan air.” Ibunya mengusik.

“Mak ni…” Nur Adawiyah tersenyum dengan usikan itu. Lantas dia mengukir senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibirnya yang indah.

*****                *****                *****                *****                *****


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2013 04:36 AM | Show all posts
Pagi itu juga indah buat penghuni-penghuni alam di sebelah pantai timur. Begitu juga dengan penduduk bandaraya Kuantan. Zulkarnain hanya termenung di depan almari bajunya. Membelek-belek pakaiannya. Bersebelahan baju kemeja yang tidak bergosok selepas ketiadaan Nur Adawiyah, tersusun sebaris pakaian isterinya. Hanya baju kurung dan jubah. tidak seperti wanita-wanita lain yang kebiasaannya mempunyai berpuluh-puluh jenis dan pelbagai corak dan warna.

Itulah yang menjadikan isterinya istimewa berbanding wanita lain. tidak pernah kedengaran Nur Adawiyah meminta pakaian-pakaian berjenama, baju-baju moden bercorak serta tudung pelbagai fesyen. Bahkan dalam hal barang kemas juga begitu. tidak ada solekan tebal-tebal untuk menyembunyikan kecacatan. Memadai dengan air sembahyang yang menjadikan wajah lebih berseri dan menyejukkan mata suami yang memandang.

Mata Zulkarnain tajam apabila terlihat tudung labuh yang berlipat kemas di dalam almari itu. Dia teringat semasa dia pernah bertanya kepada Nur Adawiyah mengenai tudung itu.  

“Awak tidak rimaskah memakai tudung labuh semasa wanita lain lebih gemar memakai yang jenis biasa?” pertanyaan Zulkarnain memecah kebuntuan pagi.

“Agama itu nasihat. Jadi apabila saya jadikan agama itu sebagai pakaian saya akan malu untuk buat perkara-perkara maksiat.” Tanpa banyak berfikir Nur Adawiyah menjawab, kerana itu sudah menjadi kehidupan dan amalan seharian. Spontan jawapan tepat diberikan.

“Tapi ada yang wanita yang bertudung labuh semata-mata, tetapi akhlak tidak jaga.” Zulkarnain merungut.

“Sebagai manusia biasa, kita semua lemah. Lemahnya kita sehingga kadang-kadang kita tidak rasa kewujudan Allah sebagai pemerhati. Nabi pernah bersabda, apabila Allah berkehendak memberi kebaikan pada seorang hamba, Allah akan memberi penasihat dari dalam diri sendiri. Jadi apabila wanita-wanita ini menjadikan Islam sebagai pakaian, itulah pelindung dan benteng kami ketika berada di luar rumah.” Panjang lebar Nur Adawiyah menjawab.

Zulkarnain hanya mendiamkan diri. Dia sememangnya tidak mahir mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal kaum wanita.

“Abang pun belilah satu untuk saya.” Buat pertama kali Nur Adawiyah meminta. Namun, nadanya lebih kepada gurauan sahaja.

Ting…Tong….

Loceng rumahnya dibunyikan. Zulkarnain yang masih berada di tingkat atas rumahnya agak terpana. Ingatannya terhadap Nur Adawiyah terpadam. Dia juga sudah lupa apa yang dia jawab pada Nur Adawiyah, sama ada dia berjanji untuk membeli atau  tidak . Sekiranya dia berjanji untuk membeli, sudah tentu isterinya kecewa kerana dia tidak pernah membelikan sebarang tudung atau hadiah.

Jarang sekali tetamu datang ke rumahnya semenjak dia sembuh dari kemalangan beberapa bulan yang lalu. Apatah lagi tetamu itu tiba seawal pagi. Lantas dia bersegera menuruni anak tangga  menuju ke pintu utama.

“Assalamualaikum!!” untuk kesekian kalinya salam diberi. Sambil-sambil itu tangan kembali menekan loceng di pintu rumah. Berkali-kali sambil mengharapkan agar kali ini ada sahutan yang menyambut panggilan tersebut. Sesekali dia meninjau disebalik jendela yang tertutup rapat.       

“Waalaikumsalam.” Zulkarnain melihat dua batang tubuh terpacak di depan keretanya. Masing-masing tayang muka gelisah. Beribu-ribu kerutan di dahi jelas kelihatan. Mereka adalah staf di syarikatnya. Sepatutnya waktu-waktu sebegini mereka sudah dalam perjalanan ke pejabat tetapi apa yang mereka buat di sini. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran Zulkarnain.

“Adawiyah ada?” Rashidah menyoal. Soalan itu seperti ada kebimbangan yang terselit.

“Kenapa mahu jumpa dengannya pagi-pagi ini? Bukankah kamu harus ke pejabat?” Zulkarnain berasa hairan.

“Sebentar lagi kami akan ke pejabat. Sebelum itu Rashidah mahu berjumpa dengan Adawiyah sebentar.” Wafi menjawab bagi pihak isterinya.

“Sebenarnya dia pulang ke kampung. Pagi semalam.”

“Patutlah dia tidak membalas kiriman SMS saya malam tadi. Namun, apa yang Encik Zul buat di sini? tidak pulang bersama?” lembut bahasa Rashidah walaupun matanya mula menyala. Mungkin kerana waktu pejabat dan orang dihadapannya adalah majikannya.

“Saya perlu bekerja seperti biasa”

“Encik Zul suruh dia balik kampung tengah dia sarat mengandung. Encik Zul ingat dia tu siapa?” Rashidah separa menjerit.

“Saya menghantarnya ke stesen bas, lagipun ada rakannya yang menunggu di Gombak sebelum bergerak ke Kuala Selangor.”

“Aisyah?” nama itu terpacul di mulut Rashidah.

Zulkarnain terdiam. tidak pula isterinya memberitahu siapa yang akan menunggunya di sana. Dia hanya tahu ada orang yang menunggu isterinya.

“Nama rakannya pun Encik Zul tidak tahu. Bagaimana Encik Zul begitu yakin dia akan selamat? Sekiranya selamat, adakah dia akan berasa selesa pulang ke kampung tanpa suami? Apa yang akan difikirkan oleh keluarga Adawiyah nanti?” balas Rashidah sambil merenung tajam muka majikannya itu.

“Kau harus faham. Dia mengandung dan saya tidak mahir dalam perkara ini. Lebih baik ibunya sendiri yang menjaganya.”

“Tapi itu bukan sebab utama Encik Zul membiarkan dia pergi.”

“Baiklah, saya berterus-terang. Kami tidak bersependapat dalam banyak perkara. Perkara terbaik yang kami boleh buat adalah berjauhan. Lagipun dia yang minta.” Kata-kata itu mengejutkan Rashidah dan Wafi.

“Jadi Encik Zul ikut kata dia?” Rashidah kembali bertanya. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan Zulkarnain.

“Kami perlukan masa untuk berfikir dan tenangkan diri.”

“Tenang bagaimana? Boleh tenangkah tanpa suami di sisi?”

“Dia begitu perlukan kau dan sekarang kau patut mencarinya.”

“Saya juga perlukannya.” Zulkarnain masih tidak mahu mengalah. Nadanya sedikit menengking. Rasa rimas pula apabila berkali-kali disoal begitu. Dia menarik nafas dalam untuk mententeramkan sedikit hati.

“Jadi sebab itukah awak biar dia pergi?” Rashidah mengetap bibir. Lelaki di depannya cuba mengelak dari tanggungjawab.

“Tapi syarikat ini juga perlukan aku. Aku pengarah di sini. Apa-apa yang berlaku aku bertanggungjawab.”

“Tapi dia isteri kau.” Ada nada yang kecewa kedengaran dari suara Rashidah.

“Ada banyak kerja yang masih belum selesai di pejabat. Sedar tidak yang kita berhadapan dengan tuntutan saman bernilai satu juta, dan ada beberapa pelanggan yang masih membuat tuntutan kerana kita melanggar kontrak. tidak mustahil kita akan muflis bila-bila masa. Sebab itulah aku berada di sini.” Zulkarnain menghabiskan kata-katanya sambil tangannya mencapat kunci kereta. Nasihat dari dua sahabatnya itu langsung tidak dilayan oleh Zulkarnain. Dia membuka pintu belakang kereta dan meletakkan fail-fail di dalamnya.

“Sudah, mari ke pejabat. Sudah hampir pukul lapan.” Zulkarnain mengajak. Meredakan keadaan. Tangannya mencapai tombol pintu seraya dikunci. Rumah itu tidak akan berpenghuni sehinggalah Zulkarnain pulang dari kerja hanya selepas hari bertukar menjadi gelap.

Wafi dan isterinya hanya berlalu. Malas hendak bertekak dengan Zulkarnain. Setibanya di kereta mereka, Wafi cuba mententeramkan isterinya daripada terus mempertikaikan tindakan Zulkarnain.

“Sudahlah. tidak elok juga sekiranya mereka terlalu mencampuri urusan rumah tangga orang lain walaupun rumah tangga itu milik rakan baik kita. Dalam apa jua sekalipun Zulkarnain tetap ketua keluarga dan segala keputusan berada di tangannya.” Kata Wafi seraya menepuk bahu isterinya.

“Betul tu, abang. Saya cuma berharap agar dia tidak membuat keputusan yang akan membuatkan dia menyesal seumur hidupnya.”

*****                *****                *****                *****                *****

Reply

Use magic Report

Post time 29-5-2013 12:06 PM | Show all posts
bila nk smbong ni..

Tah apalh perangai Zul ni..
Reply

Use magic Report

Post time 31-5-2013 07:57 AM | Show all posts
Suka ngan karya sedara ni....saya setuju ngan pendapat cik lady...elok sedara cuba hantar karya ni di Karya Seni...saya suka gaya penceritaan sedara ada gaya penulisan tersendiri...

Bila nak sambung...?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-6-2013 04:02 PM | Show all posts
maaf lambat menyambung, tergendala sebentar sbb ada tugas wajib yg perlu dihantar bulan depan. Sy pun ada hantar ke penerbit namun senyap xde jawapan. tunggu cukup 3@4 bulan la terus hantar ke karya seni.

sambungannya akan disusuli sebentar lagi. amik masa hujung minggu utk luaskan kuasa kreativiti
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 1-6-2013 04:13 PM | Show all posts
Sambungan

*****                *****                *****                *****                *****

Nur Adawiyah bersandar di birai tingkap rumah. Hari itu terang seperti biasa. Matahari mula memancarkan sinaran. Kawasan itu sungguh sunyi. Rumah di kawasan itu memang dibina berjauhan antara satu sama lain kerana dibina di atas tanah sawah padi. Warna hijau menerangi alam apabila sinaran cahaya itu terpantul kepada padi-padi yang terbentang luas di sekeliling rumahnya.

Di belakang alam hijau yang menghiasi pandangan, mengalir sebatang sungai yang memisahkan antara kampung ini dengan kampung seberang. Sungai itu amat penting untuk mengairi tanaman-tanaman. Di situlah juga tempat dia dan Aisyah serta rakan-rakannya yang lain memancing ikan. Tanpa mengira jantina, mereka menikmati usia muda mereka dengan lasak dan berdikari.

Pandangannya beralih kepada dua ekor kucing peliharaannya. Si Hitam dan Si Putih. Nama yang berasaskan warna masing-masing. Haiwan inilah yang dijadikan teman oleh ibunya sewaktu dia menuntut di universiti. Kepada kedua-dua ekor kucing ini ibunya meluahkan perasaan. Kadang-kadang menjadi teman berborak walaupun haiwan itu sekadar mengeluarkan bunyi ‘meow’ sahaja.

Ingatan Nur Adawiyah kembali bergema di ruang mindanya. Kucing itu mengingatkannya kepada seseorang. Seorang lelaki yang kebasahan dalam hujan. Ketika itu dia baru sahaja tiba di perkarangan kolej kediaman bersama rakannya, Aisyah. Nur Adawiyah juga sudah lupa kejadian itu berlaku semasa semester berapa. Namun, hanya kejadian itu yang kekal diingatannya. Itulah pertemuan pertama dengan lelaki misteri yang mencuri hatinya.

Ketika langkah kakinya dipercepatkan meniti hujan yang semakin reda, pandangannya tertumpu pada satu jasad yang duduk mencangkung di kawasan lapang di tengah-tengah antara kafeteria, surau dan kolej kediaman pelajar. Langkahnya menelusuri jasad itu.

Nur Adawiyah mendapati jasad itu adalah lelaki. Dia sangat mengenali lelaki itu. Bukan kerana mereka adalah kawan sekuliah atau sekampung, sebaliknya lelaki itu sememangnya terkenal di kalangan pelajar-pelajar di sini kerana kenakalan dan mempunyai motosikal berkuasa tinggi. Lelaki itu bernama Zulkarnain.  

“Err.. baru habis kuliah ke?” tiba-tiba satu soalan yang begitu bodoh terpacul keluar dari mulut lelaki itu. Nur Adawiyah tidak mengendahkannya. Itu adalah taktik yang biasa dilakukan oleh golongan lelaki untuk memikat wanita. Namun, matanya tertumpu kepada objek yang berada di bawah teduhan badan lelaki itu.

“Kucing?” Kata Nur Adawiyah tiba-tiba sambil menghentikan langkah. Dia pusing menghadap Zulkarnain yang dah menunjukkan mimik muka pelik. Kening digerak-gerak. tidak sedikit pun Nur Adawiyah mempedulikan teguran Zulkarnain sebentar tadi.

“Kasihan dia kesejukan dalam hujan. Saya lindungi dia.” Zulkarnain memberi penerangan walaupun tidak ditanya.

"Awak tidak ada kelas? Kalau hujan ini sampai petang awak akan duduk di sini sehingga petang?” Aisyah bertanya. Sinis soalannya.

Zulkarnain kehilangan kata-kata. Soalan itu berbentuk retorik yang tidak memerlukan jawapan. Namun, mimik muka Nur Adawiyah dan Aisyah seolah-olah menantikan jawapan darinya.

“Tak mengapa. Hari ini kelas saya petang sahaja.” Balas Zulkarnain sambil mengerling ke arah jam di tangan kanannya. Jarum pendek jam antik bersaiz kecil yang bergantung rapi di tangannya menunjukkan hampir menunjukkan angka dua belas tengahari. Sudah tiba masanya untuk bersedia di dalam Dewan Kuliah.

Belajar selama empat hingga lima jam sehari menjadi rutin Zulkarnain, Bermula seawal 10.00 pagi sehingga 5.00 petang dan selebihnya dihabiskan di cafeteria, jalan-jalan serta bermain permainan komputer di bilik, Itulah kehidupan baginya sejak menjejakkan kaki ke pusat pengajian yang tidak pernah lelah,

Berlainan pula dengan Nur Adawiyah. Pengajiannya bermula seawal lapan pagi namun, belum sempat matahari menunjukkan diri dia selalunya sudah berada di perhentian bas untuk ke fakulti. Jarak dari kolej kediaman dan fakulti hanya sejauh 500 meter sahaja. Bas pula disediakan setiap lima minit. Namun, pelajar perlu segera berada di hentian bas sekiranya mempunyai kuliah pada waktu-waktu yang sibuk seperti pukul lapan pagi dan dua petang.

Pada waktu-waktu ini, bilangan pelajar yang ingin menaiki bas mencecah seribu orang manakala bas masih mempunyai bilangan yang sama dan terhad. Maka, mereka perlu berebut untuk menaikinya. Atas sebab itulah Nur Adawiyah keluar di awal pagi untuk mengelakkan kesesakan. Sekiranya keadaan sesak, dia khuatir akan tersentuh lelaki dan sebaliknya. Adalah lebih baik berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara itu berlaku apatah lagi di tempat yang mana dia menganyam sejuta impian yang akhirnya menjadi realiti sebuah kehidupan.

“Jadi pada sebelah pagi awak akan merayau-rayau di sekitar kampus dan tidak payah mengulangkaji pelajaran?” Aisyah kembali bertanya.

“Saya ulangkaji pada sebelah malam.”

“Oh, yang di atas motor besar itukah? Mengulangkaji dengan enjin yang membingitkan telinga. Sangat membantu.”

“Itu sekali-sekala saja.”  

“Ah, sudahlah. Mari, Aisyah.” Nur Adawiyah mematikan perbualan mereka. Sesekali dia menjeling ke arah kucing itu. Comel. Memang menjadi kesukaan dan kecintaannya kepada haiwan. Sama seperti lelaki itu.  

Udara nyaman di kampung Sawah Sempadan dihela sedalamnya. Ingatan yang tadinya ligat bermain difikiran segera padam. Nur Adawiyah asyik menikmati suasana, matanya dipejam. Udara kampung yang dingin ini amat dirindui segarnya. Segar yang apabila memenuhi dada, memberi satu nikmat yang tidak terperi. Dia bersyukur kerana di saat ini masih ada masa untuknya berada di sini.

“Awak nampak sibuk macam saya. Sibuk mengelamun.” Satu suara datang dari bawah. Nur Adawiyah mencari punca suara itu. Kelihatan rakannya, Aisyah sudah terpacak di laman rumahnya. Senyuman manis gadis itu ditambah dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi benar-benar membuatkan menawan hati siapa yang melihatnya.

“Awal-awal sudah datang. Ada apa-apakah?”

“Saja datang menjenguk. Rindu kawan lama. Jom pergi bersiar-siar.” Aisyah mengajak. Sudah pasti bukan sekadar berbual kosong. Ada perkara yang hendak dibicarakan.

*****                *****                *****                *****                *****


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-6-2013 04:18 PM | Show all posts
Pagi yang cukup cerah. Mentari sudah meninggi melepasi segalah. Dua orang wanita berjalan menelusuri lorong-lorong kecil di tepi sawah yang luas terbentang. Langkah mereka terhenti di suatu tempat. Tempat yang penuh kenangan buat mereka.

“Ingat lagi masa kecil-kecil dahulu kita selalu memancing di sini.” Aisyah membuka bicara.

“Ya. kita marah apabila tidak dapat memancing seekor ikan pun walaupun cuaca baik.” Nur Adawiyah membalas.

“Tapi apabila sudah dewasa baru kita tahu  disebabkan cuaca yang baiklah kita tidak dapat memancing sebarang ikan. Lagipun tempat ini bukannya dalam sangat. Airnya cetek dan menjadi jernih bila cuaca baik.” Panjang Aisyah menerangkan seraya mencari tempat yang strategik untuk berehat sebentar.

“Ya, ikan-ikan juga seperti kita. Mereka akan lebih berhati-hati dalam keadaan jernih itu.” Nur Adawiyah mengikut jejak langkah sahabatnya itu.

“Patutlah along selalu kata, lebih baik jangan terlalu mengharap. Memancing ini hanya dilakukan oleh orang yang sabar.

“Tapi ramai juara memancing terdiri dari orang yang tidak sabar.”

“Kenapa?” bulat mata Aisyah memandang rakannya itu.

“Sebab apabila tidak sabar mereka akan fikirkan mengenai umpan yang terbaik, tempat yang strategik serta teknik memancing yang betul.” Nur Adawiyah pula memberi penerangan. Suasana sunyi seketika. Mereka berdua masing-masing terkesima mendengarkan desiran air yang mengalir. Sungguh tenang dan mendamaikan. Tempat ini sememangnya bagus untuk  mereka yang mencari idea-idea dalam sastera atau penulisan dan mungkin juga untuk mereka yang mahu mencari ketenangan.

“Aisyah…” Nur Adawiyah perlahan memanggil.

“Ya..”

“Terima kasih.”

“Kenapa tiba-tiba ucap terima kasih?” Aisyah bertanya untuk kepastian.

“Saya tahu Aisyah cuba buat saya gembira.” Nur Adawiyah bersuara perlahan.

“Ya. makcik dah ceritakan segalanya mengenai Adawiyah pulang ke kampung dan Adawiyah dengan Zul. Sebab tu saya datang sengaja mahu temankan Adawiyah keluar tenangkan hati. Lagipun saya memang tidak bekerja hari ini. Tanaman anggur di rumah masih belum masak.” Aisyah berseloroh. Nur Adawiyah memahaminya. Anggur itu hanya kiasan merujuk kepada aktiviti rakannya itu adalah menganggur.

Sudah hampir setahun Aisyah menjadi penganggur bertauliah. Dia perlu mendapatkan kerja secepat mungkin kerana dia juga perlu menyara keluarganya. Pencarian kerja secara online adalah menjadi pilihan kerana ia lengkap dengan informasi terkini, mudah dan cepat. Paling penting baginya adalah kerana murah. Dia hanya perlu memiliki talian internet yang boleh dikongsi oleh satu keluarga atau pergi sahaja ke Bandar Tanjung Karang mencari kedai yang menyediakan perkhidmatan internet.   

“Agak-agaknya bilalah anggur itu akan masak?” Nur Adawiyah pula bertanya.

“Tak tahulah. Bukan semua orang yang sudah konvokesyen terus dapat kerja. Apatah lagi jodoh. Adawiyah sahaja yang bernasih baik. tidak perlu kerja, jodoh pula tiba.”

Nur Adawiyah menguntum senyum. tidak semanis dulu. Senyum yang seakan-akan dibuat-buat. Namun, wajah itu tidak berjaya untuk memperdayakan sahabat karibnya. Aisyah cukup faham. Ada derita di sebalik senyuman itu.

“Sayu semacam je. tidak suka berjalan-jalan dengan Aisyah ke?” gadis itu bertanya.

“Tak adalah.”  Ringkas Nur Adawiyah menjawab.

“kalau macam tu mesti teringat kepada orang yang jauh?” spontan Aisyah bertanya lagi.

“Mungkin.” Hanya itu yang terkeluar daripada bibir Nur Adawiyah.

“Jadi, sekarang bagaimana?”

“Dalam sebulan lagi. Nasib baik along dah sediakan kereta kalau berlaku apa-apa. Senanglah untuk ke hospital nanti.”

“Bukan itu yang Aisyah mahu dengar. Bilakah ayahnya akan datang ke mari?” tersentak  Nur Adawiyah mendengar perkataan ‘ayah’ itu. Senyumannya kian hambar.

“Entahlah.” sepatah dia menjawab.

“Tentu Adawiyah gelisah kenapa sampai sekarang dia masih tidak muncul-muncul.” Aisyah cuba membaca isi hati sahabatnya itu.

“Mak pernah kata kalau dia benar-benar sayang dia akan datang walaupun banyak kerja di sana. Nampaknya sampai sekarang masih belum datang. Sudah malas menghubungi dia, asyik jawapan yang sama diberikan. Kadang-kadang langsung tidak jawab panggilan saya.” Terang Nur Adawiyah bersungguh-sungguh. Ada nada kecewa di hujungnya.

“Sabarlah Adawiyah. Ibadah itu bukan hanya pada solat dan puasa semata-mata, tetapi juga pada bersyukur dan menerima segalanya dengan redha. Sabar dan ikhlas. Setiap ujian yang Allah berikan itu pasti ada hasilnya. Saya yakin hasilnya nanti adalah hikmah yang amat besar.” Panjang-lebar Aisyah memberi nasihat umpama ceramah dari seorang ustazah. Mana  tidak nya, dia juga seorang gadis yang bertudung labuh seperti Nur Adawiyah.

“Tapi kenapa saya tidak rasa sebegitu? Hari ke hari sabar ini semakin kurang. Seakan-akan hati ini tidak tertahan lagi dengan ujian yang menimpa.” Nur Adawiyah mencurahkan isi hatinya. Dia tahu rakannya itu tidak akan menceritakan perasaannya kepada sesiapa. Aisyah boleh dipercayai.

“Al-Quran tidak pernah silap apabila membicarakan perihal sabar dan hikmahnya. Cuma perlu ada keyakinan supaya dapat membentuk hati yang kuat.” Aisyah menyambung ceramahnya.

“Saya juga tidak silap. Demi mengelakkan cinta yang tidak halal, kami berkahwin. Dapatlah kami membimbing sesama sendiri ke arah mencari keredhaan Ilahi. Namun begini pula yang terjadi.”

Aisyah hanya mendiamkan diri. Dia hanya memandang tepat ke arah Nur Adawiyah mengharapkan rakannya itu meluahkan segala isi hatinya bagi meingankan sedikit beban yang ditimpanya. Nur Adawiyah seakan-akan memahami pandangan rakannya itu.

“Secara jujur saya tidak merasa tersiksa apabila bersamanya. Cuma apabila memikirkan kandungan yang tidak dijaga ini saya perlu pulang ke kampung halaman. Di sini ada mak yang boleh menjaga dengan baik dan adik-beradik yang bila-bila masa sahaja boleh menghantar ke hospital sekiranya ada apa-apa berlaku. Panjang lebar Nur Adawiyah meluahkan perasaannya.

“Apa yang Adawiyah lakukan ini adalah betul. Tiada tempat bagi isteri melainkan di sisi suami. Namun, nasib bayi ini perlu diambil kira juga.”

“Ya, jika ikutkan hati, saya tidak mahu berjauhan dengannya terutama pada masa dia ditimpa kesusahan.”

“Apa yang saya boleh cakap hanya bersabar. Allah telah rancang sesuatu. Ada kebahagiaan yang sedang menunggu kamu di suatu tempat apabila tiba masanya.” Kata Aisyah sambil kepalanya diangguk sedikit. Cuba untuk memahami masalah rakannya itu. Sebagai seorang yang masih bujang tentu sukar untuk dia membayangkan perasaan seorang isteri yang berjauhan dari suami. Apatah lagi sang suami bersikap endah tak endah, Tentu hancur hati isteri.

“Insya-Allah, harap-harap begitu.” Lantas Nur Adawiyah membalas dalam tenang.

“Jangan dia lupa sudahlah.”

“Sebenarnya, Abang Zul tidak datang ke sini atau tidak itu perkara yang kedua. Tapi yang penting saya lebih risau keadaan dia di sana. Tidak ada orang yang menguruskannya. Pembantu rumah pun tiada. Siapa yang membasuh pakaiannya. Orang yang menggosok pakaiannya pun tiada.” Kata-kata Nur Adawiyah itu menimbulkan tanda-tanya kepada Aisyah.

“Risau? Lain macam bunyinya.”

“Kenapa pula?” Nur Adawiyah mencelah.

“Macam orang sedang dilamun cinta.” Aisyah cuba berseloroh.

“Cinta?”

“Ya, cinta suci antara suami isteri.”

“Mana boleh. Dia tinggalkan saya. Biar saya duduk di rumah itu dari pagi sampai malam seorang diri. Dia pula asyik balik lewat malam dan kadang-kadang tidak pulang. Beri saya satu sebab mengapa saya harus jatuh cinta.”

“Wahai Puan Adawiyah, cinta tidak perlukan sebab. Ia datang dari hati. Apatah lagi cinta kepada suami.” Kali ini Nur Adawiyah pula terdiam. Merenung kata-kata sahabatnya itu dengan mendalam. Ada benarnya juga. Hampir enam bulan tinggal bersama bukanlah satu tempoh yang singkat untuk mengenali Zulkarnain.

Mereka sering berkongsi masalah walaupun pada hakikatnya hanya Zulkarnain yang memberi masalah. Mereka juga saling memberi semangat dan inspirasi walaupun jarang bertemu kerana mereka adalah suami isteri yang sah dan saling melengkapi.

Namun sepanjang tempoh itu juga dia diruntun kebimbangan. Bimbang hubungan mereka ini menimbulkan masalah maka jalan terbaik adalah menjauhkan diri antara satu sama lain agar masalah pun jauh dari mereka. Nyata kini Nur Adawiyah menyedari jalan yang dipilihnya itu salah.

*****                *****                *****                *****                *****

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-6-2015 09:47 AM | Show all posts


*****                *****                *****                *****                *****

Pejabat petang itu suram. tidak banyak kerja. tidak banyak projek yang ada. Zulkarnain termenung di dalam pejabatnya sendirian, ramai staf syarikatnya sudah memohon untuk berhenti kerja berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka.

        “Bagaimana ni, abang? Nampaknya kita perlu mencari kerja yang lain. Sudah dua bulan syarikat ini tidak mendapat kerja. Gaji pula tidak mampu dibayar.” Rashidah mulai risau seraya meluahkan kepada suaminya, Abdul Wafi.

        “Tak mengapa. Biar abang yang bekerja. Shida duduk saja di rumah. Jaga rumah elok-elok.” Ujar lelaki itu dengan senyum simpul.

        “Cukupkah simpanan kita?”

        “Jangan risau. Lebih dari yang mencukupi. Kalau buat belanja kahwin pun cukup lagi.” Wafi membalas mesra.

        “Abang..” Rashidah mengangkat kening.

        “Abang bergurau saja.” Wafi membuat muka tidak bersalah. Rashidah menjeling tajam. Perbualan mereka terhenti apabila melihat tiga orang lelaki berpakaian kemas berkot menerjah masuk ke pejabat.

        Mereka bertemu dengan setiausaha syarikat La Tansa Enterprise. Setelah beberapa minit berbincang lelaki berkot hitam itu berpaling lalu memasuki ruang bilik Zulkarnain tanpa mengetuk pintu.  

        “Awak Zulkarnain Zakaria?” lelaki itu bertanya. Zulkarnain tersentak. Lamunannya terhenti. Kini dia menghadapi satu lagi beban di hadapannya.

        “Ya..” Suara Zulkarnain tersekat-sekat.

        “Saya ingin memberitahu awak sesuatu. Dengar betul-betul.” Lelaki yang disebelahnya pula berkata. Lagaknya seperti seorang yang lebih berjawatan tinggi dari Zulkarnain.

        “Awak sepatutnya buat temujanji dahulu. Jangan redah masuk ke pejabat orang sesuka hati!” bentak Zulkarnain. tidak pernah ada mana-mana individu yang memasuki biliknya dan berani memberi arahan kepadanya.

        “Jangan risau. Saya baru sahaja kosongkan semua temujanji awak hari ini, seterusnya dan selama-lamanya.” Lelaki itu pantas menjawab.

        Zulkarnain terpana. Penuh persoalan bermain di dadanya. Barulah dia sedar dia berhadapan dengan orang yang berpangkat lebih tinggi darinya. Orang itulah yang mengalahkannya dalam kes mahkamah baru-baru ini. Kes saman serta ganti-rugi dalam kebakaran. Kerugian kedua-dua kes ini cukup untuk membuatkan syarikatnya lingkup.  
        
        “Ini surat dari mahkamah. Dan ini surat pengisytiharan bahawa syarikat ini akan dikosongkan untuk dilelong. Sebarang bantahan sila berbincang dengan peguam awak. Namun saya yakin sebagai peguam, dia perlu mematuhi surat ini berikutan kekalahan syarikat ini dalam kes baru-baru ini.” Panjang penerangan daripada peguam itu.

         Zulkarnain tidak berkuasa membuat apa-apa. Lantas dia berjalan keluar dengan perasaaan sayu. Pekerja-pekerja yang lain sudah memahami maksud itu. Ia bermakna syarikat ini sudah muflis.  

        Zulkarnain masih menyepi. Tiada sebarang kalimah yang mampu keluar di bibirnya. Dia kecundang. Tidak kira dalam apa jua keadaan, dia telah gagal keseluruhannya.

        “Mulai hari ini kamu semua boleh mencari kerja yang baru. Berkenaan gaji bulan ini dan bulan-bulan sebelumnya, saya akan membayar dengan wang simpanan saya sendiri. Bila-bila masa kamu boleh datang ke rumah saya untuk mengambilnya.”

        Zulkarnain dan pekerjanya sayu apabila hanya mampu melihat barang-barang pejabatnya diangkat oleh petugas-petugas. tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya. Seorang demi seorang pekerjanya meninggalkan perkarangan syarikat itu. Dalam keadaan sedih itu, Wafi menghampirinya.

        “Aku mahu sampaikan satu berita penting. Mungkin akan buatkan kau rasa gembira.” Perlahan Wafi berkata di telinga bekas majikannya. Dia masih lagi berang dengan kegagalan majikannya membayar gaji kepada semua pekerja termasuk dia dan isterinya. tidak guna mereka datang ke rumah Zulkarnain untuk menuntut gaji sedangkan semua wang itu sudah habis digunakan untuk membayar saman dan gaji pekerja yang sudah awal-awal lagi menarik diri dari syarikat.

        “Tidak  ada gunanya lagi berita-berita lain. Aku dah pun muflis. tidak ada apa-apa harta.”

        “Tidak . Kau masih ada harta. Harta yang paling bernilai. Bahkan lebih bernilai lagi dari syarikat kau ini.” Terkebil-kebil Zulkarnain memandang Wafi. Tanda tidak mengerti dengan kata-kata tersebut.
     
        “Apa?”

        “Anak kau.”

        “Anak aku? Di mana dia? Di mana Adawiyah? mereka ada di sini? Wafi? Aku mahu berjumpa dengan mereka.” Zulkarnain menyoal lagi.

        “Aku khuatir kau takkan dapat jumpa mereka.” Wafi membalas.

        “Kenapa? Bukankah aku ayahnya. Bayi tu anak aku.” ujar Zulkarnain lagi. Hatinya kian melonjak ingin mengetahui.

        “Jadi, kenapa kau tiada semasa Adawiyah sarat mengandung? Sampai saat bersalin pun kau tidak muncul-muncul. Untuk apa? Untuk syarikat yang muflis ini?” lantang Wafi mengungkit segala kesalahan bekas majikannya itu.

        “Tapi tidak ada apa yang boleh aku lakukan pada masa itu.”

        “Tidak , ketika itu kau ada dua pilihan. Kembali ke kampung mencari isteri kau atau terus berada di sini. Tapi kau telah buat pilihan yang salah. Kau abaikan mereka. Kau tinggalkan mereka. Kau tiada semasa mereka perlukan kau.”

        “Tapi aku tetap ayahnya. Ayah bayi itu.”

        “Tidak . Kau adalah pengarah besar. Tuan pengarah Syarikat La Tansa.” Wafi menamatkan perbualan mereka. Lantas dia beredar dari situ menuju ke arah kereta yang diletakkan di seberang jalan. Rashidah mengikuti jejak suaminya. Zulkarnain mengejar. Banyak perkara yang dia hendak tahu dari dua orang rakannya itu. Mereka juga rakan karib isterinya. Pasti banyak perkara yang mereka tahu mengenai Nur Adawiyah.

        Wafi lantas membuka pintu kereta. Dia tidak memperdulikan lagi Zulkarnain. Sudah banyak nasihat dan teguran yang diberikan sebelum ini . Namun tidak satu pun dipedulikannya. Kini, segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Syarikat sudah muflis dan Nur Adawiyah sudah berlalu pergi. Zulkarnain nyata gagal.

        Sebelum masuk ke dalam kereta, Wafi berpaling kepada bekas majikannya itu. Ada sedikit belas kasihan yang terpancar di wajahnya. Bukan kerana Zulkarnain, tetapi kasihan dengan nasib Nur Adawiyah. Dia perlu membantu walaupun patah hati diherdik dan dimaki sebelum ini oleh Zulkarnain.

        “Kalau mencari barang yang hilang, carilah di tempat ia hilang.” Wafi memberi pembayang. Zulkarnain terpaku. Cuba menangkap maksud.

        Seketika kemudian, Zulkarnain terus meluru menuju ke arah keretanya. Terus dia menghidupkan enjin kereta itu dan bergerak pantas untuk pulang ke rumahnya di Indera Sempurna. Dia tahu destinasi seterusnya. Destinasi yang bakal menentukan masa depannya. Tanjung Karang.


*****                *****                *****                *****                *****



Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2015 09:54 AM | Show all posts
Alhamdulillah selepas 2 tahun terhenti baru berkesempatan meneruskan karya seni yang x seberapa ni. post terakhir pada 2013 :p
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2015 09:58 AM | Show all posts


         Malam semakin menjelma. Nur Adawiyah sekeluarga berkumpul di dapur untuk makan malam. Menu malam itu hanya seperti biasa. Gulai ayam dan sayur kangkung goreng belacan. Namun, masakan itu tetap istimewa kerana dihasilkan melalui air tangan ibu mereka.

         “Mak, ada berita baik.” Nur Adawiyah memulakan bicara.

         “Apa dia? Sudah lama mak tidak lihat senyuman di wajah anak mak ini.” Mak Yah tampak posotif.

         “Abang Zul. Dia akan datang ke mari. Sekarang sudah dalam perjalanan ke sini. Pagi esok dia akan sampai.”

         “Kenapa dia mahu datang?” tanya abang sulungnya, Khairul Afhan. Dia acuh tak acuh. Seolah-olah tidak gembira dengan berita itu Tangannya ligat mencedok nasi dan diletakkan ke dalam pinggan yang tersedia. Tangan sebelah lagi memegang periuk.

         “Mestilah mahu berjumpa dengan saya. Lagipun dia belum melihat anak dia.” Nur Adawiyah menjawab lembut.

         “Ataupun dia mahu menyusahkan angah lagi?” wajah Khairul Afhan serius. Ibunya geleng.

         “Along!!” bentak Nur Adawiyah.
         
         “Habis tu kenapa dia datang ke mari? Kenapa tidak datang waktu angah sarat mengandung atau semasa bersalin?”

         “Dia sibuk menguruskan syarikatnya. Pada masa itu memang ada banyak masalah.” Terang Nur Adawiyah bersungguh mempertahankan suaminya.

         “Jadi kenapa sekarang baru dia datang?” Khairul Afhan bertanya lagi.

         “Barangkali syarikatnya sudah bankrup. Cara terbaik adalah mencari kita untuk membantunya menyelesaikan hutang.” Ammar pula menyokong abangnya.

         “Tak baik cakap macam itu. Syak yang bukan-bukan. Diakan abang ipar kau juga.” Nur Adawiyah semakin tertekan. Tiga lawan satu mustahil untuk menang. Namun, perbahasan masih belum tamat.

         “Tapi betulkan apa yang Along cakap?”

         “Kak Ngah?” Ammar bertanya.

         “Adawiyah, betulkah apa yang adik kau cakapkan ini?” Mak Yah pula bertanya. Jalur-jalur kerisauan mengedutkan dahi ibunya yang berusia separuh abad itu. Nur Adawiyah perlu menjawab jujur. Dia tidak sanggup menipu ibunya itu. Kalau abang dan adik-adiknya mungkin boleh dirahsiakan lagi.

         “Ya…” Jawapan itu mengejutkan semua yang berada di meja makan itu. Kali ini Nur Adawiyah beralih pandangan pada kesemua sekali mereka yang berada di meja makan itu. Satu demi satu ditatapnya.

         Bermula dari abangnya, Khairul Afhan, dan dua adiknya, Ammar dan Umaiyah. Nur Adawiyah turut juga memandang ke arah ibunya yang duduk di sebelahnya. Hanya adik bongsunya, Umaiyah  yang hanya berdiam diri. tidak menyampuk selagi suaranya tidak diperlukan.

         “Kan betul saya cakap. Dia mahu menyusahkan Kak Ngah saja. Menyusahkan kita semua.” Ammar mula berang.

         “Tapi dia bukan seperti itu. Dia mencari Kak Ngah untuk bersama dengannya semula. Dia betul-betul menyesal.” Nur Adawiyah masih ada kepercayaan kepada Zulkarnain.

         “Sudah. Cepat makan. Tidak elok bergaduh depan rezeki. Nanti kita bincang selepas makan.” Ibunya segera mematikan perbahasan mereka.

         Sekali lagi Nur Adawiyah mengeluh. Kali ini dia pula yang menggeleng sahaja. Mereka saling menjeling antara satu sama lain. Di dalam hati masing-masing terlintas rasa tidak puas hati. Kedua-dua pihak mempunyai pendapat yang berbeza mengenai lelaki yang bernama Zulkarnain itu. Ibunya sahaja tidak tahu harus berada di pihak mana. Berdiam diri mungkin adalah jalan terbaik.

         Makan malam itu berlalu dengan pantas. Along hilang selera. Ammar juga begitu. Nur Adawiyah sudah awal-awal lagi masuk ke dalam biliknya. Hanya sedikit nasi yang masuk ke mulutnya.

         *****                *****                *****                *****                *****


Reply

Use magic Report

Post time 6-6-2015 05:54 PM | Show all posts
muhamad_fairuz replied at 6-6-2015 09:54 AM
Alhamdulillah selepas 2 tahun terhenti baru berkesempatan meneruskan karya seni yang x seberapa ni.  ...

memde mu ni.malaysia doh musiboh,baru nak hapdet.ayoooooo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-6-2015 10:27 AM | Show all posts

*****                *****                *****                *****                *****

Kereta berjenama BMW biru gelap membelah angin malam. Malam masih muda. Kereta banyak di jalan raya. Pergerakan kereta itu lantas menjadi perlahan. Zulkarnain tiba di tol Karak melalui Lebuhraya Pantai Timur lebih kurang pada pukul sebelas malam. Hampir empat jam dia berada dalam kereta itu.

        Perjalanan seperti biasa membosankan. Apatah lagi ia mengambil masa yang amat panjang untuk bergerak daripada Kuantan ke Kuala Selangor. Perjalanan dari Pantai Timur Semenanjung ke Pantai Barat membelah Banjaran Titiwangsa.

        Penat dan lenguh tetap terasa walaupun menaiki kereta BMW yang amat selesa. Ditambah pula perjalanannya tidak berteman, pasti memeritkan lagi jiwa dan jasadnya. Jarang Zulkarnain memandu sejauh itu. Sudah hampir senja baharulah dia tiba di Genting Sempah untuk melepaskan lelah.

        “Perjalanan yang panjang ya anak muda... .” Satu suara bergema di sebelahnya. Kepala Zulkarnain berpaling mencari sumber suara itu. Kelihatan seorang lelaki sebaya ayahnya berdiri di sebelahnya.

        “Ya. Mungkin juga saya sudah biasa melalui jalan ini atas urusan kerja”. Zulkarnain cuba ramahkan diri. Jarang bergaul dengan orang yang tidak dikenali tetapi senja itu dia memecahkan tradisi keegoannya.

        “Anak ini hendak ke mana?”

        “Pulang ke kampung. Kuala Selangor. Pakcik pula ke mana? Seorang diri?”

        “Ya. Pakcik menuju ke semua destinasi. Mengembara di bumi Allah ini. Kali ini ke rumah anak pakcik di Bangi.”

        “Seronokkah mengembara?”

        “Semestinya. Islam pun menyuruh kita mengembara. Melihat bumi yang luas, menghayati ciptaan Tuhan dapat mendekatkan kita kepadaNya.” Lelaki itu mula berceramah.

        “Malangnya saya tidak ada masa untuk mengembara. Terlalu sibuk dengan urusan kerja. Insya-Allah jika diizinkan saya juga akan menjadi seperti pakcik.” Jawab Zulkarnain tergaru-garu.

        “Melihat kepada pakaian dan watak, anak ini pakcik rasa bukan orang biasa. Pakcik bertemu dengan banyak manusia dari pelbagai tempat. Ia memudahkan pakcik menilai seseorang melalui pandangan pertama.” Lelaki itu berkata lagi. Zulkarnain terangguk-angguk.

        “Jadi pakcik fikir saya siapa? Orang kaya?” soal Zulkarnain tidak sabar-sabar.

        “Orang kaya pun manusia biasa. Dari butang baju anak yang hampir terkeluar, baju yang tidak bergosok, anak muda ini balik ke kampung isteri untuk membawanya pulang. Betulkah?”

        “Hebatnya pakcik. Tahu dengan semua perkara. Memang benar. Saya telah membuat satu kesilapan besar. Mengabaikan amanat yang Allah berikan sehingga dia pulang ke kampung. Kali ini saya akan menebus kembali dosa saya.”

        “Anak muda, dengar ini. Seorang pengembara itu perlu melengkapkan perjalanannya. Dalam perjalanan itu kadangkala dia menemui kesusahan, kesukaran dan rintangan, tetapi itu membuatkannya lebih berhati-hati, deria menjadi tajam dan yang penting tidak mengulangi kesalahannya. Semua ini ditempuhi agar perjalanannya sampai ke destinasi. Dan, destinasi semua manusia ini adalah akhirat yang kekal abadi. Perjalanan itu adalah dunia yang sementara ini. Jadi apa yang anak muda ada sekarang hargailah dengan sebenar-benarnya. Isteri yang solehah itu adalah bekalan yang abadi. Lebih baik dari seluruh dunia dan isinya.” Panjang lebar lelaki tua itu menerangkan.

        “Saya faham, pakcik. Namun begitu, mahukah isteri saya menerima saya kembali setelah apa yang saya lakukan kepadanya?”  

        “Kalau ikutkan pendapat pakcik memang susah tapi pakcik jamin berkesan,” Lelaki itu cuba memberi petua.

        “Apa dia?”

        “Minta maaf kepadanya. Buangkan ego lelaki kita dan gantikan dengan kasih sayang. Mereka kaum wanita tidak boleh dilayan dengan kasar, kita perlu berlembut.”  Lelaki tua itu hanya terpaku. Matanya liar memerhatikan gerai-gerai yang terdapat di sekitar kawasan itu.

        “Mungkin anak boleh belikan dia buah tangan untuk mengambil hatinya, atau sebarang cenderahati lain?”

        “Saya tidak pernah membelikannya apa-apa pun sebelum ini.” Zulkarnain membalas.

        “Mungkin sekaranglah masanya anak patut cuba.” Jawab lelaki itu seraya bangun untuk meminta diri. Tiba masa untuk meneruskan pengembaraan. Zulkarnain juga akan menyambung perjalanan ke Kuala Selangor. Namun, dia memilih untuk bermalam di dalam kereta dahulu. tidak terdaya untuk terus memandu dalam keadaan penat dan fikiran yang tidak menentu.

        “Abang, mahu membeli tudung?” satu suara lembut menegurnya sewaktu menuju ke kereta.

        Zulkarnain berpaling. Seorang wanita sebaya isterinya pula menegur. Wanita itu sedang mempromosikan tudung-tudung yang dijual. Mata Zulkarnain tertumpu di bahagian atas gerai itu. Dia membaca nama gerai yang tertera.

        “Ruhul Hana Collection? Malam-malam begini pun ada yang menjual tudung?” Zulkarnain merungut dalam hati sambil menjeling ke arah jam tangannya yang menunjukkan angka sebelas.

        “Belilah abang, Untuk mak, isteri atau adik?” wanita itu berkata lagi.

        “Isteri?” hati Zulkarnain terdetik. Dia berpaling. Nyata nama-nama yang digunakan oleh wanita itu untuk menarik pelanggan menjadi.

        “Tengok-tengok dulu ya.”

         “Tudung labuh ada?”

        “Ada, di dalam. Yang di luar ini tudung biasa.” jawab wanita di depannya dengan nada yang gembira. Lama

                Zulkarnain mengamati tudung-tudung yang ada di dalam. Bukannya memilih tetapi bingung tidak tahu yang mana satu kegemaran isterinya. Ada kalanya dia melihat kepada baju yang dipakainya.

        “Tudung yang ini harganya berapa?

        “Yang ini Tudung Akel, RM30 sehelai.” Wanita itu menjawab. Lantas dia bertanya lagi,“Beli untuk isteri?”

        “Ya, saya tidak berapa pandai memilih tudung.” Kata Zulkarnain sambil tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru.

        “Tak mengapa. Ikut yang mana Encik berkenan. Semua ini sesuai dan sama saiz.”

        “Kalau dua ini?”

        “Dua RM60”

        “Tak ada diskaun ke, adik?” Ujar Zulkarnain bersahaja.

        “Abang, untuk isteri jangan berkira.” Wanita itu tersenyum meleret.

        *****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

Post time 7-6-2015 10:15 PM | Show all posts
sangat menarik!
Membaca kisah ni seakan membaca sebuah novel islamik lama..
teruskan menulis..

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-6-2015 03:23 PM | Show all posts
        *****                *****                *****                *****                *****

Subuh mula bergerak pantas. Hijau yang kian menjelma menghapuskan kegelapan yang bermaharajalela sekian lama. Anggota tubuh Nur Adawiyah masih terasa segar dengan air wuduk yang dijaga. Air paip pagi itu sedingin salju. Cukup untuk membuatkan anggotanya menggigil apabila terkena angin jadi jendela yang mula berpuput lembut.

        Jendela itu memang sengaja dibiarkan terbuka awal pagi lagi. Rezeki akan mencurah-curah. Apatah lagi sayup-sayup kedengaran suara ustaz menyampaikan tazkirah di masjid pasti boleh mengisi masa pagi itu dengan secebis ilmu dan berkat. Masjid itu  tidak lah jauh dari rumahnya. Sekadar tiga ratus meter sahaja.

         Perjalanannya pula melalui tiga buah rumah di pinggir cuma di pagi-pagi itu sukar untuk seorang wanita sepertinya melangkah ke sana kerana tidak diterangi lampu-lampu,

        Kuliah Subuh disampaikan oleh seorang ustaz menghampiri setengah abad. Mungkin sebaya dengan ayahnya sekiranya dipanjangkan usia. Nama ustaz ini Ustaz Abdul Rauf, lulusan pengajian ilmu hadith daripada Universiti Al-Azhar. Dia amat mengenali ustaz itu kerana dalam kawasan kejiranan yang sama. Penyampaiannya yang hidup dan ceria menghiburkan hari, membakar hangus rasa mengantuk di kelopak mata. Walaupun ucapan Rasulullah sudah berusia 1600 tahun, Ustaz Abdul Rauf cukup bijaksana mengadaptasikannya ke dalam hal-hal semasa. Satu bakat yang perlu dimiliki oleh setiap tenaga pengajar supaya ilmu agama itu menjadi praktikal di mana-mana. Bukan sekadar menjadi buah mulut semata-mata.

        Alam di luar masjid mula menampakkan diri. Burung-burung semakin riang berkicau, mencipta irama agung di permulaan hari. Ustaz Abdul Rauf lalu mennyudahi kuliah dengan tasbih kafarah dan Surah Al-Ashr. Selesai mendengar tazkirah, dia berpaling ke arah katil. Anaknya yang baru lahir dua minggu sedang nyenyak tidur. Farhana, nama itu seindah pemiliknya. Nama itu diberikan olehnya sendiri dengan persetujuan suaminya, Zulkarnain.        
        
        Nur Adawiyah tidak menyedari bukan dia seorang sahaja yang memerhatikan Farhana. Ibunya sedari tadi tercegat di muka pintu asyik memerhatikan wajah mulus kedua-dua anak-beranak itu.
       
        “Eh, mak. Masuklah.” Nur Adawiyah menjemput.
       
        “Belum bangun lagi?” Mak Yah menjenguk sambil melihat Farhana.
       
        “Sebentar lagi agaknya. Biasanya waktu-waktu sebegini Farhana sudah bangun.”

        “Kau gembira dia datang?”

        “Tentulah, Mak. Bukankah dia itu suami saya.”

        “Gembira sampai kau terlupa penderitaan kau sebelum ini.” Mak Yah bertanya lagi. Mungkin menguji sejauh mana keyakinan anaknya terhadap lelaki itu.

        “Mak, dia datang sini mungkin dia sudah berubah. Kalau tidak dia takkan datang sejauh ini.”

        “Bagaimana sekiranya dia tidak berubah?” mata Mak Yah semakin bulat.

        “Mak..” Nur Adawiyah merayu. Meminta ibunya itu menyebelahinya.

        “Mak risau. Mak tidak mahu kau tersiksa lagi.”

        “Insya-Allah  tidak . Dia suami Adawiyah. Adawiyah yakin dengan dia.” Nur Adawiyah masih tidak mahu mengalah.

        “Tapi mak tidak yakin.” Kata-kata ibunya terhenti di situ. Masing-masing terdiam. Mak Yah berkira-kira di dalam hati. Nur Adawiyah pelik dengan tingkah laku ibunya itu.

        “Maafkan mak.” Mak Yah segera keluar dan menutup pintu. Dia mengunci pintu itu dari luar. Mengelakkan anaknya berjumpa dengan lelaki yang mengecewakan mereka sekeluarga.

        “Mak….!!!! Apa mak buat ni?” Nur Adawiyah menjerit dari dalam sambil tangannya mencapai tombol pintu tapi sudah terlambat. Ibunya sudah mengurungnya di dalam bilik. Mengelakkan Nur Adawiyah bertemu semula dengan suaminya.

        “Dia suami Ada, mak. Ada mahu jumpa dia.” Jeritnya lagi. Kali ini diikuti dengan tangisan. Mak Yah hanya mampu menahan esak di luar bilik Nur Adawiyah. Dia terpaksa melakukan semua ini kerana terpengaruh dengan kata-kata Khairul Afhan. Khairul Afhan hanya memerhatikan dari ruang tamu. Dia tahu apa yang harus dilakukannya sekarang.

*****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-6-2015 04:43 PM | Show all posts
*****                *****                *****                *****                *****

          Kereta biru BMW memasuki persimpangan Kampung Gulang-Gulang. Selepas itu, dia menelusuri beberapa simpang yang sudah dihafal oleh Zulkarnain walaupun ini kali kedua dia menjejakkan kaki di kampung mentuanya itu.

          Keretanya mula dipandu memasuki lorong kecil antara dua sawah. Lorong yang tidak bertar itu hanya di penuhi dengan batu-batu kerikil. Sesiapa yang tidak cekap memandu pasti akan terbabas ke dalam sawah.

          Pergerakan kereta itu terhenti tiba-tiba. Mata Zulkarnain terpaku pada tiga orang lelaki yang berada di depannya. Dia mengecam ketiga-tiga lelaki itu. Khairul Afhan, Ammar dan Umaiyah. Abang dan adik iparnya. Namun dia bertanya dalam hati, apa yang tiga beradik itu buat di sini. Mungkin Nur Adawiyah sudah menceritakan kedatangannya kepada keluarga.

          Namun, mengapa tidak menunggu di rumah sahaja. Hanya seratus meter dia akan tiba di rumah mentuanya. Dari lorong itu juga Zulkarnain sudah dapat melihat rumah besar milik arwah bapa mertuanya itu dengan jelas.

          Pintu di tolak dan dia melangkah dengan kalut. Derap kakinya membulatkan mata tiga beradik itu. Belum sempat dia berkata apa-apa, Khairul Afhan sudah bertanya.

          “Apa yang kau buat di sini?”

          “Aku mahu berjumpa dengan isteri dan anak aku.”

          “Kau kata mereka isteri dan anak?” Umaiyah pula mengherdik. Dia sudah bercekak pinggang.

          “Kau buang dia macam tu saja. Kau buat mereka seperti sampah!” lelaki di sebelahnya itu menyumpah.

          “Aku minta maaf.”

          “Minta maaf? Senangnya kau bercakap. Kau tinggalkan mereka berbulan-bulan, biarkan mereka sengsara. Begitukah cara kau jaga Adawiyah? Kau bukan menjaganya, kau hanya abaikannya!” bentak Khairul Afhan lagi. Rasa kurang senang dalam hatinya semakin membara.

          “Aku tahu. Aku sedar sekarang. Sebab itulah aku meminta maaf.” Zulkarnain meminta belas.

          “Mujur kau adik ipar aku, sekiranya orang lain sudah lama aku hentam.” Mata abang iparnya itu menyala dengan lebih garang.

          “Ya, aku adik ipar kau. Jadi benarkan kau berjumpa dengan mereka, mereka sahajalah yang aku ada sekarang.” Zulkarnain terus merayu.

          “Mereka tidak mahu jumpa dengan kau. Keluar dari kampung ini sekarang.”

          “Tidak , kecuali tanpa mereka.” Zulkarnain cuba bertegas.       

          “Aku akan pastikan itu tidak akan terjadi.” Berkerut muka Khairul Afhan memandang lelaki dihadapannya.

          “Apa yang kau mahu lakukan?”

          “Kami sanggup buat apa sahaja asalkan kau tidak ganggu mereka.”

          “Aku tidak ganggu mereka. Aku suaminya. Aku berhak ke atas mereka.”

          “Kau tiada semasa dia sarat mengandung.” Khairul Afhan mengungkit.

          “Juga semasa bersalin.” Ammar turut menyokong abangnya.

          “Kau tidak berhak berbuat begitu.” Umaiyah juga sama.

          “Aku takkan berganjak selagi mereka tidak bersamaku.” Zulkarnain masih tidak mahu mengalah.

          “Baik kau berundur sebelum kayu ini hinggap di kepala kau.” Balas Khairul Afhan semakin kasar. Rasa geram dengan sikap lelaki yang tidak faham bahasa itu. Sudahlah datang tidak dijemput, tidak mahu beredar pula. Kayu di tangannya digenggam kemas. Menunggu mangsanya sahaja.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 12-6-2015 11:06 AM | Show all posts

          Tiga beradik itu merapati Zulkarnain. Mereka jelas sukar untuk mengawal kesabaran setelah Zulkarnain enggan mengikut arahan mereka.

          “Aku tidak akan berundur.”

          “Adawiyah tidak mahu jumpa dengan kau.” Bentak Ammar, marah.
  
           “Aku mahu jumpa dia.”

          “Jangan mimpi.”

          Satu tumbukan sulung yangn hebat daripada Khairul Afhan hinggap di pipi adik iparnya itu. Kemudian seorang demi seorang mula merapati Zulkarnain. Zulkarnain yang berseorangan itu hanya tunduk membisu sambil meraba-raba pipi yang mula merah.

          “Padan muka!” detik Ammar sambil mengetap bibir. Zulkarnain memegang mulutnya. Darah mengalir. Mungkin ada keretakan atau pendarahan di rahangnya. Belum sempat dia mengatur nafas, satu lagi serangan telah mengenainya.

          “Argh…!!!” sekali lagi dia menjerit. Serangan yang sama dilakukan oleh Khairul Afhan. Mereka menghentikan serangan apabila menyedari Zulkarnain sudah tidak mampu bangun semula.

          “Elok abang balik. Di sini tiada tempat untuk abang lagi. Setelah apa yang abang buat kepada kakak, kami tidak dapat terima.”  Umaiyah cuba memujuk. Antara tiga beradik itu dia yang paling bongsu dan yang paling tenang. tidak mudah marah dan cuba menyelesaikan sesuatu dengan rasional.

          “Tidak . Aku tidak akan berganjak.” Balas Zulkarnain tanpa memandang.

          “Ini mungkin mengubah fikiran kau.” Ammar memberi amaran beserta satu lagi tumbukan tepat. Diikuti dengan tendangan dari Khairul Afhan yang menuju ke diafragma Zulkarnain. Lelaki itu benar-benar diamuk amarah. Dia meneruskan lagi serangan. Namun, kali ini dihalang oleh adiknya sendiri, Umaiyah.

          “Jangan, Along. Ini sudah melampau. Kita cuma memberi amaran, supaya dia tidak mengganggu Kak Ngah.” Umaiyah cuba menghalang abangnya itu.

          “Ah, lepaskan aku. Dia ini memang perlu diajar.” Jawab Khairul Afhan kasar.

          “Mati pula dia nanti. Kita juga yang dapat susah.”

          “Baik, kau suruh dia pergi sebelum aku ubah fikiran.”

          “Abang Zul harus pergi. Di sini bukan tempat abang.”

          “Adik aku tidak mahu berjumpa dengan kau. Faham!”

          “Baiklah kalau macam tu.” Zulkarnain mengangguk perlahan. Walaupun luka-lukanya kelihatan seperti tidak seberapa, masih terasa lagi bisa-bisa dan lenguh di seluruh anggota. Matanya juga masih berpinar. Mungkin disebabkan tamparan yang kuat sebentar tadi.

          Kali ini dia terpaksa menyerah kalah. Perlu berundur atau perkara ini tidak selesai. Apatah lagi isterinya sudah tidak mahu berjumpa dengannya lagi. Dengan kesalahan yang begitu banyak mana mungkin Nur Adawiyah masih mampu menerimanya kembali. Apatah lagi ditambah dengan bebelan dan rungutan  dari abang dan adik iparnya yang seakan-akan tidak ada penghujungnya.

          Zulkarnain melangkah lemah ke pintu kereta yang tidak bertutup semenjak tadi. Namun, dia terpaku apabila melihat beg plastik yang berada di tempat duduk kiri kereta itu. Ia adalah hadiah yang baru sahaja dibelikan untuk isterinya. Lantas dia mengambilnya dan kembali berpaling kepada Umaiyah yang berada paling hampir dengannya.

          “Sebelum abang pergi, tolong sampaikan ini kepada Adawiyah.” Zulkarnain mnenghulurkan sesuatu. Umaiyah hanya menyambut pemberian itu. Lantas Zulkarnain berpaling dan membuka kembali pintu keretanya. Mengangguk sedikit pada  tiga beradik itu sebelum mengundurkan kereta dan berlalu pergi.

          Perjalanan yang ditempuhi tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan dan kesenangan seperti dalam wayang gambar. Adakalanya penuh dengan liku-liku kehidupan yang meminta pengembara di jalan itu berputus asa. Namun tanpa pengalaman dan kesabaran, semua itu menjadi mustahil untuk diharungi dalam mengecapi pada masa hadapan yang gemilang.

*****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-6-2015 08:58 AM | Show all posts
*****                *****                *****                *****                *****

          Matahari semakin meninggi. Kepanasan dapat dirasa di segenap alam yang menerima cahayanya. Namun, ia tidak dapat menandingi kepanasan di dalam hati yang kian membara. Nur Adawiyah masih berada di biliknya. Pintu dikunci. Tingkap pula berjeriji. Mustahil untuk ditembusi. tidak ada jalan lain untuk keluar dari bilik itu melainkan ia dibuka dari luar.

          Di luar pintu  pula Mak Yah masih menunggu. Kadangkala dia menjenguk dari tingkap ruang tamunya supaya dapat mengetahui keadaan di luar. Lega hatinya apabila kereta BMW berwarna biru sudah tidak kelihatan. Itu bermakna Zulkarnain sudah beredar dari kampung itu.

          “Dia dah pergi.” Mak Yah berkata setelah membuka pintu. Nur Adawiyah segera berpaling.

          “Sampai hati mak buat saya macam ni.” Ada nada kecewa yang kedengaran di hujung suaranya. Nyata dia kecewa dengan ibunya sendiri.

          “Mak terpaksa.”

          “Tergamak mak kurung saya dalam bilik ini. Mak dah pisahkan saya dan suami saya. Juga anak ini dengan ayahnya.”

          “Tapi dia tidak baik untuk Adawiyah. Dia dah menghilang hampir enam tujuh bulan. Senyap sunyi tanpa khabar berita.”

          “Tapi Adawiyah rela mak. Walau bagaimana sekali pun Adawiyah tetap isterinya.”

          “Mak tahu. Tapi abang kau tetap tidak setuju.”

          “Mak, tolonglah pujuk abang. Sampai bila kita harus begini. Kesiankanlah anak kecil ini.” Bersungguh-sungguh Nur Adawiyah menjelaskan isi hatinya. Mak Yah hanya mendiamkan diri dan berlalu pergi. Pintunya tidak dikunci seperti sebelumnya. Dia tahu Nur Adawiyah tidak  akan melarikan diri. Ini kerana telefon bimbit dan kad pengenalan anaknya itu dipegang oleh Khairul Afhan.

          “Mak..!!!” jeritan Nur Adawiyah itu tidak dipedulikan. Mak Yah tetap berlalu dalam nekad. Dalam esakan yang makin meninggi, Nur Adawiyah masih memanggil nama itu. Walaupun tidak sampai sehari dibiarkan keseorangan dalam bilik itu,  baginya ia satu tempoh yang sudah telalu lama.

          *****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-6-2015 08:07 AM | Show all posts

*****                *****                *****                *****                *****

Selang beberapa hari kemudian....

Hon..!!!

Sebuah kereta yang meluncur laju di jalan itu memberi amaran kepada seorang lelaki yang berada di tengah-tengah lorong. Sememangnya keadaan ini mendatangkan bahaya apatah lagi dalam keadaan hujan dan diselubungi kegelapan malam.

“Hoi… ke tepi..!” jerit pemandu kereta yang lain kepada lelaki itu tetapi tidak diendahkannya. Lelaki itu melangkah perlahan. Tangan kanannya memegang kepala. Pening yang teramat sangat. Langkahnya tidak mampu diatur. tidak tahu ke mana hendak dituju. Mungkin kesan pening yang kuat itu. Sehinggalah satu suara yang kuat, menerpa ke arah gegendang telinganya.

“Letakkan senjata!” bentak lelaki di hadapannya yang berpakaian seragam polis. Seraya pisau di tangannya terjatuh. Melihat keadaan itu, dua pegawai polis yang lain meluru untuk menggari lelaki itu.

“Dia siapa?” ketua polis itu bertanya kepada rakannya. Pegawai polis yang menahannya mengeluarkan dompet untuk mengenal pasti siapa lelaki misteri itu.

Untuk beberapa ketika lelaki misteri itu masih lagi mendiamkan diri. Namun tidak sedikit pun perasaan takut dan gusarnya mulai menghilang. Penjelasan polis itu menambahkan lagi debaran di hati. Sekeping kad kecil diberikan kepada ketua polis itu. Kad pengenalan lelaki misteri.

“Zulkarnain. Awak ditahan untuk membantu siasatan. Atau mungkin awaklah pembunuh yang kami cari.” Lelaki misteri itu terkejut. Nama itu hadir semula di benak minda. Itulah namanya. Nama yang cukup bertuah. Nama yang memberi seribu satu kenangan, dan kini ia akan tinggal kenangan…

*****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-6-2015 08:12 AM | Show all posts
Mak Yah sedang menikmati suasana pagi yang harmoni. Namun, bayu yang berpuput lembut itu tidak mampu melunturkan kegusaran dan kegelisahan hatinya. Sudah dua hari Zulkarnain meninggalkan kampung.

Dua hari jugalah Zulkarnain hilang tanpa berita. Mungkin lelaki itu sudah berputus ada. Namun, sudah dua hari jugalah Nur Adawiyah berkurung kesedihan dalam bilik. Sekiranya keadaan ini berterusan dia tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku. Dia hanya mampu berdoa ada bantuan yang tiba dalam apa juga bentuk sekalipun.

Tiba-tiba, bahunya ditepuk perlahan mengelakkan dari sebarang kejutan. Sekiranya kuat mungkin akan membahayakan sekiranya orang yang ditepuk itu mempunyai sakit jantung atau kuat melatah.

“Oh, Aisyah.” Riak wajah Mak Yah sedikit berubah. Tampak ceria menerima kunjungan gadis yang juga jirannya itu.  

“Mimpi apa datang pagi-pagi ni?” Mak Yah cuba menyembunyikan kegusaran hati. Namun apabila berhadapan dengan gadis secergas Aisyah, perasaan itu terbongkar jua.

“Saja melawat makcik.” Ujar gadis itu.

“Minum?” Mak Yah mempelawa. Aisyah menggeleng. Dalam keadaan sekarang, rasanya dia tidak berselera untuk menjamah apa-apa. Dia masih lagi rasa terkejut dengan kejadian yang baru saja menimpa Nur Adawiyah. Mereka pernah berhubung melalui jendela tanpa pengetahuan Mak Yah dan anak-anaknya yang lain.

“Mana Abang Afhan?” Aisyah memandang sekeliling. Hanya sawah menghijau luas terbentang di depan matanya.

“Dia baru saja keluar ke sawah.”

“Baguslah.” Dia berpaling sambil tersenyum simpul. Mak Yah cuba mengagak makna di sebalik senyumannya itu.

“Kenapa? Aisyah mahu ikut diakah?”

“Mana ada. Boleh kita berbual-bual panjang sedikit.” jawab Aisyah menyimpan ketawa.

“Mengenai Adawiyah ke?” Mak Yah berjaya menduga.

“Makcik ni, saya baru sahaja mukaddimah, makcik sudah masuk kepada isi.” Aisyah berseloroh.

“Makcik tengok sahaja Aisyah datang sudah tahu.” Mak Yah tersenyum kelat.

“Mana Adawiyah?”

“Di dalam.” Mak Yah menjawab sepatah. Hanya itu yang terkeluar daripada bibirnya.

“Menangis lagi?” spontan Aisyah bertanya lagi. Mak Yah hanya mengangguk. Hatinya semakin tidak keruan.

“Adawiyah anak yang baik.” Aisyah membuka cerita.

“Ya. makcik tahu.” Mak Yah menjawab, lalu dia menyambung, “Ayahnya sudah lama pergi meninggalkan kami. Saya cuba jadi ibu yg baik. Untuk Adawiyah dan lain-lain.

“Saya percaya makcik sudah buat yang terbaik.” Aisyah melontar pendapat peribadi. Mak Yah menahan esak. Perkara itu terlalu sensitif untuk diucapkan.

“Saya dengar dia pelajar terbaik dalam kelas.”

“Dia suka belajar.” Mak Yah membalas itu dengan senyuman.

“Dia juga suka badminton. Kami selalu bermain di dewan kolegiat. Kadang-kadang dia sertai kejohanan. Walaupun tidak pernah memenangi sebarang trofi, dia tetap membanggakan.” Aisyah melafazkan tanpa berselindung.

“Ya, dialah satu-satunya anak perempuan yang makcik ada. Tiga anak lelaki yang lain tidak ada seorang pun yang jadi guru seperti yang arwah ayah mereka hajatkan. Makcik suruh Adawiyah menceburi bidang perguruan tapi dia masuk ke gelanggang bermain badminton.” Mak Yah menyambung cerita. Dia tergelak kecil mengenangkan apa yang telah berlaku.

“Dia memang seorang guru. Dia mampu mendidik sesiapa sahaja yang mengenalinya.”

“Bila dia ditimpa kesusahan, dia selalu jumpa jalan keluar.”

“Kini dia ditimpa kesusahan sekali lagi. Satu-satunya jalan keluar adalah dengan bantuan makcik.” Aisyah mengubah topik perbualan dengan mengaitkan perbualan mereka sebentar tadi dengan keadaan Nur Adawiyah pada masa ini. Serta-merta memberikan persoalan kepada Mak Yah yang mungkin tidak dapat menangkap penuh maksud kata-katanya itu.

“Apa kaitannya dengan makcik?”

“Kerana makcik memegang kunci bilik itu. Dia harus segera pulang ke pangkuan suaminya untuk menyelesaikan segala masalah.”

“Lebih baik jika dia tinggal di sini. Makcik dan abangnya boleh menjaganya.”

“Dia menangis sepanjang malam dan tiap-tiap hari, itu yang makcik katakan lebih baik?”

“Makcik tidak benarkan.”

“Saya tahu, sebab itu saya di sini. Saya harap makcik ubah fikiran. Dia tidak pernah menitiskan air matanya semasa berada di sini. Sehinggalah pada masa makcik menghalangnya. Makcik tidak beri dia pilihan. Makcik terlalu ikutkan Abang Afhan yang langsung tidak berkuasa ke atas Adawiyah. Makcik lupa bahawa Adawiyah adalah isteri Zulkarnain dan itu adalah pilihannya. Pernahkah makcik terfikir bahawa dialah orang yang paling derita.” Ujar Aisyah panjang lebar. Suaranya masih lembut, cuba untuk menyejukkan hati Mak Yah yang mula panas membara apabila dinasihati.

“Selepas begitu lama terpisah dan banyak cabaran, barulah mereka dapat berjumpa semula. Kenapa tidak menghargai saat-saat itu.  Kini mereka terpisah semula. Saya khuatir sekiranya terlambat, mereka tidak akan bertemu untuk selama-lamanya.” Sambung gadis itu.

“Mengapa pula? Zulkarnain ingin bercerai?” Mak Yah kehairanan.

“lebih dari itu. Zulkarnain di penjara sekarang atas tuduhan membunuh. Kawan kami di sana, Rashidah yang memberitahu kepada saya.”

“Ya Allah!” Mak Yah terkejut.

“Sekarang tidak ada orang yang mahu membantunya. Satu-satunya orang yang percaya kepada Zulkarnain adalah isterinya.” Terang Aisyah bersunguh-sungguh.

“Dia ada sejarah yang membanggakan keluarga. Benarkan dia keluar dan membanggakan keluarganya sekali lagi.” Sambungnya lagi. Dia pasti bahawa Mak Yah tentu tidak mahu melihat Nur Adawiyah bergelar janda. Dia juga pasti kejadian baru-baru ini hanya untuk memberi pengajaran dan bukannya untuk selama-lamanya.     

*****                *****                *****                *****                *****
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 07:04 PM GMT+8 , Processed in 0.810855 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list