Bekas juara dunia sekat kemaraan Azriyn-Wee Kiong
[size=14.399999618530273px]Azriyn-Wee Kiong tewas dalam tempoh 33 minit kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di separuh akhir Kumamoto Masters hari ini. - Foto fail NSTP
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: 'Kisah dongeng' beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong di Masters Kumamoto berakhir di separuh akhir selepas tewas di tangan wakil tuan rumah yang bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sebentar tadi. Pada aksi Gimnasium Kumamoto Prefectural itu, pasangan negara yang berada di ranking ke-40 dunia terpaksa akur tewas di tangan Hoki-Kobayashi yang menduduki ranking nombor sembilan 12-21, 15-21 dalam tempoh 33 minit. Sebagai rekod, ia adalah pertembungan pertama membabitkan kedua-dua pasangan itu. Sekalipun tewas di separuh akhir, namun ia satu pencapaian membanggakan buat Azriyn-Wee Kiong memandangkan ia adalah kali pertama mereka menjejakkan kaki dalam kelompok empat terbaik kejohanan bertaraf Super 500. Dalam laluan ke separuh akhir, Azriyn-Wee Kiong cemerlang menewaskan gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Chen Xin-Yuan di pusingan pertama sebelum mencipta sensasi apabila menumbangkan rakan senegara yang juga juara Terbuka China, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan kedua. Mereka kemudian menundukkan satu lagi gandingan Taiwan yang dibarisi bekas pemenang pingat emas Olimpik dua kali, Wang Chi Lin yang bergandingan bersama Chiu Hsiang Chieh di suku akhir, semalam. Aksi final esok bakal menemukan Hoki-Kobayashi menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto. Sementara itu, nasib sama turut menimpa beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terlepas peluang untuk mara ke final buat kali keempat musim ini selepas tewas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-18, 20-22, 14-21. Soon Huat-Shevon sebelum ini berjaya merangkul gelaran Terbuka Switzerland dan Masters Malaysia selain muncul naib juara kejohanan Super 1000 di Terbuka China.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/11/1324616/bekas-juara-dunia-sekat-kemaraan-azriyn-wee-kiong
|