Assalamua'laikum semua yang ada kat sini. Nak menyelit iklan sikit.
Nantikan 'baby' sulung saya Maniskah Derita, Pahitkah Bahagia? yang akan lahir tidak lama lagi. Hampir dua tahun berhempas pulas 'mengendongnya' ternyata segala kepayahan dan kepahitan terbalas juga dengan 'kelaihirannya'. Sedikit mengenai karya sulung saya...
PROLOG
Bunyi hempasan ombak yang memukul di dada pantai itu langsung tidak menganggu tumpuan Lily Dayana yang sedang berjalan mengharunginya. Satu demi satu langkahnya diatur. Terpapar jelas di belakang, jejak kakinya di lantai pasir pantai itu. Berbekas, berlekuk jejak yang ditinggalkan. Jika diamati jejak itu agak jauh juga dia berjalan langsung dia tidak sedar. Sedang di dalam kepalanya begitu sarat, memikirkan pelbagai perkara yang kian menyesak. Bertubi-tubi masalah yang menimpa hingga hampir membuatkannya tenggelam punca. Tercari-cari rentak untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan likunya.
Langkahnya terhenti dan kini dia sedang berdiri tegak, menghadap lautan yang luas. Lautan luas yang terbentang di depan matanya itu, dipandang. Begitu jauh renungannya, telus hingga tidak perlu menembusi apa-apa pun di hadapan. Hembusan bayu lembut yang menyapa ke seluruh tubuhnya, sedikit menenangkan jiwa. Dia memejamkan mata sebentar, menarik nafas yang dalam kemudian menghembusnya. Ketenangan yang ada di sekitar cuba diresap ke dalam dirinya. Kini kedua tangannya sedang bersilang, dia sedang memeluk tubuh.
Lily Dayana menghela nafasnyalagi. Kali ini, panjang benar helaan nafasnya itu. Dia benar-benar kepenatan sekarang. Satu demi satu masalah mengejarnya. Mengapa selalu sahaja semua kekusutan itu perlu membayangi dirinya? Mengapa harus kedukaan sahaja yang mengejar? Kenapa, kenapa dan kenapa? Tiada berjawapan. Dia benar-benar nanar. Hampir terumbang-ambing seluruh hidupnya saat ini. Dirinya terus dibiarkan hanyut, tenggelam dalam arus kenangan yang kian terkuak, satu demi satu. Hidupnya yang kini keseorangan kembali cuba direnung. Kalau dahulunya dia digelar gadis yatim piatu kini dia sudah mendapat gelaran baru pula. Seorang janda! Dalam usia yang muda seperti ini, mengapa perlu gelaran itu yang disandangnya?
Impiannya untuk membina mahligai bersama lelaki yang dia kasihi hingga ke Jannah, runtuh ketika sedang dalam pembinaan. Tidak tahu yang mana satu tidak kukuh, ‘tiang serinyakah’ atau ‘konkrit binaan’ itu? Mengapa harus dirinya sahaja yang diuji dengan nasib malang? Mengapa begitu payah tuah mendekati walau hanya sekadar sebagai bayangan sahaja. Tidak adakah sisa kebahagiaan yang tertinggal untuk dia kecapi? Lily Dayana benar-benar dirundung pilu. Dia terus-terusan meratapi nasib dirinya itu. Meratap dengan begitu hiba sekali nasib malang yang selalu sahaja melekat padanya bagaikan pasangan kembar siam hinggakan sukar untuk dipisah.
“Arghh!” jeritan yang nyaring keluar dari mulutnya. Lengkingan suaranya itu seolah memantul kembali, tepat mengenainya. Terasa lututnya menjadi lembut dan kini Lily Dayana sudah duduk melutut di gigi air pantai itu.
Suasana menjadi pengap seketika. Tiada sesiapa di situ yang boleh memberikan reaksi terkejut. Hanya dirinya sahaja, seolah-olah kini dia terdampar di sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Alangkah bagusnya jika terjadi begitu. Tidak perlu lagi untuk dia menghadapi sesiapa yang boleh menggoreskan hatinya. Tidak perlu lagi untuknya berpenat lelah mahu menjaga hati sesiapa. Dia benar-benar letih! Letih menjadi mangsa keadaan. Letih menjadi insan yang terlalu lembut dan baik hati. Letih, mengorbankan dirinya untuk kegembiraan orang lain. Tegas yang ada padanya kadangkala tidak kena pada tempat. Selalu sahaja dia mengalah.
“Kenapa mesti aku!” jeritnya lagi. Kedua tangan semakin galak memukul ombak yang kian rakus membadai dirinya.
Tetapi, cepat-cepat Lily Dayana tersedar akan khilafnya yang secara terang-terangan menyalahkan takdir yang telah tersurat untuknya. Sedangkan masih ramai yang lagi berat musibah menimpa mereka. Mengapa perlu dia mengeluh? Mengapa perlu dia mempertikaikan semua ini? Mengapa harus menyalahkan takdir sedang dirinya yang tidak tahu bersyukur?
“Astaghfirullahalazim.” Istighfarnya, memohon keampunan. Dia meraup wajah. Sekali lagi nafasnya dihela dengan panjang.
“Mak, adik rindukan mak. Kalaulah mak masih ada, adik tak jadi macam ni. Kenapa mak tinggalkan adik? Kenapa mak tak bawak je adik pergi sama. Adik dah tak larat nak hadapi dunia ni lagi. Semua orang bencikan adik. Tak tahu, apa salah adik pada mereka semua? Adik keseorangan mak, benar-benar kesunyian. Tak ada sesiapa yang sudi mendengar keluhan adik mak. Mak,” rintih Lily Dayana. Berjuraian air matanya gugur, bercampur aduk dengan air laut.
Ombak pantai kian galak memukul dirinya hanya dibiarkan sahaja. Lily Dayana menangis sepuas-puasnya di situ. Sedikit-demi sedikit memori silamnya hadir. Ibarat sebuah wayang, tergambar jelas di ruang ingatannya. Kenangan lalu mula mengusik jiwa dukanya. Terlalu banyak pahit dari manis kenangannya itu. Dia mula terkenang kembali masa lampaunya. Lily Dayana masih duduk berteleku di situ.
Kenangan lalu mula tersingkap. Satu demi satu helaian singkapannya mula terselak.
Last edited by wipers81 on 14-5-2014 12:34 PM
|