"Tanpa disedari mereka sebenarnya telah melukai hati dan membuli orang lain dengan kata-kata digunakan.
"Perkara ini yang ingin kami ubah agar masyarakat lebih peka tentang bahayanya buli di media sosial," katanya.
Neelofa ditemui pada majlis pelancaran kempen berkenaan yang dianjurkan bersama pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac pada pagi Selasa.
Kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Turut hadir pada acara itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Ekskutif Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Antara artis yang turut hadir bagi menyokong kempen itu termasuk Nora Danish, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Maya Karin, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Caprice, Adibah Nor, Atilia Haron, Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro.
Dalam pada itu, Neelofa berkata, idea untuk mengadakan kempen itu timbul selepas dia berbual-bual dengan keluarga dan rakan selebriti mengenai tindakan buli siber di media sosial.
Katanya lagi, topik berkenaan sangat dekat dengan dirinya kerana sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang seni, banyak yang telah dilaluinya.
"Kritikan negatif dan kecaman bukan sesuatu perkara baru. Itu belum lagi berita palsu disebarkan sewenang-wenangnya.
"Sampai ada ketika saya fikir kenapa masyarakat lebih mengenali saya daripada saya mengenali diri sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Neelofa berkata, dia bersama barisan selebriti yang lain komited dengan kempen ini dan berharap ia dapat membuka mata masyarakat mengenai isu tersebut.
"Mungkin kami tidak mampu menyelesaikan masalah ini secara total tetapi anggaplah ia sebagai satu permulaan positif dan budaya sihat," katanya.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/hiburan/ ... W6LrhrqrbFh1rIJH.99