|
Lidah Bayi Putih? Ini 5 Perkara Yang Anda Patut Buat
“Tak apa ke kalau lidah bayi putih ni? Takut kalau dibiarkan nanti makin tebal pula lapisan susunya. Tapi, perlukah dibersihkan? Nak guna apa?”
Perasankah anda bayi yang menyusu biasanya memiliki lidah berwarna putih susu? Tidak kiralah sama ada bayi meminum susu badan mahupun susu formula, lapisan susu ini boleh bertukar menjadi lebih tebal dan seterusnya membentuk kulat susu yang dikenali sebagai candidiasis atau ‘oral thrush’.
Menurut sumber oleh BabyCenter, kadangkala kulat ini boleh membiak dan merebak, lalu menyebabkan jangkitan. Persekitaran yang panas, lembap dan bergula, iaitu keadaan yang terdapat dalam mulut bayi semasa menyusu adalah persekitaran yang sempurna untuk ianya membiak.
Oleh itu, ini 5 perkara yang anda perlu buat jika mendapati lidah bayi putih.
LIDAH BAYI PUTIH? INI 5 PERKARA YANG ANDA PATUT BUAT
1. PASTIKAN SAMA ADA IANYA JANGKITAN KULAT ATAU LAPISAN SUSU
Pertama sekali, perhatikan tompokan putih pada lidah itu dengan teliti. Jika ianya boleh dibersihkan dengan mudah menggunakan kain lembap yang bersih, ia hanyalah sisa lapisan susu.
Namun, jika anda mendapati terdapat lapisan tebal yang sukar dihilangkan dan beberapa tompokan lagi dalam mulut bayi, ia mungkin jangkitan kulat. Kadangkala, bayi turut menunjukkan simptom kesukaran menyusu dan beberapa tanda ketidakselesaan lain. Dalam kes ini, anda dinasihatkan untuk membawa bayi berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
2. CUBA BERSIHKANNYA
Anda boleh membantu untuk menghilangkan dengan melilitkan kain bersih pada jari anda. Paling mudah, gunakan kain lampin dan kemudian celupkannya dalam air putih / air suam sebelum digosokkan pada selaput putih di mulut bayi anda.
Pastikan anda melakukannya perlahan-lahan dan tidak menyakiti bayi. Lakukan rutin ini dengan kerap setiap hari untuk menjaga kebersihan mulut bayi.
3. UTAMAKAN RUTIN KEBERSIHAN SEBELUM & SELEPAS MENYUSU
Selain menjaga kebersihan mulut bayi, penting juga untuk anda memastikan kebersihan puting payudara atau puting silikon yang digunakan setiap kali menyusu.
Bagi yang menyusu badan, anda boleh mencuci puting payudara dengan air kosong terlebih dahulu sebelum penyusuan. Selepas selesai menyusu, pastikan juga puting payudara anda bersih dan kering kerana puting yang lembab di dalam bra sebenarnya boleh menyebabkan jangkitan kulat.
Jika bayi anda berusia 6 bulan ke atas, anda boleh memberi bayi meminum sedikit air suam selepas menyusu untuk membilas mulutnya.
4. MINIMAKAN RISIKO PADA PERSEKITARAN
Selain alatan penyusuan seperti pam susu ibu, cuci dan bersihkan juga alatan mainan bayi serta dengan menggunakan air panas mendidih sekerap mungkin. Ini kerana, bayi cenderung menggigit dan memasukkan kesemua barangan ke dalam mulut.
Cuci tangan sekerap mungkin setiap kali ssebelum dan selepas penyusuan. Untuk memudahkan, anda boleh juga menggunakan hand sanitizer untuk membunuh kuman.
5. KETAHUI TANDA BAHAYA
Apabila mendapati lidah bayi putih, anda perlulah mencucinya seawal mungkin supaya susu ini tidak berkumpul. Ini kerana, keadaan ini seringkali disusuli oleh jangkitan kulat di bahagian bawah mulut mereka lalu mengakibatkan sedikit kegatalan.
Walaupun selalunya kulat susu ini tidak merbahaya, ia boleh memudaratkan jika bayi berasa tidak selesa dan enggan menyusu. Lebih teruk lagi, bayi boleh mengalami demam akibat dehidrasi. Maka, dapatkan pemeriksaan awal jika terdapat sebarang tanda yang mencurigakan.
JANGKITAN BOLEH MENJANGKITI IBU
Menurut laman kesihatan NHS Choices, jangkitan kulat susu atau ‘oral thrush’ ini boleh dipindahkan oleh bayi kepada payudara ibu menyusu. Antara simptomnya termasuklah rasa sakit ketika menyusu, puting susu yang berubah warna, merekah atau tidak normal. Maka, penting untuk anda mengetahui tanda awal bagi mengelakkan sebarang kesukaran dan masalah penyusuan.
Walaubagaimanapun, biasanya doktor akan mempreskripsikan krim anti-fungal bagi membolehkan ibu menyusu badan walaupun anda mengalami jangkitan ini. Sebaiknya, bawalah bayi berjumpa doktor jika terdapat sebarang jangkitan mahupun kekeliruan samaada ianya kulat atau sisa susu.
|
|