TANAH MERAH: Kementerian Kewangan diminta menyediakan peruntukan lebih besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan menyelenggara aset pertahanan yang turut digunakan ketika misi bantuan banjir.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, umum mengetahui tentera sentiasa dikerah setiap kali penugasan ketika banjir dan ATM menggunakan aset pertahanan untuk tujuan penugasan itu.
"Tentera tiada aset khusus yang digunakan untuk banjir, maka kami menggunakan aset pertahanan untuk menjaga ketenteraman negara yang sedia ada bagi tujuan itu.
"Apabila berlaku banjir berskala besar dan luar jangka seperti di Selangor dan Pahang baru-baru ini, aset ATM tidak mencukupi dan hanya menggunakan apa yang ada.
"Justeru itu, ia memerlukan bajet untuk penyelenggaraan yang sewajarnya bagi penugasan bencana alam seterusnya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jiwa Murni Tentera bersama warga FELDA Kemahang 01 di Dewan Muhibbah JKKR Felda Kemahang, di sini.
Yang turut hadir Panglima 8 Briged, Brig Jen Abu Hasan Assha'ari Kamis.
Ikmal Hisham berkata, satu lagi usul dicadangkan dalam Parlimen baru-baru ini adalah mengenai kediaman tentera yang mana kebanyakan kuarters sudah uzur dan memerlukan baik pulih.
Mengambil contoh kuarters Kem Terendak di Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan yang sudah daif, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, kediaman yang selesa memainkan peranan sebagai sokongan moral kepada tentera.
Katanya, sebagai pasukan yang sentiasa dikerah menjalankan apa sahaja tugasan, persekitaran yang kondusif sangat diperlukan oleh anggota tentera.
"Saya juga membuat permohonan agar diluluskan satu peruntukan untuk menaik taraf kediaman (tentera) kerana apabila persekitaran kondusif, moral anggota lebih tinggi.
"Jika bumbung rumah bocor, air kerap terputus, ahli keluarga tidak selesa, sudah tentu mengganggu semangat anggota tentera untuk bekerja," katanya.