View: 354|Reply: 0
|
Arul panggil tiga muka lama
[Copy link]
|
|
KETANGKASAN Zaimi mengawal gawang berjaya menarik minat Arul.
Kuala Lumpur: Tiga pemain berpengalaman dipanggil semula untuk berada dalam senarai 28 pemain bagi kem latihan skuad senior lelaki kebangsaan dipimpin A Arulselvaraj dengan 25 daripadanya pemain yang sudah berada dalam senarai sebelum ini.
Pemilihan itu dibuat selepas berakhirnya Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 hujung bulan lalu dan tiga nama berkenaan adalah Mohd Zaimi Mat Deris, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin dan Muhammad Shahril Saabah. Daripada jumlah keseluruhan itu, purata usia pemain dipanggil adalah antara 25.7 tahun dengan 12 pemain adalah mereka yang pernah beraksi bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh pemain Maybank, enam pemain Terengganu Hockey Team (THT) dan tiga pemain UiTM HA di MHL. Menurut Arulselvaraj mengenai nama baharu yang dipanggil, beliau berkata, ketiga-tiga pemain terbabit bukan asing dalam skuad kebangsaan dan keputusan itu dibuat selepas menilai usaha keras yang dipamerkan mereka di sepanjang kempen MHL 2022.
"Saya memanggil Zaimi kembali kerana dia mempamerkan persembahan mengagumkan pada MHL 2022, selain turut membuktikan yang dirinya mengambil cabaran untuk merebut kembali tempat bersama pasukan kebangsaan.
"Bagi Shahril pula, kami menggugurkan namanya daripada senarai sebelum ini atas sebab peratusan kerja dalam padang yang kurang memuaskan namun ketika MHL baru-baru ini, dia bukan sahaja menunjukkan satu persembahan baik tetapi juga menjaringkan gol termasuk daripada pukulan sudut penalti.
"Peratus kerjanya di dalam padang juga meningkat dan dia menunjukkan banyak peningkatan. Oleh sebab itu, kami barisan kejurulatihan memutuskan untuk memanggilnya semula.
"Izad Hakimi pula pemain yang mempunyai personaliti serta semangat melawan tinggi. Namun susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini menyebabkan dirinya sedikit ketinggalan.
"Sepanjang perlawanan bersama UiTM HA dalam saingan liga baru-baru ini, dia bermain dalam semua perlawanan. Dia bermain dengan baik, memberikan arahan cukup jelas di bahagian pertahanan dan mempunyai personaliti sebagai ketua yang baik.
"Kami dapat melihat dia menepati semua kriteria yang diperlukan dalam pasukan kebangsaan. Kerja sebagai satu pasukan, bekerja keras dan terus berusaha serta sikap yang tidak mudah menyerah, semuanya ditunjukkan olehnya, jadi kami memutuskan untuk memberikan peluang," kata Arulselvaraj.
Dalam pada itu, barisan kejurulatihan kebangsaan turut akan menilai prestasi pemain sepanjang sesi latihan untuk dibawa menyertai siri perlawanan ujian di Australia menentang skuad utama Australia yang kini di kedudukan ranking pertama dunia, minggu depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ggil-tiga-muka-lama |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|