View: 995|Reply: 0
|
Memahami muslihat rejim Zionis
[Copy link]
|
|
Memahami muslihat rejim Zionis
RAKYAT Palestin yang menyokong Hamas menghadiri protes menyelar tindakan dilakukan rakyat dan tentera Israel di Masjidil Aqsa di Gaza.
Palestin kembali berdarah sejak minggu lalu apabila angka korban meningkat susulan peningkatan keganasan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Islam Palestin.
Ketegangan itu berpunca daripada sambutan Hari Mengingati 'Passover' oleh penduduk Yahudi dan sehingga kini, ratusan penduduk Islam Palestin turut dilaporkan cedera.
Untuk mendapatkan gambar jelas, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara aktivis kemanusiaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia MUHAMMAD NADIR AL NURI KAMARULZAMAN.
Setiap kali Ramadan, warga Palestin 'dibantai' rejim Zionis.
Sebenarnya fakta yang perlu diperbetulkan adalah serangan tidak semestinya berlaku pada Ramadan.
Kita tahu bahawa Israel bijak dalam merencanakan serangan, tetapi kali ini kebetulan berlaku pada Ramadan.
Terdapat beberapa faktor serangan meningkat di kawasan Masjidil Aqsa dan Gaza.
Antaranya adalah peningkatan jumlah penduduk haram Israel di Masjidil Aqsa, sekali gus meningkatkan bilangan tentera yang berkawal di lokasi berkenaan.
Penduduk Israel ini pergi ke Masjidil Aqsa untuk menunaikan ibadat mereka dan kali ini, kebetulan berlaku peristiwa Passover.
Peristiwa Passover ini adalah memperingati Nabi Musa AS membawa keluar orang Yahudi di Mesir daripada buruan Firaun dan mereka turut melaksanakan ritual seperti mengorbankan haiwan di kawasan Masjidil Aqsa.
Kekacauan meningkat, sekali gus mengakibatkan ketegangan di kawasan Masjidil Aqsa dan secara kebiasaannya, penduduk sekitar Masjidil Aqsa akan meminta pertolongan Mujahidin di Gaza untuk melakukan serangan balas.
Puluhan warga Palestin sudah menjadi korban keganasan rejim Zionis ketika ini dan serangan masih belum berhenti. Ada tanda-tanda ia akan berhenti sebelum Aidilfitri menjelang?
Kemuncak peristiwa Passover ini adalah semalam (Sabtu) dan Insya-Allah, saya lihat situasi semasa, keadaan mungkin akan reda menjelang Aidilfitri.
Kalau kita lihat ada serangan di beberapa tempat di Gaza namun keadaan ini nampak tenang apabila kedua-dua pihak iaitu Zionis Israel dan Mujahidin Gaza tidak mahu terjun dalam peperangan.
Saya optimis situasi akan kembali seperti biasa menjelang Aidilfitri kelak, Insya-Allah.
Ditekan, dihimpit, diserang ketika berpuasa. Adakah ia sedikit sebanyak melemahkan warga Palestin?
Sebenarnya bulan Ramadan ini adalah bulan pengorbanan dan umat Islam disuruh untuk menjadi produktif pada bulan mulia ini.
Keadaan sama berlaku di Palestin apabila mereka sendiri tahu bahawa segala ujian, kesabaran serta pengorbanan mereka ini mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.
Kalau kita lihat dalam kitab karangan Hujjatul Islam, Imam Ghazali menyatakan bahawa puasa itu ada beberapa peringkat. Ada puasa orang awam, ada puasa khusus dan ada puasa 'khususan khusus' dan saya melihat orang Palestin ini berpuasa pada tahap khususan khusus.
Mereka bukan saja berpuasa batang tubuh mereka saja, mereka turut berpuasa di dalam hati dengan bersabar atas setiap ujian dan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi mempertahankan agama Islam itu sendiri.
Keadaan yang dihimpit tidak melemahkan semangat orang Palestin sebaliknya ia sentiasa menjadi pembakar semangat.
Krisis Ukraine-Rusia jadi 'pengalih perhatian' dunia dan ia memudahkan rejim Zionis terus mengganyang rakyat Palestin?
Ya, memang benar isu atau konflik yang berlaku di Ukraine-Rusia itu menjadi pengalih perhatian dunia, komuniti antarabangsa tidak memberi fokus kepada konflik berlarutan di Palestin-Israel.
Kalau kita lihat, distraction ini kerap berlaku. Satu ketika dulu, membabitkan serangan terhadap Syria, selepas itu berlaku penindasan di Xianjiang, China dan masyarakat menjadi lupa kepada Palestin.
Bagaimanapun, ia tidaklah begitu menjejaskan sangat kerana komuniti Barat sebenarnya tidak begitu mempedulikan soal Palestin-Israel ini.
Cuma jika dilihat kepada sisi positif konflik Ukraine-Rusia ini, sudah banyak pihak melakukan perbandingan reaksi negara-negara utama apabila berlaku krisis Ukraine berbanding Palestin.
Hari ini, sudah ramai orang mempertikaikan kenapa respons dunia terhadap isu Palestin dilihat 'sejuk' manakala konflik Ukraine-Rusia begitu aktif sekali.
Daripada kaca mata saya sendiri, ada baiknya apa yang berlaku di Ukraine di mana Israel sibuk mengadakan pertemuan dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara rakan mereka berikutan kebimbangan akan berlaku pertukaran geo politik di rantau antarabangsa.
Israel pastinya mahu mengelakkan pertembungan krisis dengan negara lain pada satu-satu masa.
Sudah pasti, Israel akan cuba mengelakkan berdepan dengan Lubnan, Iran dan Syria pada satu-satu masa, mereka melihat itu tindakan yang tidak bijak.
Bagaimanakah gerak kerja kemanusiaan jika berdepan dengan krisis sebegini di Palestin?
Seperti biasa, biarpun apa yang berlaku sama ada peperangan skala kecil atau besar, kerja kemanusiaan di Palestin adalah business as usual.
Bagi masyarakat Palestin atau orang yang tinggal di kawasan berkenaan, apa yang berlaku hari ini sudah dianggap biasa dan tiada apa-apa yang baru malah ia bukan satu yang pelik.
Untuk kerja kemanusiaan, ia tetap diteruskan dalam apa juga keadaan dan baiknya apabila berlaku krisis seperti ini, orang Islam seluruh dunia kembali cakna terhadap Palestin.
Isu Palestin ini perlu menjadi isu atau perhatian sepanjang tahun umat Islam kerana ini adalah titik mula kepada kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... slihat-rejim-zionis
|
|
|
|
|
|
|
| |
|