View: 7823|Reply: 1
|
Hal ehwal rumah tangga bukan tatapan umum
[Copy link]
|
|
Hal ehwal rumah tangga bukan tatapan umum
DOSA yang sedia ada tidak tertanggung, ditambah dosa mengaibkan rumah tangga sendiri.
Umpama satu trend ketika ini apabila terdapat segelintir anggota masyarakat yang lebih gemar menceritakan pekung rumah tangga sendiri di media sosial berbanding mendapatkan khidmat kaunseling secara tertutup.
Dalam Islam, terdapat penekanan yang kuat terhadap pemeliharaan keharmonian dalam rumah tangga. Menceritakan hal rumah tangga secara terbuka kepada khalayak umum mungkin boleh menimbulkan masalah seperti fitnah, mengaibkan pasangan masing-masing dan gangguan privasi kedua-dua pihak. Allah SWT dan Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga rahsia keluarga dan menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan reputasi serta hubungan antara suami isteri.
Bagi sesiapa yang mempunyai isu atau masalah dalam rumah tangga, disarankan untuk mencari penyelesaian dengan cara bersifat rahsia dan bimbingan daripada keluarga, ahli agama atau kaunselor.
Islam menggalakkan penyelesaian konflik melalui perbincangan, sabar dan menggunakan kebijaksanaan bukannya dengan menyebarkan cerita yang boleh merosakkan hubungan terutama di media sosial walaupun kita pempengaruh sekalipun.
Ikatan suci perkahwinan
Allah SWT menciptakan semua makhluk berpasang-pasangan tanpa terkecuali, sekecil mana pun ciptaan Allah SWT pasti ada pasangannya termasuk manusia. Sebagai makhluk Allah SWT yang paling sempurna dan sebagai khalifah di muka bumi, manusia mempunyai tanggungjawab untuk mentaati ketentuan Allah SWT baik melalui firman-Nya atau sabda Rasul-Nya. Salah satu ketentuan-Nya ialah tentang perkahwinan dan tanggungjawab yang timbul akibat perkahwinan itu. Allah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 21 : "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya serta dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."
Setiap manusia pastinya mempunyai keinginan untuk berkahwin dan membina rumah tangga yang harmoni kerana perkahwinan adalah sunnatullah. Namun begitu, banyak rumah tangga yang tidak sempurna kerana kekurangan pengetahuan tentang cara membentuk rumah tangga yang sakinah, mawadah dan rahmah mengikut petunjuk al-Quran.
Perkahwinan bukan sahaja bertujuan mewariskan zuriat, tetapi perkahwinan perlu menjadi ikatan yang sah antara dua orang yang berbeza, dua watak berbeza, dua pemikiran berbeza dan dua sifat berbeza yang kemudian disatukan dalam rumah tangga sebagai suami isteri.
Penyatuan ini tentunya akan memunculkan hak dan kewajipan, sehingga Allah SWT sebagai Pencipta yang Maha Esa memberikan aturan bagi manusia agar manusia sedar akan hak dan kewajipannya sebagai suami isteri. Ini supaya akhirnya mereka dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam rumah tangga sebagaimana nilai yang terkandung dalam al-Quran.
Kewajipan suami terhadap isteri menurut al-Quran
Akad nikah dalam hukum syarak tidak sama dengan akad hak milik. Akad nikah disimpulkan dengan mengambil kira kewajipan antara kedua-duanya. Dalam hal ini, suami berkewajipan yang lebih berat daripada isteri berdasarkan firman-Nya: "...tetapi suami mempunyai satu taraf kelebihan terhadap isterinya". Perkataan satu tingkatan kelebihan boleh diertikan sebagai berkata: "Lelaki adalah pemimpin bagi wanita..." (Surah an-Nisa ayat 34)
Pada asasnya, kewajipan suami juga hak isteri, jadi jika bercakap kewajipan suami terhadap isteri, boleh juga bermakna hak isteri ke atas suaminya. Kewajipan ialah segala-galanya yang mesti dilakukan setiap individu, manakala hak ialah segala-galanya yang mesti diterima setiap individu.
Justeru, kewajipan dan tanggungawab adalah segala perbuatan yang perlu dilakukan oleh individu atau kelompok sesuai dengan ketentuan yang ditetapkan.
Nafkah dan keperluan
Fuqaha bersepakat bahawa nafkah kepada isteri adalah wajib bagi seorang suami yang berdikari dan menggantikannya. Mengenai suami yang bermusafir jauh, jumhur fuqaha tetap mewajibkan suami memberi nafkah kepada isterinya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 233: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan menjadi kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada ibu secara makruf. Seseorang tidak dibebani tetapi mengikut tahap kemampuan."
Oleh yang demikian, menyediakan tempat tinggal yang sesuai juga kewajipan seorang suami terhadap isterinya sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Tempatkanlah mereka (isteri-isteri) di mana kamu (suami) tinggal menurut kemampuan kamu..." (Surah at-Talaq ayat 6)
Menggauli isteri dengan baik dan adil adalah satu kewajipan suami terhadap isterinya. Sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 19 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mengahwini wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepada mereka kecuali jika mereka melakukan pekerjaan keji. Dan bergaul dengan mereka dengan sewajarnya. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
Maksudnya ia ditujukan kepada suami supaya bercakap baik dengan isteri dan berkelakuan baik dalam perbuatan serta penampilan. Oleh kerana suami juga menyukai perkara ini daripada isteri mereka, mereka juga mesti melakukan perkara yang sama. Sebagaimana dalam hadis riwayat Aisyah RA, bahawa Rasulullah saw. bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya dan aku adalah orang paling baik kepada keluargaku."
Antara akhlak Nabi Muhammad adalah melayan keluarganya dengan baik, sentiasa seronok bermain dengan keluarganya, berwajah manis, berlemah lembut, memberi kelapangan daripada segi kehidupan dan berseronok dengan semua isterinya.
Lindungi isteri daripada dosa
Menjadi kewajipan ketua rumah tangga memberi didikan agama kepada isteri dan anak supaya mereka taat kepada Allah serta Rasul-Nya. Dengan ilmu agama, seseorang itu dapat membezakan antara tingkah laku yang baik dan buruk serta dapat melindungi diri daripada melakukan maksiat. Selain ilmu agama, seseorang suami juga wajib memberi nasihat atau teguran apabila isteri melakukan kesalahan atau lupa atau meninggalkan kewajipannya dengan kata-kata hikmah yang tidak melukakan hatinya, seperti firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6 bermaksud: "Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia serta batu, penjaganya ialah malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa diperintahkan-Nya kepada mereka serta selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
Taat pada suami
Mentaati suami adalah perintah Allah SWT selagi tidak menyuruh melakukan perkara munkar. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah an-Nisa ayat 34 sebagai berikut: "Lelaki itu adalah pemimpin bagi wanita oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Oleh itu, wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah memelihara (mereka). Wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan mereka di tempat tidur mereka serta pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
Justeru perlulah diingatkan sekali lagi, suami dan isteri perlu menyimpan erat rahsia rumah tangga walaupun sepopular mana pun kita di laman sosial.
Jika perlu penyelesaian masalah jangan diselesaikan di mahkamah netizen atau media, tetapi diuruskan sebaik mungkin melaui penasihat bertauliah di mahkamah syariah atau keluarga. Keaiban didedahkan bukan membaiki hubungan malah menambah teruk situasi yang sudah sedia parah.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -bukan-tatapan-umum
|
|
|
|
|
|
|
|
rmi yg menyalah gunakan social media..itu mslhnya..konon2 di meluahkan perasaan disitu..akn selesai la masalah itu..pdhal aib 2-2 isteri suami smu terbuka pada umum |
|
|
|
|
|
|
| |
|